Thursday, September 8, 2011

Haiwan kesayangan untuk pelajar cerdas


Pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran berpeluang memiliki hamster Syria dari Petsmore.


Hobi memelihara haiwan kesayangan seperti kucing, hamster dan sebagainya mampu membentuk sifat penyayang, ketekunan dan kesabaran.

Ciri-ciri tersebut turut diperlukan dalam diri seorang pelajar untuk mucul cemerlang dalam pelajaran.

Atas dasar tersebut juga gedung haiwan kesayangan terkenal, PetsMore, memperkenalkan kempen Anugerah Ganjaran Pelajar Gred A+ bagi memberi ganjaran kepada pelajar cemerlang yang serba boleh.

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas jenama PetsMore, Sean Saw, berkata, seorang pelajar yang hebat seharusnya mendapat keputusan akademik yang baik dan mempunyai sifat yang terpuji.

"Kempen ini menyokong objektif kerajaan untuk memupuk masyarakat yang penyayang dan berilmu pengetahuan.

" Kami akui bahawa seseorang yang berilmu pengetahuan tidak semestinya seorang yang baik begitu juga sebaliknya. Justeru kempen kami bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan tersebut.

"Pelajar yang baik mempunyai ketekunan, tumpuan, kesungguhan, disiplin dan kesabaran untuk belajar dan mencapai kecemerlangan.

"Mereka juga boleh menggunakan sifat ini untuk menjaga binatang peliharaan. Jika diberi pendidikan yang betul dan konsisten, ini seharusnya dapat menjadikan mereka pelajar yang cemerlang.

"Dalam proses ini, kita boleh menyemai banyak nilai yang baik, membolehkan mereka menimba ilmu dan menjadikan mereka dihormati," jelasnya.

Merujuk kepada nama kempen berkenaan, Sean menjelaskan, pelajar dimaksudkan ialah pelajar yang mendapat gred yang baik (akademik) dan berhati mulia (bersikap prihatin dan penyayang).

Ikon jantung kecil diletakkan pada perkataan 'Gred' sebagai menunjukkan bahawa seseorang perlu mempunyai hati dan kesungguhan untuk cemerlang dalam segala yang dilakukan, termasuk belajar.

"A+ dan tanda 'lulus atau betul' dalam logo mencerminkan kecemerlangan," katanya.

Dalam pada itu menurut Sean, hamster Syria dipilih kerana sifatnya yang terkenal sebagai binatang peliharaan yang cergas, hiperaktif, tangkas dan pintar - iaitu sifat-sifat yang menjadikan seseorang pelajar hebat.

"Jadi kami menawarkan haiwan kesayangan yang cergas untuk pelajar yang pintar dan cerdas menerusi kempen kami.

''Mana-mana pelajar dari mana-mana sekolah, institusi dan sebagainya, yang mendapat markah 80 dan ke atas atau mendapat 'A' dalam peperiksaan mereka baru-baru ini layak merebut tawaran di bawah kempen ini.

"Mereka hanya perlu menunjukkan keputusan kertas ujian mereka di mana-mana gedung PetsMore dari sekarang hingga 18 September ini dan mereka boleh membawa pulang hamster Syria pada harga hanya RM7.99 seekor.

"Kami juga menawarkan diskaun 15 peratus untuk semua makanan hamster," jelasnya.

Bukan itu saja, jika pelajar berkenaan belum menjadi ahli PetsMore, mereka boleh menjadi ahli secara percuma sepanjang tempoh kempen ini kerana yuran keahlian biasa RM10 akan dikecualikan.

Sean mengakui mempunyai sebab untuk memilih hamster untuk kempen ini.

"Terdapat banyak spesies hamster yang berlainan tetapi kami mahu memperkenalkan spesies paling popular, iaitu hamster Syria.

''Hamster juga mudah dijinakkan. Ia akan menjadi lebih jinak jika meluangkan lebih banyak masa untuk menguruskannya dan akan terus jinak hingga ke akhir hayat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: