layak

PENGKALAN BERANGAN – Pemimpin setempat diingatkan supaya tidak mengamalkan sikap pilih bulu dalam mengenal pasti penduduk di kawasan ma-sing-masing yang layak menerima bantuan sebanyak RM500 daripada Kerajaan Persekutuan bermula tahun depan.

Ketua Wanita Umno Bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin berkata, tindakan seumpama itu adalah sikap yang tidak bertanggungjawab sekali gus akan mengetepikan peluang individu yang layak memohon untuk mendapat bantuan daripada kerajaan.

“Jangan menyalahguna kuasa dengan menyenaraikan nama saudara mara dan rakan kita sahaja. Kita berharap ketua masyarakat dapat memahami proses permohonan bantuan dan tidak mengabaikan mereka yang benar-benar layak.

“Maklumat mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) itu perlu disebarkan supaya peluang itu dapat direbut oleh semua orang,” katanya semalam.

Menurutnya, bantuan sekali sahaja sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada bulan lalu.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Pengkalan Berangan di Pekan Wakaf Tapai di sini, semalam, mendapati, keadaan sesak sebaik sahaja pintu pejabat itu dibuka sejak pagi.

Beberapa petugas juga ditempatkan di beberapa khemah yang disediakan di pekarangan pejabat berkenaan bagi memudahkan petugas mengedarkan borang kepada orang ramai.

Sementara itu, ibu tunggal, Zai Ahmad, 44, berkata, bantuan RM500 itu dapat meringankan bebannya namun, berharap, peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati selepas kerajaan memberikan bantuan itu.

“Tujuan kerajaan memberi bantuan ini adalah untuk meringankan beban rakyat dan peniaga sepatutnya membantu rakyat serta tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang,” katanya di Pekan Wakaf Tapai semalam.

Peniaga, Mohd Arif Muhamad, 38, tidak terkecua­li mendapatkan borang itu dan menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat.