|
|
Kehadiran warga asing bukan saja telah mengubah iklim ekonomi dengan penggantungan terhadap tenaga kerja luar dalam sektor-sektor tertentu. Malah sedikit sebanyak telah mencorak semula sosio budaya di kalangan masyarakat negara ini.
Ini berlaku apabila ramai rakyat tempatan tidak kira lelaki mahupun wanita berkahwin dengan warga asing sekali gus mewujudkan percampuran pelbagai budaya.
Kalau dulu kita hanya dengar perkahwinan campur antara Melayu dengan Cina dan India begitu juga sebaliknya, tetapi kini perkahwinan campur semakin berwarna-warni.
Bukan sedikit wanita-wanita tempatan yang berkahwin dengan lelaki Indonesia, Bangladesh, Vietnam dan yang terkini dari rantau Arab serta Afrika.
Ibarat pepatah Melayu, ikan di laut asam di darat dalam kuali bertemu jua. Jika sudah dikatakan jodoh, walau di benua mana pun tetap akan bertemu.
Sejujurnya, tabik kepada wanita-wanita ini yang cukup berani untuk mendepani cabaran perkahwinan campur dengan perbezaan negara, budaya, agama, gaya hidup dan latar belakang.
Tanpa keyakinan yang kuat, cabaran-cabaran ini mampu menjadi penghalang kepada perjalanan rumah tangga bagi pasangan rentas sempadan ini.
Sebagai contoh, Sharifah Zainab Syed Ahmad yang juga tidak pernah menyangka bahawa jodohnya adalah seorang lelaki berasal dari Lebanon.
Walaupun punya susur galur keluarga bergelar Sharifah dan Syed, namun beliau tidak sesekali cuba mencari suami yang berketurunan Arab.
Baginya apa yang berlaku adalah secara kebetulan.
Sharifah Zainab yang ditemui baru-baru ini berkata, perkenalannya dengan suami, Toufic Mohammad El-Uzeir hanyalah sebagai kenalan biasa di tempat kerja.
Selama dua tahun kedua-duanya tidak pernah menyimpan perasaan.
Bagaimanapun tanpa dirancang, mereka mula rapat dan dalam tempoh dua bulan itu, Toufic menyatakan perasaannya pada Sharifah Zainab dan ingin melamarnya.
Hasrat yang dinyatakan kepada kedua-dua buah keluarga diterima dengan baik tanpa bantahan.
"Ibu saya menerima Toufic begitu juga dengan keluarga Toufic. Pada mereka, asalkan Toufic berkahwin dengan wanita Islam sudah bagus kerana jika wanita yang menjadi pilihan Toufic bukan Islam, sukar hendak dididik," kata Sharifah Zainab yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik.
Menurut Sharifah Zainab, walaupun dalam keluarganya cuma beliau yang berkahwin dengan lelaki warga asing namun tidak banyak masalah yang timbul.
Ini kerana, Toufic menerima Sharifah Zainab seadanya dan pandai menyesuaikan diri dengan keluarganya, masyarakat sekeliling sehinggalah kepada soal makanan dan adat orang Melayu.
Beliau yang kini merupakan pemilik Restoran AlRawsha bersama Toufic melayari bahtera rumah tangga dengan aman damai.
Perkahwinan mereka diserikan dengan kehadiran tiga orang cahayamata comel, iaitu Fatma Zahra, 11 , Muhammad, 10, dan Ali, 7.
"Selepas berkahwin, hubungan saya dengan keluarga Toufic bertambah mesra. Ibu dan kakak Toufic selalu datang ke Malaysia. Abang Toufic, Fayaed El-Uzeir juga kini tinggal di Malaysia dan sama-sama mengusahakan restoran.
"Kami sering berhubung melalui telefon. Jika mereka datang ke Malaysia mereka pasti akan membelikan hadiah atau jika ada keluarga di sana yang datang ke sini pasti ada sahaja barang yang mereka kirimkan.
"Setahun atau dua tahun sekali kami sekeluarga akan pulang ke Lebanon bertemu dengan keluarga di sana.
"Sebagai suami isteri, bertegang leher kerana hendak menegakkan pendapat masing-masing adalah biasa tetapi kami tidak pernah bergaduh besar.
"Saya memang bahagia dengan perkahwinan saya walaupun Toufic bukan orang Melayu. Saya tidak pernah berasa dia orang luar,'' ujar Sharifah Zainab ramah.
Walaupun ada ketikanya beliau mendengar kata-kata negatif mengenai suami warga asing namun kata beliau, Toufic adalah suami yang baik, bertanggungjawab, tidak pernah meninggi suara apatah lagi berkasar dengannya.
Ujarnya lagi, Toufic merupakan seorang yang ramah dan rajin bertegur sapa dengan jiran-jiran dan jiran-jiran amat mengenali Toufic kerana dia juga sering ke surau.
Sementara itu kata Toufic pula, walaupun terdapat lelaki Arab yang bersikap kasar dan tidak menghormati wanita namun itu adalah sikap yang tidak baik.
Katanya, suami yang memukul isteri adalah suami yang zalim. Jika ada sebarang masalah, eloklah berbincang dan memberi atau meminta nasihat bukannya memukul isteri kerana itu bukan ajaran Islam.
"Saya menganggap perkahwinan saya dengan Sharifah Zainab adalah jodoh yang telah ditentukan dan satu amanah. Jadi saya harus menjaga jodoh ini dengan baik kerana jika kita reda dengan jodoh kita, sudah tentu Allah akan memberkati perkahwinan kita," ujarnya.
Sementara itu, Liza Ismail, yang berasal dari Wakaf Stan, Kubang Kerian, Kelantan, juga percaya kepada jodohnya dengan lelaki warga asing.
Ini kerana suami yang dikahwininya sekarang merupakan lelaki warga asing ke empat yang telah dipilih untuknya.
Namun lelaki yang ke empat itulah yang menjadi suaminya dan bahagia hingga ke hari ini.
"Ketiga-tiga lelaki yang dipilih untuk saya sebelum ini adalah warga Mesir. Namun mungkin kerana tidak ada jodoh, hubungan kami tidak panjang.
"Saya kemudian diperkenalkan dengan suami saya, Mohammed Abdo Mohammed yang berasal dari Yemen.
"Bapa saudara saya yang juga beristerikan wanita Mesir, membawa Mohammed yang ditemani oleh seorang kawannya berjumpa ibu bapa saya.
"Mohammed kata dia hendak berkahwin dengan wanita Melayu. Mungkin kerana dia hendak tinggal di Malaysia.
"Saya kenal dia tak lama kerana sebulan selepas itu kami dinikahkan. Bagi saya kalau boleh tak mahu berkahwin dengan lelaki asing tetapi kerana bapa saudara yang mencarikan, saya tidak boleh menolak.
"Mula-mula dulu saya takut juga jika selepas berkahwin suami membawa saya balik ke negara asal dan mendapat layanan buruk. Saya tanya kepadanya tetapi katanya dia memang hendak tinggal di Malaysia.
"Kata suami, Malaysia aman dan senang mencari rezeki berbanding di Yemen yang selalu bergolak, berperang dan harga barang-barang mahal," kata Liza, 36, anak keenam daripada sembilan beradik.
Tambahnya, semasa berkahwin, keluarga Mohammed tidak datang, namun suaminya telah menghantar surat kepada mereka dan memberitahu akan berkahwin dengan wanita Melayu.
Jelasnya, keluarga tidak membantah kerana Mohammed tahu apa yang dilakukan kerana dia pun telah matang.
Menurut Liza lagi, sebelum berkahwin, beberapa kali dia dirisik oleh lelaki Melayu namun tidak menjadi dan senyap begitu sahaja.
Kata Liza lagi, walaupun Mohammed berbeza umur 15 tahun namun dia menerima suaminya itu seadanya.
Perbezaan umur bukan menjadi masalah dalam hubungan perkahwinan antara Liza dan Mohammed yang telah sembilan tahun tinggal di Malaysia kerana mereka bijak menyesuaikan diri.
"Ketika baru-baru berkahwin suami tidak faham sangat bahasa Melayu. Kami banyak guna bahasa isyarat. Namun dia cuba belajar begitu juga dengan saya yang boleh faham sikit-sikit bahasa Arab.
"Di rumah kami bercakap campur Melayu dan Arab supaya anak-anak faham kedua-dua bahasa. Kami tidak mahu anak-anak kami hanya faham satu bahasa.
"Sekarang Mohammed sudah fasih berbahasa Melayu dan saya sudah boleh bercakap Arab sikit-sikit. Dia pun suka sangat dengan masakan tomyam,'' kata Liza yang merupakan ibu kepada Abdullah, 7, Ally Iskandar, 5, dan Ameerah Sajeeda, 3.
Mengenai perawakan anak-anaknya yang mirip kepada anak Arab, kata Liza, satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah apabila orang bertanya kepadanya sudah berapa lama dia menjaga anak orang atau menjadi pengasuh.
Namun dijawab oleh Liza dengan baik bahawa ketiga-tiga kanak-kanak itu adalah anak-anak kandungnya yang mirip dengan rupa bapanya yang berketurunan Arab.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: