Tuesday, September 6, 2011

Bukan komedi kosong




APABILA ditawarkan untuk membintangi The Secret Life of Nora (Nora), Adibah Noor tidak mempunyai alasan untuk menolak tawaran berkenaan.

Apatah lagi mengenangkan persahabatan yang terjalin sekian lama dengan Tiara, penglibatan Adibah dalam pementasan itu boleh diibaratkan sebagai membalas jasa dan budi temannya itu.

Kata Adibah, jika bukan kerana Tiara yang mula-mula membuka jalan untuknya mencari rezeki dalam bidang seni, mana mungkin untuk Adibah terus bertahan di dalam industri.

"Tiara merupakan salah seorang individu yang memainkan peranan cukup penting dalam karier seni saya. Jika bukan kerana dia, saya rasa saya mungkin tidak akan dikenali sehingga ke hari ini.

"Kerana itulah apabila dia sendiri menawarkan watak Khatijah kepada saya, ia benar-benar membuatkan saya terharu.

"Lebih-lebih lagi Tiara yang menilai persembahan saya sewaktu sesi uji bakat. Jadi, saya fikir saya perlu menerima tawaran ini tanpa ragu," kata Adibah penuh jujur.

Menyambung bicara tentang peranannya sebagai Khatijah yang bertindak sebagai pengawal peribadi dan orang yang paling dekat dengan Nora, Adibah menyifatkan watak tersebut ada warnanya sendiri.

Apatah lagi selepas menjalani latihan bersama Steven dan barisan pelakon yang lain, Adibah sudah mula mendapat jiwa Khatijah meskipun watak tersebut bukanlah yang utama.

Sekadar mengusik Adibah, apakah watak Khatijah itu sendiri mempunyai persamaan dengan dirinya memandangkan dia adalah pengawal peribadi Nora, penyanyi yang cukup ramah ini hanya mampu ketawa besar.

"Saya tidak pernah terfikir pun tentang perkara itu. Ironinya, sewaktu zaman sekolah, saya sering melindungi kawan-kawan saya daripada diganggu oleh budak-budak nakal.

"Jadi apabila mereka melihat saya sentiasa bersama dengan budak-budak lain, mereka yang suka mengusik ini tadi dengan pantas berasa takut," jawabnya disambut dengan derai tawa yang berpanjangan.

Cukup mengagumi prestasi kerja Enfiniti Vision Media (EVM) menerusi pementasan Muzikal Puteri Gunung Lenag (PGLtM) dan Muzikal P. Ramlee (PRtM) sebelum ini, Adibah juga seperti pelakon lain juga memasang impian untuk bekerja dengan produksi hebat itu.

Katanya, apabila menonton dua pementasan mega sebelum ini, Adibah tidak dapat menyembunyikan keinginannya untuk beraksi dalam mana-mana produksi EVM selepas itu.

"Saya berkata alangkah seronoknya kalau dapat memegang watak walaupun hanya sokongan dalam produksi mereka.

"Alhamdulillah, ia termakbul dan saya begitu teruja dengan pementasan ini yang saya sifatkan sebagai sesuatu yang di luar imaginasi manusia," jelas pelantun lagu Terlalu Istimewa itu bersungguh-sungguh.

Apatah lagi dapat bekerjasama dengan pengarah handalan seperti Steven, Adibah menyifatkannya sebagai peluang keemasan untuk memperolehi pengalaman yang dapat dikenang selama-lamanya.

Katanya, dia cukup kagum dengan pemikiran Steven yang sudah dapat membayangkan apa yang digambarkan di dalam fikirannya untuk pementasan ini.

Hanya daripada bayangan di mindanya itu, dengan pantas dia mampu merealisasikan di atas pentas dengan kedudukan yang begitu sempurna.

"Pemikirannya boleh dikatakan sealiran dengan semua pelakon dan kreativitinya ada kala di luar jangkaan kami semua.

"Memang cukup seronok bekerja dengan Steven, Tiara dan semua krew Nora. Apa yang saya harapkan semuanya akan kelihatan sempurna apabila Nora membuka tirainya nanti," ujar pemilik nama penuh Adibah Noor Mohamed Omar ini penuh harapan.

Kejutan yang pasti membuatkan penonton berasa teruja menantikan Nora apabila Adibah dikatakan akan melakukan aksi terbang untuk salah satu babak.

Sambil ketawa, Adibah menjelaskan dia kurang pasti dengan babak itu walaupun ia tertulis di dalam skrip.

"Saya tidak kisah untuk melakukan aksi terbang itu cuma saya bimbang seandainya tiang-tiang di dalam Panggung Sari itu tidak dapat menampung berat badan saya nanti," kata Adibah berseloroh.

Dalam masa yang sama, penyanyi yang memiliki dua buah album, Terlalu Istimewa dan Teman ini mengharapkan penonton akan menonton Nora dengan minda yang terbuka.

Jauh di sudut hatinya juga, dia mengharapkan penonton tidak akan sesekali membuat perbandingan antara watak Khatijah dan Farah yang pernah dibawakannya dalam pementasan Cuci the Musical musim pertama.

Walaupun Nora memiliki elemen komedi, Adibah memberi jaminan ia bukan sekadar komedi kosong.

"Beri saya peluang untuk membuktikan bakat saya bahawa bukan hanya watak komedi yang mampu saya bawa. Mungkin ada benarnya apabila orang melihat karakter saya dalam filem tidak ubah seperti personaliti diri saya sendiri.

"Datang sendiri menonton pementasan ini dan saya bukan sekadar mahu memuji melangit hanya kerana saya turut membintangi Nora.

"Tetapi nilai produksi teater muzikal ini sangat tinggi dan saya boleh katakan ia adalah bertaraf dunia," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: