|
SETELAH mendapat hak pengedaran tunggal kenderaan Chevrolet di negara ini, Naza Quest Sdn. Bhd. (Naza Quest) memikul tanggungjawab penting untuk membangunkan jenama dari Amerika Syarikat (AS) itu.
Nama Chevrolet bukannya asing di Malaysia. Ia sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2003 lagi. Namun, perjalanan dan sambutan terhadapnya kurang memberangsangkan. Lihat sahaja statistik jualannya. Sejak diperkenalkan sehingga November 2009, kira-kira 15,000 unit sahaja yang terjual.
Kemuraman jenama itu banyak dipengaruhi oleh sentimen pasaran. Di samping ketiadaan model menarik, sekali gus gagal menambat hati pengguna. Harus diakui, sebelum kemunculan model sedan Cruze dan SUV Captiva, Chevrolet di Malaysia tidak memiliki model yang cukup kuat, kecuali model hatchback Aveo. Jadi, bagaimana mahu bersaing dengan jentera-jentera berjenama Jepun?
Namun, itu semua sudah tinggal sejarah. Tumpuan sekarang ialah apa yang perlu dilakukan bagi meningkatkan semula kepercayaan pengguna dan bakal pembeli. Aspek promosi dilihat menjadi modus operandi utama Naza Quest demi menghidupkan semula jenama Chevrolet.
Jika diperhatikan, strategi anak syarikat Kumpulan Naza itu bukanlah terlalu luar biasa. Mereka hanya giat menaja acara-acara terkemuka menggunakan kenderaan Chevrolet. Lihat sahaja Jelajah 1Malaysia, Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia 2011 dan Persidangan serta Pameran Peralatan Pasukan Polis Awam & Khas 2011, semuanya menggunakan kenderaan Chevrolet.
Selain menaja, rangkaian pusat servis 3S (jualan, servis dan alat ganti) turut giat dibangunkan. Sehingga kini, Naza Quest sudah memiliki sebanyak 18 pusat servis 3S di seluruh negara. Sebanyak sepuluh lagi pusat 3S akan didirikan sebelum akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi Naza Quest, Datuk Maruan Mohd. Said menyatakan kos mendirikan setiap premis adalah di antara RM2 juta hingga RM3 juta. Tumpuan turut diberikan pada negeri Sabah dan Sarawak.
Model naik taraf
Baru-baru ini, Naza Quest memperkenalkan model naik taraf Captiva. Hanya varian petrol sahaja diperkenalkan. Maruan memberitahu, varian diesel akan diperkenalkan menjelang suku keempat tahun ini.

Captiva dilengkapi unit pembekal kuasa baharu, enjin petrol empat silinder sebaris 2.4 L ECOTEC. Enjin bersesaran 2,384cc itu dilengkapi aci sesondol atas berkembar (DOHC) dan sistem Double Continuously Variable Cam-Phasing (Double CVC).
Dengan semua penambahan ini, pastinya kuasa maksimum ditingkatkan kepada 123kW berbanding 100kW pada model sebelumnya. Begitu juga dengan tork maksimumnya telah dilonjakkan kepada 225Nm daripada 220Nm.
Jentera yang diimport (CBU) dari Thailand itu dipasang dengan transmisi automatik Tiptronic enam kelajuan dengan ciri Driver Shift Control (DSC).
Rekaan menarik
Bahagian hadapan Captiva menerima solekan baharu. Ini termasuk pengenaan bampar baru dan dua gril yang lebih besar. Di antara kedua-dua gril berkenaan, terpampang lambang tali leher kupu-kupu (bow tie) berwarna kuning keemasan. Sementara bonetnya memiliki rekaan yang lebih tajam.
Turut dikenakan ialah lampu depan projektor prisma dan lampu kabus baru. Bagi cermin sisi pula, bahagian bawahnya dilengkapi dengan lampu isyarat membelok LED.
Bahagian belakang tidak mengalami pembaharuan ketara. Perbezaan cuma dapat dilihat pada lampu belakang dan penggunaan warna krom pada ekzos berkembarnya itu.

Untuk rekaan dalaman, perubahan paling ketara membabitkan integrasi butang kawalan pada stereng Captiva. Bahagian kanan stereng dilengkapi butang kawalan sistem pendingin hawa dan fungsi cruise control. Sebelah kiri pula butang kawalan sistem audio. Konsol tengah jentera itu turut menerima susun atur yang lebih kemas.
Captiva didatangkan dengan dua jenis konfigurasi tempat duduk. Anda boleh memilih sama ada kapasiti lima atau tujuh orang penumpang. Kali ini, material kulit digunakan untuk membalut tempat duduknya. Susun atur tempat duduknya juga lebih mesra pengguna. Tempat duduk barisan ketiga dilengkapi saluran pendingin hawa untuk keselesaan semua.
Model SUV itu mendahului kelas tersendiri dengan teknologi Hill Start Assist. Ciri tersebut membantu mengelakkan Captiva daripada mengundur sewaktu brek dilepaskan ketika mendaki kawasan curam. Turut ditambah ialah Hill Descent Control yang membantunya mengekalkan kelajuan sewaktu menuruni bukit.
Aspek keselamatan tidak dipandang ringan. Captiva sarat dengan ciri-ciri keselamatan. Antaranya, dua beg udara pada barisan hadapan dan bahagian tepi, empat brek cakera ABS, EBD, Traction Control, ESP, ARP dan Self-Levelizer.
Ditawarkan pada harga RM153,888 seunit (termasuk duti import, cukai jualan dan aksesori), Captiva didatangkan dalam enam warna pilihan iaitu coklat, putih, hitam, kelabu, perak dan merah.
Naza Quest percaya model Captiva bakal menerajui jualan Chevrolet pada tahun ini. Hasrat mereka ialah meningkatkan jualan sehingga tiga kali ganda. Sasaran itu bukan mudah, tetapi tidak juga mustahil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: