Tuesday, September 6, 2011

Debaran Aznil




SEDARI awal ditawarkan watak antagonis dalam teater The Secret Life of Nora (Nora) yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Aznil Nawawi tidak dapat membayangkan bagaimanakah acuan watak tersebut seperti mana yang dikehendaki.

Puas juga dia mencari dan cuba mencari rentak sendiri agar watak Mr. J itu tidak menjadi klise dan mempunyai identiti diri Aznil sendiri.

Malah, Aznil juga tidak mampu menyembunyikan kebimbangan apabila ada pihak cuba menyamakan Mr. J dengan watak Profesor Klon yang pernah dibawakannya dalam dua filem Cicak-Man.

"Sekarang, barulah saya mendapat gambaran jelas tentang siapakah Mr. J yang sebenarnya. Selepas menjalani beberapa siri latihan dan mendalami skripnya. Apa yang boleh saya katakan di sini, Mr. J adalah watak antagonis yang berbeza.

"Saya perlu memahami dunia Mr. J yang penuh dengan ceritanya sendiri. Semuanya bersebab mengapa dia boleh bertindak di luar kawalan sehingga menjadi taksub kepada Nora.

"Kehidupannya memang menyedihkan apabila sewaktu kecil dia telah disisihkan oleh kawan-kawan kerana mempunyai wajah yang buruk.

"Daripada situ dia mula menyimpan dendam dan berusaha mahu menjadikan Nora milik mutlaknya," cerita Aznil yang memang cukup teruja untuk membawakan watak Mr. J dalam pementasan ini.

Terbuka

Atas alasan tersebut, anak jati Kuala Lumpur itu mengharapkan peminat yang akan datang menonton pementasan Nora dengan minda yang terbuka.

Usahlah dibandingkan dirinya dengan mana-mana watak antagonis kerana kata Aznil, dia mahu mencipta watak tersebut mengikut caranya sendiri.

Apabila memperkatakan tentang Nora, Aznil sendiri masih lagi merasakan dirinya terapung di awangan kerana tidak percaya dapat melibatkan diri dalam pementasan mega itu.

Sebelum ini, Aznil hanya mampu bermimpi agar satu hari nanti dia dapat melibatkan diri dalam mana-mana produksi terbitan Enfiniti Vision Media (EVM) waima watak kecil sekalipun.

Kini impiannya sudah terlaksana dan tiada lain yang dapat diucapkannya melainkan bersyukur dengan peluang keemasan itu.

Seperkara yang menjadi kebimbangan Aznil sewaktu mula-mula ditawarkan watak tersebut apabila memikirkan dia perlu menari.

Menyedari tarian bukanlah kemahirannya, namun, demi Nora, Aznil sanggup menyahut cabaran itu dan dia bertuah kerana mendapat bimbingan daripada Pat Ibrahim.

Begitu juga menyanyi, di mana Aznil perlu mengasah vokalnya memandangkan dia mempunyai sebuah lagu solo, Kau dan Aku untuk pementasan itu.

"Tetapi, soal itu (menari) adalah perkara kecil kerana apa yang lebih diutamakan sekarang adalah skrip dan pembentukan watak Mr. J itu terlebih dahulu.

"Selepas segalanya sudah berada dalam acuannya, barulah saya fokuskan pada tarian pula," kata Aznil yang tidak dapat bercuti lama pada Syawal kali ini lantaran komitmen untuk Nora.

Bukan hanya tarian yang menjadi kegusaran Aznil tetapi apabila dia perlu menghafal skrip yang panjang membuatkan Aznil perlu bekerja keras dalam menghidupkan watak Mr. J.

Aznil mengakui kekurangannya apabila dia tidak mampu untuk menghafal skrip dengan baik tetapi berkat usahanya, segala kelemahan itu dapat diatasi perlahan-lahan.

"Steven juga memberi kebebasan kepada kami untuk mewarnakan lagi watak masing-masing. Dia menerima segala idea yang dibentangkan. Itu membuatkan saya selesa dan berbangga dapat bekerja dengannya," kata bekas pengacara Akademi Fantasia itu tanpa berselindung.

Buang rasa malu

Bercerita tentang keserasiannya dengan Tiara, personaliti pujaan ramai ini hanya mampu ketawa kecil sebelum memberikan jawapannya.

Dengan penuh luhur, Aznil memberitahu dia cukup berdebar apabila berlakon di samping Tiara terutama melibatkan babak-babak dia perlu mengungkapkan kata cinta kepada Nora.

Mana tidaknya. Ada ketika kata Aznil, suami Tiara akan hadir menonton latihan dan sudah pasti perasaan kekok itu akan menerjah serta-merta lalu membuatkan Aznil menjadi segan.

"Itu pada mulanya tetapi selepas kami sudah tahu watak masing-masing, kami perlu fokus dan melupakan apa sahaja perkara yang cuba menjadi halangan.

"Saya mahu melakukan yang terbaik untuk pementasan ini kerana peluang ini tidak akan datang sekali lagi.

"Adalah lebih menyedihkan buat saya sekiranya lakonan saya tidak dapat mencapai piawaian kerana sudah pasti saya akan mengecewakan Tiara dan EVM.

"Saya tidak kisah berkorban waktu saya demi NORA," kata Aznil bersungguh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: