Monday, September 19, 2011

Stiker Haram Rosakkan Bandar Raya

Mohd Amin Nordin (tiga, kiri) dalam operasi menurunkan iklan haram di Selayang, baru-baru ini.

SATU fenomena yang semakin mencemar dan merosakkan harta benda awam di ibu kota kita Kuala Lumpur ialah kebanjiran stiker atau pelekat haram yang kebanyakannya adalah perbuatan operator peminjam wang haram atau ah long.

Mereka meronda sekitar ibu kota pada tengah malam dan awal pagi dengan menampal stiker yang mengandungi nombor telefon peminjam wang haram boleh dikatakan di setiap pondok telefon, papan tanda jalan, papan tanda arah, pondok sawat telefon atau Tenaga Nasional Berhad (TNB) malah pada apa sahaja harta milik awam yang terdapat di pinggir jalan.

Perbuatan menampal stiker haram ini kini dilakukan bukan sahaja di kawasan pinggir bandar malah di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur. Ia ternyata telah merosakkan harta benda awam dan lebih menyakitkan hati ialah stiker-stiker ini mencemar dan mengotorkan bandar raya kita.

Ia telah menukar wajah beberapa bahagian dalam Kuala Lumpur menjadi seperti kawasan ghetto Amerika yang sering kita saksikan dalam siri drama polis televisyen.

Selain memaparkan nombor telefon perkhidmatan ah long, iklan-iklan haram lain yang turut memenuhi papan-papan tanda dan jalan antara lain termasuklah tawaran perkhidmatan urutan batin, jualan ubat kuat, nombor telefon pusat tuisyen, tukang tukar tiup tayar motor dan macam-macam lagi.

Iklan haram yang tak diundang atau lebih tepat digelar ‘parasit kertas’ ini mencerminkan sikap masyarakat kita yang tidak menghormati undang-undang dan peraturan.

Kebanyakan pondok tefeon di sekitar ibu kota turut dihiasi dengan iklan haram.

Usaha demi usaha dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menghalang dan membersihkan iklan haram ini namun usaha tersebut nampaknya sia-sia.

15,000 iklan haram diturunkan sebulan

Sepanjang 2010 sahaja, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menanggalkan sebanyak 458,811 iklan haram yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur sahaja.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata, setiap bulan DBKL menurunkan kira-kira 15,000 iklan haram dan sehingga Julai tahun ini sebanyak 278,466 iklan haram telah diturunkan.

“Iklan-iklan ini kebanyakannya digantung di pokok, tiang lampu dan ditampal di dinding dan papan tanda jalan,” katanya dalam pertemuan dengan Mingguan mStar.

Mohd Amin Nordin berkata, walaupun iklan haram di ibu kota seperti tidak dapat dibendung tetapi DBKL tetap meneruskan operasi menanggalkannya. Ia dilakukan oleh satu pasukan khas yang ditubuhkan pada 2007.Pasukan yang terdiri daripada 110 orang kakitangan itu akan bertindak menurunkan iklan-iklan haram di sekitar 11 kawasan parlimen Kuala Lumpur.

“Bagi satu kawasan parlimen kita menugaskan 10 kakitangan untuk memantau. Mereka inilah yang bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan masing-masing, termasuklah menghapuskan iklan haram,” jelas beliau.

Katanya lagi, pasukan ini akan membuat rondaan sebanyak tiga kali setiap minggu menggunakan van dan lori khas DBKL.“Bila mereka tengok ada pokok tumbang, mereka akan alihkannya. Begitu juga iklan haram, mereka akan tanggalkannya,” kata beliau.

Bagi memudahkan tugas, pasukan ini disediakan dengan kelengkapan bersesuaian, termasuklah galah untuk mengait iklan haram di tempat tinggi, pengikis, penyembur dan cecair kimia khas.

Tanggungjawab sosial

Menurunkan iklan-iklan haram yang digantung di pokok atau tiang lampu nampak mudah namun jika tersilap langkah boleh membawa padah.

“Kerja mereka bukan sahaja mencabar tetapi adakalanya berbahaya apabila mereka perlu menurunkan iklan di kawasan yang sibuk dan terletak di jalan-jalan utama.

“Paling merumitkan apabila mereka perlu mengikis iklan yang dilekatkan di merata tempat,” katanya.

Justeru, kerjasama daripada orang awam amat diperlukan dalam membantu PBT menangani masalah ini.

“Menanggalkan iklan haram adalah tanggungjawab sosial. Selain DBKL, sesiapa sahaja boleh melakukannya.

“Jika sesebuah persatuan penduduk mahu melihat kawasannya bersih, mereka boleh mengadakan aktiviti menanggalkan iklan-iklan haram beramai-ramai,” katanya.

Menyedari masalah ini tidak mampu ditangani bersendirian, DBKL sentiasa bekerjasama dengan penduduk setempat dengan mengadakan gotong-royong menghapuskan iklan haram.

Menurut Mohd Amin Nordin, iklan haram paling banyak dilihat di kawasan perumahan dan pusat komersil, berbanding kawasan tengah bandar seperti Bukit Bintang.

Di Kuala Lumpur, kawasan yang ‘dibanjiri’ dengan iklan-iklan haram ialah Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Cheras dan Sri Rampai.

“Kita dapati iklan haram banyak di kawasan perumahan dan rumah kedai. Di Bukit Bintang ada banyak rumah kedai, tapi di situ susah sikit mahu tampal iklan sebab sentiasa dipenuhi orang ramai sepanjang masa” ujarnya lagi.

DBKL syor batalkan nombor telefon

Menampal iklan secara haram adalah melanggar Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982 dan Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991.

“Jika sabit kesalahan mereka yang ditahan kerana menampalkan iklan haram boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM2,000,” Mohd Amin.

Pada masa yang sama, DBKL mengesyorkan agar nombor telefon yang tertera pada iklan haram dibatalkan.

Bagi mencapai objektif tersebut, DBKL telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti nama dan alamat pemilik nombor telefon sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Menurut Mohd Amin Nordin, sejak 2010 hingga Julai tahun ini, sebanyak 6,076 nombor telah dihantar ke SKMM untuk dibatalkan perkhidmatannya.

“Kita tak ada kuasa batalkan nombor telefon ini. Kita cuma boleh keluarkan kompaun mengikut saiz iklan.

“Dalam jangka masa panjang, kita yakin tindakan membatalkan nombor telefon dapat membantu mengurangkan jumlah iklan haram,” ujarnya.

Dalam pada itu, DBKL juga telah mengambil inisiatif mengecat tiang lampu dan kotak fius TNB dengan sejenis cat khas agar iklan berbentuk pelekat tidak dapat ditampal.Pun begitu, harga cat tersebut agak tinggi berbanding cat biasa.

“Kita anggarkan untuk satu kotak fius TNB, kos menggunakan cat berkenaan sekitar RM500. Setakat ini kita gunakan cat anti stiker ini di tiang-tiang lampu sekitar kawasan Taman Maluri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: