Monday, September 12, 2011

9 muka baru bintangi Scandal

Syarikat produksi Manja Citra Sdn Bhd, memperkenalkan sembilan pelakon bakal membintangi filem berjudul Scandal di bawah arahan pengarah Nordin Wahab atau lebih dikenali sebagai Din CJ.

Filem pertama syarikat produksi tersebut mengetengahkan muka baru melalui uji bakat dilakukan sekitar lembah Klang pada Mei.

Menurut Din CJ, tiga orang daripada kesembilan calon tersebut akan dipilih memegang watak utama dalam filem berkenaan.

“Daripada sembilan pelakon yang dipilih, tiga orang akan memainkan watak utama.

“Mereka akan dinilai melalui bakat, disiplin dan aura yang ada berdasarkan kepada penilaian beberapa guru dan pelakon senior seperti Fauziah Nawi, Ainina Ahmad B dan Datuk Ramli MS,” katanya.

Filem ini mengisahkan kehidupan tiga orang gadis yang bekerja sebagai pramugari. Mereka hidup dalam dunia yang penuh keseronokan, kemewahan sehingga menjadikan mereka lupa daratan.

Diana, Camelia dan Candy berkhidmat untuk syarikat penerbangan ternama terpaksa menjalani liku-liku hidup penuh pancaroba selain kisah cinta mereka bertiga dipaparkan dengan penuh drama.

Melalui filem ini juga, pihak produksi mahu menonjolkan nilai moral yang baik di sebalik kelakuan-kelakuan buruk pramugari tersebut.

Bagaimanapun, ia tidak berniat menyindir tugas seorang pramugari dan tiada kena mengena dengan sesiapa.

“Kami ingin mengetengahkan nilai moral yang baik di sebalik kelakuan-kelakuan buruk mereka.

"Namun kami tidak berniat untuk menyindir tugas sebagai pramugari.

“Kami akan ke beberapa buah negara seperti Paris, Dubai dan Korea untuk penggambaran yang akan bermula bulan September depan,” tuturnya.

Din juga berkata, filem yang pada asalnya diadaptasi daripada sebuah novel berjudul “Skandal” karya Richie Rachman itu telah diubahsuai dan ditukar wataknya.

“Filem ini berkisar kepada skandal, perdagangan manusia dan wang ringgit. Disebabkan itu kami menampilkan tagline Scandal padat dengan adegan panas, aksi dan tragis.

"Saya yakin filem ini dapat memberikan kelainan dan menyampaikan mesej kepada penonton.

“Justeru plot ceritanya akan ada pro dan kontra, ia masih bersandar kepada cerita asal Richie Rachman, namun ia ternyata berbeza daripada novel Skandal yang dihasilkan Richie,” katanya.

Selain itu, beberapa nama besar seperti Erra Fazira, Nasha Aziz dan Usop Wilcha turut membintangi filem ini yang dijangka akan ditayangkan tahun depan.

Filem yang dianggarkan menelan kos sekitar RM3.5 juta ini turut menjalankan penggambaran di Paris, Dubai dan Korea selain Semenanjung Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: