Tuesday, September 13, 2011

Tidak gentar bersaing

Bagi penggemar setia drama Juvana yang ditayangkan tidak lama dulu, pastinya tidak asing lagi dengan lagu temanya berjudul Babak Pertama.

Susulan kejayaan drama itu, ramai peminat yang mula tercari-cari siapakah gerangannya kumpulan yang menyanyikan lagu dengan irama dan lirik yang pantas memikat telinga itu.

Pencarian itu menemukan mereka dengan kumpulan Drama yang dianggotai sekumpulan anak muda iaitu Noorsyaiful Md Zalaludin atau Aepul (vokalis), Mohd Ammar Mohd Habir atau Ammar (gitaris), Faeez Ikhwan Abd Halim atau Faeez (drummer) dan Mohd Nor Firdaus Abu Bakar atau Daus (bass).

Biarpun penubuhan kumpulan ini hanya mencecah usia setahun dalam beberapa bulan lagi, kehebatan mereka tidak wajar dipandang sebelah mata.

Tahun lalu, mereka berjaya menyandang gelaran naib juara dalam program realiti pencarian kumpulan muzik, Twisties Bingit, yang menyaksikan puluhan kumpulan lain beradu nasib.

Meski pun takhta juara bukan menjadi milik Drama, namun laluan untuk menapak dalam industri muzik tempatan terbentang luas apabila pihak penganjur menambah jumlah dari RM10,000 yang dimenangi mereka sebagai ganjaran untuk merakamkan single pertama.

Hasilnya, berkumandanglah Babak Pertama hasil ciptaan sendiri Ammar dan lirik oleh Aepul, bukan sekadar di corong radio, malah di kaca televisyen.

Di sebalik nama yang semakin memekar dan keserasian yang tercipta, siapa sangka setiap ahli pada mulanya langsung tidak saling mengenali.

Menurut Faeez, yang mewakili kumpulannya, semua mereka dipertemukan selepas menyertai uji bakat secara solo dalam pertandingan berprestij yang pernah melahirkan kumpulan hebat seperti Modread dan Pesawat itu.

“Para juri melihat kami berempat mempunyai kelebihan masing-masing lantas memutuskan untuk digabungkan sebagai sebuah kumpulan.

“Pada mulanya agak sukar untuk mencetuskan keserasian kerana semuanya ada idea dan pandangan berbeza, tetapi lama-kelamaan ia hadir dengan sendiri,” katanya.

Hubungan terjalin semakin utuh sewaktu menyertai pertandingan kerana masing-masing menyedari bahawa perjuangan mereka sama iaitu muzik yang diterjemahkan melalui setiap persembahan dan karya Drama.

“Dalam pertandingan, kami melakukan semua tugasan secara bersama, termasuk memilih nama kumpulan dan konsep kumpulan.

“Hasil gabungan idea dan kata sepakat, kami memilih konsep ‘alternative modern rock’ yang mempertaruhkan muzik yang agak berat, tetapi dengan suntikan segar dan boleh diterima oleh pelbagai peringkat umur,” kata Faeez yang mengakui pengaruh mereka datangnya daripada band dari Jepun dan Barat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: