MASALAH utama yang dihadapi pasukan khas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dibentuk bagi menangani isu iklan haram di sekitar ibu kota ialah menanggalkan iklan haram yang berbentuk pelekat.
“Gam yang mereka gunakan sangat kuat. Bukan setakat susah ditanggalkan dengan tangan, tetapi bila ditanggalkan pula akan meninggalkan kesan pada permukaan asal dan ini akan merosakkan papan tanda,” kata Timbalan Pengarah (Tindakan) DBKL, Shaari Yusof kepada Mingguan mStar.
Shaari berkata, pasukan yang ditubuhkan DBKL untuk tujuan khas ini akan menjalankan tugas mereka setiap Isnin, Rabu dan Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari.Bagi iklan-iklan yang digantung di tiang lampu atau pokok, galah digunakan untuk menurunkannya.
“Tapi kalau jenis stiker atau pelekat, kita kena ambil masa yang lama untuk tanggalkannya. Kita kena kikis dan gunakan semburan khas.
“Selepas stiker dikikis, tak semestinya permukaan itu kekal seperti biasa. Sudah tentu ada kesan calar dan kesan gam yang menampakkan permukaan itu kotor,” jelasnya lagi.
Menurut Shaari, jumlah iklan haram yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur adalah terlalu banyak dan mustahil untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) menghapuskannya dalam jangka masa pendek.
Walaupun ramai pekerja ditugaskan untuk menanggalkan iklan-iklan ini, usaha tersebut bagaikan sia-sia kerana iklan haram ditampal setiap hari tanpa mengira masa.
“Orang kita cuma kerja siang sahaja. Bila kita turunkan iklan pada waktu pagi, waktu petang sudah ada iklan baru yang ‘naik’... Sebenarnya itulah cabaran kami yang paling besar,” katanya.
Disebabkan iklan haram juga, berlaku banyak kerugian dan kerajaan terpaksa mengeluarkan kos membaik pulih kemudahan-kemudahan seperti papan tanda yang rosak.
“Kalau yang boleh cat semula, kita akan cat. Tapi membeli cat baru itu juga dikira sebagai kos. Bagi papan tanda yang tak boleh diselamatkan, kita terpaksa menggantikannya dengan yang baru,” katanya.
Tambah Shaari, dia juga sering menerima aduan daripada penduduk setempat bahawa mereka sering digertak oleh konco-konco pengiklan apabila cuba menanggalkan iklan-iklan haram yang dilekatkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: