SEJAK berusia 20 tahun, pelakon baru bernama Nurul Ain Nordin (Ain), 23, (gambar) sudah mula mengamalkan jamu yang dibuat sendiri oleh ibunya.
Menurut Ain yang muncul dalam filem Suatu Malam Kubur Berasap, jamu dalam bentuk minuman itu dibuat dengan menggunakan campuran air, halia, sirih, kunyit, asam jawa, asam keping dan gula batu.
“Bahan-bahan itu perlu dikisar, dimasak dan ditapis sebelum diminum. Saya mula mengamalkan jamu ini sejak belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
“Ia berkhasiat untuk memberikan tenaga, membuang angin dalam badan dan menghilangkan bau badan,” katanya kepada OopStarz!.
Selain itu, Ain yang ceria dan peramah ini gemar melakukan urutan badan di sebuah pusat kecantikan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“Saya akan pergi mengurut seminggu sekali untuk menghilangkan rasa lenguh di badan selepas penat bekerja.
“Saya juga melakukan aktivit di sauna untuk mengurangkan toksin dalam badan selain merasakan badan saya semakin berisi,” ujarnya lagi.
Air beras
Walaupun tidak perlu melakukan banyak rawatan untuk kulit mukanya yang tidak bermasalah, Ain mengamalkan membasuh muka dengan air beras setiap hari.
“Saya membasuh muka dengan air beras untuk melembapkan muka serta mengurangkan jerawat. Setiap kali masak nasi, saya akan mengambil air basuhan beras itu dan menyapu di muka.
“Selepas itu, jangan bilas dengan air biasa sebaliknya biarkan air itu kering,” cerita Ain yang tidak gemar membuat rawatan muka di pusat kecantikan.
Jelas Ain yang pernah dikaitkan dengan gambar kontroversinya, dia pernah melalui pengalaman tidak tahan menanggung kesakitan di muka apabila melakukan rawatan sebelum ini.
“Kulit muka saya dipicit dengan benda tajam dan waktu itu saya rasa sangat pedih pada bahagian muka. Sejak daripada itu, saya terus fobia untuk melakukan rawatan muka lagi sebaliknya melakukan rawatan sendiri di rumah,” ujarnya.
Untuk mendapatkan petua rambut lebat, Ain sering mengelap hujung rambutnya yang panjang mengurai selepas membasuh tangan.
“Selepas makan, saya akan membasuh tangan dengan bersih dan terus mengelap rambut dengan menggunakan saki-baki air yang masih basah di tangan.
“Mak cik saya di kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pernah berkongsi petua ini untuk melebatkan rambut.
“Memang sejak saya amalkan bermula zaman persekolahan sehingga sekarang, rambut saya agak lebat.
“Disebabkan rambut saya panjang, saya perlu rajin ke salun untuk melakukan rawatan rambut dan kadangkala saya akan membuat masker rambut sendiri di rumah,” kata graduan Diploma Teknologi Kreatif Artistik Perfileman dari UiTM Shah Alam ini.
Jika ada kelapangan, anak kedua dari tiga beradik ini akan berendam dalam kolam air panas untuk menstabilkan tekanan darah dan membuang toksik dalam badan.
Menyentuh sedikit tentang perjalanan karier Ain, dia bakal membintangi sebuah lagi filem baru yang masih dalam proses perbincangan dan dijangka bakal bergelar duta air mineral Spritzer tidak lama lagi.
ye,sy nak cuba lah,hi3
ReplyDelete