SISWA perlu memberanikan diri untuk menceburi bidang keusahawanan kerana ia ternyata mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka.
Tambahan pula bidang keusahawanan masih kurang diterokai golongan tersebut yang lebih gemar makan gaji berbanding menjadi majikan.
Sewajarnya siswa universiti merebut peluang yang tersedia khususnya menjadi usahawan dalam bidang pertanian atau penternakan.
Bagi merealisasikan hasrat itu, seramai 30 pelajar Kolej Komuniti Hulu Langat menganjurkan Kursus Keusahawanan Penternakan Arnab Program Latihan 1Malaysia baru-baru ini.
Kursus dianjurkan bersama Rabbit Fund Land East Asia Rabbit Corporation Sdn. Bhd yang merupakan syarikat peladang komersial penternakan arnab terbesar di Malaysia.
Salah seorang peserta, Shazwani Jamil memberitahu, melalui kursus dan latihan tersebut, dia didedahkan dengan teknik-teknik yang berguna dalam bidang perladangan arnab.
"Arnab merupakan haiwan yang mudah diternak dan cepat membiak, selain mampu menjadi sumber membekalkan daging dengan kandungan protein dan mineral tinggi serta rendah kolesterol dan lemak.
"Dengan mengikuti kursus ini dapat membantu saya untuk mengusahakan ternakan tersebut selain mempelajari teknik-teknik yang berguna selepas menamatkan pengajian nanti," katanya.
Menurut Shazwani, beliau amat bertuah kerana mengikuti pengajian di Kolej Komuniti yang membantu dirinya untuk menjadi insan yang berkualiti dalam bidang keusahawanan.
"Penyertaan golongan siswa dalam bidang keusahawanan dilihat selari dengan matlamat kerajaan yang mahu memastikan para pelajar menguasai semua bidang ekonomi.
"Ia juga membantu kaedah penternakan arnab secara komersial. Pendedahan mengenai persiapan untuk menjadi usahawan penternakan arnab pedaging selain menggalakkan siswa berani menceburi bidang keusahawanan.
Kursus tiga hari dua malam itu meliputi program dan teknik pengenalan industri arnab, teknik-teknik memberi makan, memeriksa anak-anak baru lahir, teknik menyusu, memeriksa bowl makanan (cara membersih), memeriksa makanan (pellet), dan memeriksa minuman arnab.
Selain itu, peserta turut diajar teknik-teknik produksi, teknik-teknik memeriksa induk bunting, cara-cara membina kandang dan sangkar arnab, cara-cara memeriksa waktu arnab mengawan serta langkah-langkah mengelak jangkitan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: