
Bukan kecil tanggungjawab harus dipikul apatah lagi, dalam misi menjadi stesen televisyen berkonsepkan Islam pertama dan terunggul di Malaysia.
Nyata keputusan Bukhari untuk mengalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AlHijrah bagi memastikan stesen AlHijrah menjadi sebuah stesen yang mempunyai pengikut sendiri, berbaloi.
“Saya merasakan keputusan saya untuk membantu kerajaan dalam mewujudkan sebuah stesen berkonsepkan Islam bukan satu keputusan yang silap kerana kini jenama AlHijrah sudah mendapat tempat tersendiri di hati penonton.
“Walaupun kami belum mencapai usia setahun sebagai stesen, namun maklum balas yang diterima menerusi laman Facebook dan juga laman web AlHijrah cukup memberangsangkan,” katanya kepada Zass.
Bukhari berkata, pengalaman lalu banyak mengajar agar sentiasa menimba pengalaman dan mengambil peluang yang datang.
“Bagi pendapat saya, penghijrahan saya ke AlHijrah adalah saat berharga yang patut saya kenang bila saya bersara nanti.
“Apa yang penting adalah niat saya untuk melihat Malaysia mempunyai sebuah stesen yang mampu menjadi penyiar yang mendidik, menghibur dan menyatupadukan ummah, melalui siaran penerbitan kreatif, berkualiti dan universal berlandaskan Islam,” katanya.
Cabaran mengetengahkan Islam
Berbeza dengan saluran tv sedia ada yang lebih cenderung mengetengahkan produk berbentuk hiburan, Bukhari mengakui agak sukar untuk memperkenalkan saluran berkonsepkan Islam.
“Biasanya penonton lebih cenderung untuk melihat program berbentuk hiburan. Jadi bila ada program berkonsepkan agama, mereka mesti cepat-cepat menukar ke saluran lain.
“Jadi sebagai orang baru, itu adalah cabaran utama perlu kami hadapi. Kami tetap menyelitkan konsep hiburan seperti drama, namun tetap ada batas perlu pelakon serta produksi patuhi demi menjamin kualiti drama yang mahu disiarkan,” katanya.
Menurut Bukhari lagi, tumpuan utamanya kini adalah untuk memperkenalkan kandungan siaran yang dapat menarik semua lapisan masyarakat untuk menonton AlHijrah setiap hari.
“Bagi saya peringkat paling kritikal adalah untuk memperkenalkan kepada penonton bahawa AlHijrah adalah sebuah stesen menarik, meskipun kandungannya berasaskan nilai Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: