Tuesday, September 6, 2011

Segalanya baru buat Tiara




HANYA tinggal beberapa minggu sahaja lagi, tirai pementasan The Secret Life of Nora (Nora) akan dibuka di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Ketika ini jugalah, gelodak hati wanita ini bercampur-baur. Teruja dan dalam masa yang sama dia cukup berdebar bagaikan menanti kelahiran bayi sulungnya.

Meskipun pentas teater bukanlah asing bagi Datin Seri Tiara Jacquelina, namun apabila membicarakan tentang Nora, serta-merta dia menjadi seram sejuk.

“Perasaan kali ini cukup berbeza. Bagi saya Nora ibarat permulaan segala-galanya buat saya. Meskipun sudah mementaskan dua teater muzikal sebelum ini, tetapi Nora benar-benar buat saya bimbang.

“Kebimbangan saya itu dari pelbagai aspek terutama sekali untuk mencapai kepuasan peminat yang dari awal lagi telah meletakkan harapan yang cukup tinggi.

“Saya bersyukur kerana Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLtM) dan P. Ramlee the Musical (PRtM) diterima baik sebelum ini sehingga berjaya membuka lembaran baru industri seni tempatan.

“Kerana itulah, saya dan seluruh pasukan Nora kini bertungkus-lumus bagi memastikan pementasan ini berjaya dan membawa ia setapak langkah lagi untuk menuju ke tahap lebih tinggi,” luah Tiara penuh jujur dalam sesi fotografi eksklusif yang berlangsung di Stesen Keretapi Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Untuk sesi fotografi ini, Tiara tidak keseorangan sebaliknya ditemani dua lagi pelakon Nora iaitu pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi dan penyanyi bersuara mantap, Adibah Noor.

Sememangnya cita-cita Tiara cukup tinggi dan sebagai penerbit serta pelakon utama Nora, dia begitu mengharapkan ia dapat diterima dengan baik oleh pencinta teater tempatan.

Atas alasan itu kata Tiara, semua pihak yang terlibat dalam pementasan itu sanggup berkorban cuti raya mereka semata-mata mahu menumpukan perhatian yang lebih untuk Nora.

Malah, sepanjang Ramadan lalu juga, mereka gigih berlatih untuk mencari rentak dalam watak masing-masing sebelum memulakan latihan intensif di IB kelak.

Bagi Tiara yang mula dikenali menerusi filem Mat Som (1990), melakonkan watak Nora, seorang primadona yang disanjung pada tahun 60-an bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakonkan.

Jika hendak dibandingkan dengan watak Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumillah yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya selama tujuh tahun, untuk Nora, Tiara perlu bermula dari bawah.

Tiara juga mengakui di awalnya, dia telah berusaha untuk mencari watak Nora yang begitu samar pada pandangannya. Puas dia mencari tetapi dia belum mendapat gambaran kehidupannya yang sebenar.

“Selepas berbincang dengan Steven dan membaca skripnya sekali lagi, barulah saya dapat menyelami kehidupan Nora yang bersifat dua dimensi.

“Dari segi luaran, Nora merupakan seorang primadona yang menjadi pujaan ramai orang. Dia begitu gah di atas pentas tetapi rupa-rupanya hidupnya cukup sunyi.

“Teman setianya hanyalah Khatijah (Adibah) dan dia terlalu bergantung harap kepada pembantunya itu. Hanya selepas dia bertemu dengan Roger (Ryan Silverman), baru dia tahu rupa-rupanya dia memiliki kekuatan yang dia sendiri tidak sedar selama ini.

“Dia kembali menggapai kekuatan dan keyakinan dirinya selepas dia berjaya membantu wanita-wanita yang menjadi mangsa perdagangan manusia oleh penjahat bernama Mr. J (Aznil),” cerita pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-12 (1995) menerusi filem Ringgit Kasorrga ini penuh bersungguh.

Tiara melahirkan rasa bangga dan puas hati yang tidak terhingga kerana berjaya mendapatkan khidmat Steven selaku pengarah Nora.

Sanggup melaburkan wang yang cukup tinggi kerana mahu memberikan kelainan dalam pementasan terbitan Enfiniti Vision Media (EVM) itu, Tiara merasakan kehadiran Steven tepat pada waktunya.

Sepanjang menjalani latihan dengan pengarah yang cukup terkenal di West End, London itu, banyak pengalaman baru yang diperolehinya termasuk krew produksi.

“Saya memilih Steven kerana mahu semua pihak mempelajari sesuatu yang baru daripada orang yang berpengalaman sepertinya.

“Alhamdulillah, saya gembira apabila melihat semua yang terlibat begitu seronok dapat bekerja dengan Steven terutama Chedd Eddie Yusof yang terpaksa melepaskan keinginannya untuk berlakon dalam pementasan ini.

“Begitu juga dengan pereka tari, Pat Ibrahim yang saya lihat telah memperolehi input baru yang saya percaya sentuhannya untuk Nora akan memberikan magis luar biasa,” kata Tiara yang juga pernah dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-50 menerusi filem Puteri Gunung Ledang (2005) ini lagi.

Ketika ditanya tentang keserasiannya dengan Aznil dan Adibah, Tiara hanya mampu menghela nafas panjang sambil menggelengkan kepalanya.

Tanpa menunggu lama, isteri kepada Datuk Seri Effendi Norwawi ini memuji komitmen kedua-dua personaliti popular untuk Nora.

Mengambil contoh Aznil, Tiara cukup kagum dengan disiplin dan semangat pengacara hebat itu yang gigih berusaha dalam menghidupkan watak Mr. J.

“Memang Aznil teman lama saya tetapi kami belum pernah bekerjasama sebelum ini. Sesungguhnya Nora telah menemukan kami di satu pentas yang sama.

“Selepas beberapa lama dia bersama kami, saya boleh katakan dia adalah yang terbaik dan sentiasa tampil dengan idea baru setiap kali hadir untuk latihan.

“Begitu juga dengan Adibah yang telah menunjukkan dedikasinya untuk pementasan ini. Mereka wajar dijadikan contoh oleh karyawan generasi muda hari ini jika mahu bertahan lama di dalam industri.

“Ternyata pemilihan Aznil dan Adibah untuk Nora adalah bertepatan sekali,” kata ibu kepada sepasang cahaya mata itu tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: