PERANAN doktor bukan sahaja untuk membantu pesakit di klinik atau di hospital semata-mata tetapi ia memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu ribuan nyawa manusia dengan menyertai misi di wilayah atau negara yang bergolak di peringkat antarabangsa.
Mereka membantu komuniti yang memerlukan bantuan rawatan peperangan, kebuluran, bencana alam, termasuk bertungkus-lumus melaksanakan misi-misi kemanusiaan dan ketenteraan untuk membina masyarakat dunia yang lebih sempurna.
Dalam mempersiapkan usaha Malaysia berhadapan dengan krisis kemanusiaan global, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjadi perintis dalam melahirkan graduan perubatan ketenteraan.
Seramai 47 pelajar berbilang bangsa menjadi perintis kepada kursus Pegawai Perubatan Tentera, Fakulti Perubatan dan Kesihatan yang baru diperkenalkan di UPNM, baru-baru ini.
Pelajar sulung itu akan menggunakan pengajian di UPNM dengan gabungan aspek ketenteraan dan kerjaya perubatan.
Salah seorang pelajar perubatannya, Faiz Nur Afiq Sukaime berkata, dia bersyukur kerana berjaya mengikuti kursus perubatan selama lima tahun itu yang memenuhi keperluan dalam pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini mendapat pengiktirafan sebagai antara yang terbaik di dunia.
"Saya memilih UPNM kerana universiti ini menekankan aspek kepimpinan ketenteraan dalam pembelajaran.
"Bidang perubatan ketenteraan mencabar saya untuk meningkatkan kualiti pembelajaran yang sistematik dan berdisiplin tinggi.
"Misi dan matlamat selepas menamatkan pengajian ini nanti ialah bersiap sedia untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit-pesakit di hospital dalam negara.
"Malah bersiap sedia untuk dihantar ke negara yang bergolak di seluruh dunia dalam memberi perkhidmatan perubatan terbaik," katanya selepas ditemui selepas Majlis Pemakaian Kot Putih Pelajar Pegawai Perubatan Tentera, Fakulti Perubatan dan kesihatan di UPNM, baru-baru ini.
Majlis itu telah disempurnakan, Naib Canselornya, Lt. Jeneral Datuk Allatif Mohd. Nor.
Hadir sama, Dekan Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan UPNM, Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin.
Faiz berkata, dengan kemudahan prasarana dan kelengkapan moden serta tenaga pengajar yang profesional dan berpengalaman UPNM mampu melahirkan graduan yang berani serta sahsiah tinggi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: