Monday, September 12, 2011

The Secret Life of Nora The Musical

Sekali lagi, The Secret Life Of Nora (TSLN) bakal menemui peminat setia teater tanah air dengan menampilkan selebriti terkenal, Datin Seri Tiara Jacquelin sebagai peneraju utama.

Tiara selaku penerbit eksekutif Enfiniti Vision Media (EVM) TSLN berkata, Nora sebenarnya sudah lama menjadi watak idamannya dalam teater tersebut dan sentiasa mahu menampilkan kelainan dalam lakonan.

Projek terbaru EVM ini adalah sebuah pementasan hebat menceritakan kisah Nora Zain atau Nora, seorang wanita memiliki kehidupan sememangnya dicemburui wanita lain.

“Nora versi saya mempunyai gaya tersendiri, walaupun ia adalah hasil inspirasi daripada filem penyiasatan hitam putih cukup popular di era 60-an.

“Agak mencabar untuk menjayakan muzikal berlatarkan Pulau Pinang di era 1960-an, berkisar tentang seorang penyanyi kabaret jelita bernama Nora.

“Memikirkan saya juga amat merindui bidang lakonan, jadi apa salahnya saya melibatkan diri dalam pementasan teater yang bakal menggegarkan Istana Budaya bermula 29 September hingga 16 Oktober ini,” katanya.

Dalam TSLN, membariskan Aznil Nawawi sebagai Mr J, Adibah Noor sebagai Khatijah, Tony Eusof f sebagai Farouk dan bintang Broadway, Ryan Silverman.

Malah, keputusan membawa pengarah dan penulis teater dari England iaitu Steven Dexter sebagai pengarah teater muzikal TSLN adalah untuk mempelajari cara kerja warga luar dan berpengalaman dengan pentas muzikal antarabangsa.

Menurutnya, Dexter merupakan seorang pengarah ternama di pentas West End, London.

kemunculan Dexter bertepatan dengan visinya untuk terus meningkatkan kualiti teater muzikal terbitan syarikatnya ke tahap lebih tinggi

“Dengan 15 persembahan malam dan enam pementasan siang, persembahan muzikal ini, bakal menjanjikan sesuatu pengalaman pementasan teater yang menarik.

“Semua babak dalam TSLN nanti diselitkan dengan audio dan visual yang menggabungkan fantasi dan muzik dari setiap era,” katanya.

EVM pernah memberikan impak besar menerusi dua teater muzikal mega iaitu Puteri Gunung Ledang The Musical dan P. Ramlee The Musical yang mendapat sambutan di luar dugaan.

Tiara berkata, seramai 14 orang telah dipilih dalam tenaga kreatif persembahan dan daripada jumlah itu, hanya tiga muka lama yang pernah mencurahkan khidmat mereka sebelum ini iaitu Roslan Aziz sebagai pengarah muzik, Pat Ibrahim (Koreografer) dan Raja Maliq (Penasihat Rekaan Set).

“Muka baru yang pertama kali bekerja dengan EVM antaranya ialah Chedd Eddie Yusof (Penolong Pengarah), Raymond Miranda (Penulis Naskhah), San Weng Onn (Komposer) dan Jerome Kugan (Penulis Lirik).

“Turut terpilih adalah Alfian Sa’at yang dipilih sebagai penulis teks dan lirik bahasa Melayu, Francis O’ Connor (Pereka Rekaan Set), Moe Kassim (Pereka Kostum), Nick Richings (Pereka Tata Cahaya), Ken Freeman (Jurutera Bunyi) dan Melissa Teoh (Pengurus Produksi),” kata Tiara.


Harap 'penangan'Mamat Khalid

Oleh itu, pengarah terkenal, Mamat Khalid, diberi kepercayaan sebagai penulis skrip TSLN bagi memberi impak cukup bermakna kepada penonton.

“Saya mengagumi bakat dan pengalaman Mamat Khalid. Sebab itu beliau dilantik sebagai penulis skrip untuk melihat keajaiban karyanya dalam TSLN untuk mengubah dinamik muzik.

“Malah, Mamat Khalid sendiri nampaknya senang untuk diajak bekerjasama lagi dengan kami selepas teater Puteri Gunung Ledang,” kata Tiara yang kembali ke pentas teater selepas dua tahun berehat.

Mamat Khalid, yang memenangi anugerah penulis skrip dan pengarah Melayu dalam pencarian tenaga produksi TSLN juga sempat menyatakan perasaan teruja, apabila masih berpeluang menjadi kumpulan tenaga produksi tersebut.

”Saya berbesar hati dan teruja untuk bekerja dengan pasukan TSLN yang sangat berbakat dan pakar dalam bidang seni.

“Saya tertarik dan dicabar oleh cerita asal TSLN yang ditulis oleh rakan-rakan dalam Malaysian Raymond Miranda .

“Untuk menghidupkan watak-watak dalam cerita melalui dialog komedi yang menarik adalah sangat mencabar bagi saya sebagai seorang penulis. Jadi saya benar-benar bersemangat untuk terus berkarya dalam bahasa Melayu,” jelas Mamat Khalid.

Oleh itu, untuk merasai sendiri sentuhan yang bakal menjadi pengalaman hebat dalam menyaksikan pementasan teater, tiket TSLN boleh didapati dengan harga bermula RM30, RM50, RM110, RM120, RM220, RM230 dan RM350.


Di sebalik Kisah Nora


TSLN mengisahkan Nora yang memiliki sebuah panggung teater, hadiah daripada bapanya.

Tanpa diketahui, Nora sebenarnya mewarisi perniagaan mengeksport barangan haram milik bapanya.

Ketika hampir dipenjarakan atas kesalahan itu, Nora bagaimanapun diberi peluang kedua oleh pihak berkuasa untuk menebus kesalahannya.

Dia perlu menjalani latihan sebagai seorang perisik untuk menyusup masuk ke salah satu rangkaian penyeludupan manusia terbesar.

Akhirnya, Nora terpaksa menyelamatkan nyawa sendiri dan semua mangsa seludupan itu.

Dia turut terperangkap dalam dilema di antara lelaki dicintainya dan rahsia perlu disimpan kemas. Apakah yang berlaku?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: