Wednesday, December 28, 2011

Batik Malaysia tarik minat ratu cantik


Keindahan batik ini menarik minat para peserta.


Batik Malaysia sememangnya terkenal dengan keunikan yang tersendiri, malah keindahan dan kehalusan seninya membuatkan ia tidak pernah gagal untuk mempesonakan mata yang memandang.

Lebih Menarik, fabrik warisan negara itu menjadi produk pelancongan yang sentiasa diketengahkan dalam pelbagai promosi sama ada di dalam mahu pun luar negara.

Keindahannya turut memikat mata sekumpulan ratu cantik yang menyertai lawatan dan aktiviti interaktif kraf dalam majlis Sepetang Bersama Batik dengan Penampilan Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa 2011 di Laman Wau, Kompleks Kraf, baru-baru ini.

Majlis tersebut merupakan sebahagian aktiviti sempena Pertandingan Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa 2011 yang menyaksikan penyertaan lebih 54 jelitawan dari seluruh dunia.

Majlis petang itu berlangsung dalam suasana santai khusus untuk memperkenalkan batik Malaysia kepada para peserta.

Rata-rata para peserta kelihatan kagum dan teruja menyaksikan kehalusan dan keindahan batik.

Malah kesemuanya tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri mencanting batik.

Dalam masa yang sama ada yang mengambil peluang untuk membeli produk tempatan untuk dibawa ke negara masing-masing.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd. Kamil Mohd. Ali, berkata, lawatan ini bukan sahaja dapat mengembangkan industri batik tetapi juga sebagai cara mempromosikan batik kepada negara luar.

"Dengan adanya lawatan ini ia bukan sahaja dapat mempromosi produk kebanggaan kita tetapi juga sebagai membantu industri pelancongan negara dan sebagai usaha mempromosikan rekaan fabrik berasaskan batik ke peringkat dunia,'' ujarnya.

Sementara itu, ratu Cantik dari Kosovo, Albulena Mazreku memberitahu, amat teruja apabila berpeluang sendiri melihat bagaimana batik dihasilkan.

"Jika sebelum ini saya hanya melihat di buku ataupun di televisyen tentang kehebatan dan kehalusan fabrik batik ini tetapi hari ini saya sendiri berpeluang untuk membuat batik,'' ujarnya yang begitu teruja dengan kehalusan produk dari Malaysia ini.

Dia yang merupakan pelajar Undang-undang dari Universiti Rocnymegan Notherland memberitahu, akan menjadikan batik sebagai hadiah kepada ibu dan adik apabila kembali ke tanah airnya.

"Saya sangat menyukai fabrik bercorak batik yang terdapat di Malaysia dan saya juga tidak sabar untuk memperagakan hasil rekaan fesyen batik yang pastinya menarik," jelasnya.

Tambah Albulena, dia tidak menyangka motif batik yang disaksikan sebelum ini dihasilkan sepenuhnya dengan mengguna tangan.

"Kerja-kerja mereka sungguh halus dan berseni. Saya juga tertarik apabila melihat rakyat yang pelbagai bangsa di Malaysia menggunakan fabrik batik sebagai pakaian tradisi dan juga pakaian rasmi negara ," jelasnya yang pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia.

Katanya lagi, berada di Malaysia membuatkan dia sangat seronok, malah kemesraan dan keramahan rakyat negara ini membuatkannya tidak berasa kekok sepanjang berada di negara ini.

Dalam pada itu, wakil ratu cantik negara, Aileen Gabriella Robinson, 22, berkata, walaupun berasal dari negara ini namun inilah kali pertama dia berpeluang untuk melihat secara dekat tentang pembuatan batik.

"Hari ini saya sangat teruja kerana dapat menunjukkan hasil kebanggaan negara kita iaitu batik kepada orang luar,'' ujarnya graduan dari Sunway Universiti ini

Malah gadis kacukan Pulau Pinang dan England ini memberitahu, dia banyak memberitahu kepada rakan-rakan seangkatan mengenai keunikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

"Saya sering jelaskan kepada mereka bagaimana negara kita yang berbilang kaum mampu hidup dengan aman serta toleransi antara kaum yang sangat baik dan ternyata mereka kagum melihat perkara itu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: