Saturday, September 10, 2011

Mazda BT-50 (Fighter) baru!


RUPA bentuk trak pikap Mazda yang lari daripada kebiasaan.


LEBIH kurang 10 tahun lalu, pasaran pikap tempatan mula berkembang. Terima kasih kepada Ford kerana mereka berjaya mempopularkannya melalui model Ranger. Sejak dari itu, saingan bagi merebut pelanggan semakin sengit.

Mitsubishi memperkenalkan Storm, Toyota dengan Hilux dan Mazda menerusi Fighter.

Pikap ialah kenderaan dwikegunaan. Oleh kerana itu, ia begitu popular dalam kalangan usahawan berkeluarga. Pada hari biasa mereka boleh memunggah stok kedai atau perkakasan rumah. Pada hujung minggu pula, pikap boleh digunakan untuk membawa keluarga makan-makan atau ke pusat beli belah.

Harganya pula sangat berbaloi jika dibandingkan dengan kereta sedan. Pada laras harga RM90,000 anda boleh membeli Honda City, Proton Inspira atau pun pikap. Apa yang pasti, mereka yang inginkan kelainan, ruang penumpang dan kargo besar pastinya akan memilih pikap, pakej yang tidak ada pada kereta sedan.

Harus tahu bahawa Toyota Hilux ialah kenderaan jenama asing kedua terlaris di Malaysia. Jika dahulu, rekabentuk pikap condong kepada rugged dan imej itu masih lagi dipegang oleh kebanyakan pengeluar.

Walau bagaimanapun ia langsung berbeza bagi model Triton. Entah kenapa Mitsubishi menggunakan konsep rekaan yang lembut dan lari jauh daripada sifir pengeluar lain. Bahkan, ia langsung berbeza dengan model Storm yang nampak tegap dan lasak.


RUANG kabin BT-50 yang tidak jauh beza dengan model sedan.


Semakin kucar-kacir

Sifir Mitsubishi ternyata betul apabila Triton menjadi model pikap kedua terlaris selepas Hilux. Jika anda dalam pasaran ini, sama ada anda akan memilih Hilux atau Triton, kedua model itu begitu popular walaupun Nissan mempunyai Navara dan Isuzu menawarkan model D-Max.

Jika ditanya pendapat saya mengenai antara Hilux dan Triton, jawapannya ialah pilihlah Triton jika anda ingin membawa keluarga. Hilux pula jika anda memerlukan kenderaan untuk bekerja 24/7. Triton selesa untuk membawa keluarga, manakala Hilux pula ternyata tahan lasak.

Tetapi andainya Mazda membawa masuk model terbaharu BT-50 atau lebih dikenali sebagai Fighter untuk pasaran tempatan, ternyata senarai pendek anda akan menjadi lebih kucar-kacir. Model itu berkonsepkan Active Lifestyle Vehicle, suatu yang agak sinonim dengan Triton dan berbeza langsung daripada Hilux yang kelihatan gagah perkasa.

Mazda mempamerkan kepada umum model baru BT-50 pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Australia 2010. Dengan konsep kenderaan gaya hidup aktif, BT-50 dirancang supaya menonjol.

Untuk pasaran ASEAN, BT-50 disasarkan untuk kegunaan bisnes dengan keselesaan seperti sebuah kereta penumpang. Bagi pasaran Australia dan Eropah pula, pikap itu disasarkan kepada golongan yang aktif dengan aktiviti luar.

Hasil daripada konsep dan sasaran pelbagai pasaran, maka lahirlah sebuah pikap dengan rekabentuk ekspresif, selesa, ruang kabin berkualiti tinggi dan pemanduan yang lancar dengan ciri-ciri kereta penumpang. Tidak dilupakan, DNA Mazda iaitu pemanduan sporty dan responsif.

Konsep rekaan BT-50 adalah berasaskan kepada Sophisticated Beast. Menurut Ryo Yanasigawa, Ketua Pereka BT-50, pikap itu berdasarkan gambar seekor singa yang gagah seolah-olah menunggu untuk membaham mangsanya.


INILAH hasil daripada konsep Active Lifestyle Vehicle yang digunakan oleh Mazda.


Pada bahagian dalaman, pasukan pereka mahukan rekaan sporty bagi melengkapi rekaan luarannya. Di samping ruang yang selesa bagi menyaingi standard kereta penumpang Mazda. Kokpitnya direka fokus untuk pemandu yang menikmati pemanduan.

Ciri-ciri pemanduan sporty seperti itu adalah suatu yang asing untuk kenderaan pikap. Papan pemukanya pula mempunyai rekaan asimetrik untuk mendapatkan ruang optimal pada kedua-dua belah sisi dan ini memberi faedah kepada penumpang.

Dengan perkembangan terbaharu Mazda ini, nampaknya pola pasaran pikap semakin berpecah dua. Pada suatu sisi ada kem yang terdiri daripada Toyota Hilux, Isuzu D-Max dan Nissan Navara dengan imej utilitarian yang menekankan aspek kebolehgunaan, ciri tradisi pikap.

Sementara satu lagi sisi yang dahulunya mempunyai seorang ahli tunggal iaitu Mitsubishi Triton kini mempunyai rakan baharu, tidak lain tidak bukan ialah Mazda BT-50. Kedua model itu masih mempunyai ciri-ciri pikap seperti tahan lasak dan sebagainya.

Cuma ia ingin berseronok. Tiada salah dengan itu, asyik terlampau serius boleh membuatkan kita jadi tertekan. Apa salahnya membuat sesuatu di luar kebiasaan dan lari daripada sifir lazim. Mazda BT-50 adalah generasi baru kenderaan pikap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: