Thursday, September 8, 2011

Reka Zone rangsang pelajaran dalam permainan


Noraini Mohd. Hashim (dua dari kanan) bersama Andy Low (kanan) pada majlis pelancaran Taman Permainan Reka Zone di IOI Mall Puchong, Selangor baru-baru ini.


PADA mulanya agak terkejut apabila anak lelaki saya yang baru berusia tiga tahun meminta membelikannya permainan video Play Station (PSP) untuknya.

"Namun setelah dikenangkan kita kini berada dalam zaman teknologi informasi memang tiada apa yang menghairankan dengan permintaan tersebut.

"Cuma apa yang merisaukan saya sebagai seorang ibu ialah anak saya tidak mempunyai pergerakan fizikal maksimum yang sepatutnya ada pada usia sebegitu," keluh seorang ibu muda, Amelia Farhana Sharidan, 24 tentang situasi yang berlaku pada anak tunggalnya itu.

Penulis yakin ramai lagi ibu ingin mengadukan perkara yang sama-anak mereka kini tidak aktif sebagaimana zaman yang pernah dilalui mereka ketika waktu kecil dahulu.

Panjat pokok, main dalam longkang, berlari berpeluh hingga lencun baju adalah satu situasi yang amat sukar dilihat pada kanak-kanak zaman ini.

Memang tidak dinafikan banyak faktor menjadi penyumbang perubahan aliran tersebut namun sebagai ibu bapa tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbang apabila anak tidak aktif.

Namun alternatif tetap ada, terbaru, Reka Setia Playground Sdn. Bhd. (Reka) telah melancarkan pusat permainan dalam pusat membeli belah pertamanya di IOI Mall, Puchong, Selangor.

Justeru, ibu bapa tidak perlu bimbang aspek keselamatan, jangkitan kuman dan kotoran kerana taman permainan dalaman Reka Zone diilhamkan setelah mengambil kira setiap aspek tersebut.

"Keperluan permainan kanak-kanak alaf ini bukan sekadar untuk berlari dan bergayut, sebaliknya permainan yang direka untuk mereka haruslah mempunyai unsur-unsur mengasah daya pemikiran, analitikal, mencari simbolik serta menambah daya kreativiti.

"Justeru tempat permainan mereka memerlukan peralatan yang memberikan stimulasi untuk otak dan daya imaginasi mereka," ujar Andy Low, Pengarah Urusan Reka Setia Playground Sdn. Bhd.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Taman Permainan Reka Zone yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat, Noraini Mohd. Hashim, baru-baru ini.

Tambahnya, pasukan pereka taman permainannya sedar bahawa dalam dunia digital ini ramai kanak-kanak 'kehilangan' satu unsur penting dalam kehidupan iaitu bermain.

"Mengambil kira faktor tersebut maka kami mereka peralatan dan menzahirkan konsep permainan yang bukan sekadar memberi kegembiraan malah permainan sebagai satu proses pembelajaran.

"Matlamat kami juga agar kanak-kanak zaman ini memanfaatkan masa bersama kawan-kawan serta mengukuhkan perhubungan antara ahli keluarga," jelasnya.

Taman Permainan Reka Zone di Puchong ini dibangunkan dalam lima seksyen iaitu Seksyen A untuk pendaftaran; Seksyen B untuk kawasan permainan kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah; Seksyen C untuk permainan tembak bola; Seksyen D untuk majlis keraian dan Seksyen E untuk aktiviti memanjat.

Bersempena dengan pelancaran taman permainan dalaman pertama tersebut, Reka Setia Sdn. Bhd., turut berbesar hati mendermakan satu set taman permainan luar dari versi REKA RS 9000 yang bernilai RM17,500 kepada Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: