Tuesday, September 13, 2011

Tanaman Orkid menguntungkan

Kerajaan menggalakkan lebih ramai golongan petani menceburkan diri dalam bidang tanaman orkid kerana ia dilihat sebagai satu bidang yang mampu memberi pulangan lumayan untuk negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, jumlah eksport negara terhadap orkid dianggarkan mencecah RM140 juta setahun.

Menurutnya, hasil daripada jumlah itu didapati ia memang antara bidang yang cukup baik untuk diceburi petani kerana berupaya memberikan pulangan memberangsangkan hasil permintaan tinggi khususnya dari negara luar.

“Negara telah mengeksport orkid ke beberapa negara seperti Kesatuan Eropah, Taiwan dan Jepun kerana permintaan yang tinggi diterima dari negara tersebut.

“Lebih membanggakan apabila kebanyakan orkid yang berada di Taiwan sebenarnya adalah dari Malaysia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran dan Promosi Orkid Sempena Hari Raya Aidilfitri 2011 dan Hari Malaysia, di Ipoh, Perak, semalam.

Pameran yang bermula pada 12 hingga 18 September itu, mempamerkan sebanyak 100,000 pokok daripada 2,000 jenis pokok orkid.

Johari berkata, mereka sasarkan jualan RM500,000 bagi tempoh seminggu pameran ini berlangsung.

Menurutnya, kerajaan di bawah Jabatan Pertanian turut memberikan in-sentif kepada petani yang ingin mengusahakan tanaman orkid.

Selain Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) turut membantu terutama dari segi penyelidikan dan penghasilan benih baru.

Johari berkata, sehingga hari ini Malaysia adalah antara negara maju dalam bidang penanaman orkid, namun kebanyakan pengusaha bukan orang Malaysia tetapi Singapura.

1 comment:

  1. Saya bisu, saya ingin belajar sambil kerja untuk menanam dan menjaga orkid. Bagaimana memohon borang kursus bagi jabatan pertanian orkid? Sila sms saya 017-308 5387 sekiranya ada hal yang disegerakan. Terima kasih.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: