ADA sebahagian manusia secara amnya telah terbiasa dengan anggapan bahawa mereka yang berkulit putih atau cerah itu lebih cantik dan menawan.
Namun begitu dalam merungkai apakah seseorang yang mempunyai kulit yang lebih cerah atau putih adalah lebih menarik dan menawan, ia adalah sesuatu yang subjektif.
Ada pandangan bahawa wanita yang memiliki kulit putih melepak adalah antara kriteria utama dalam mentakrif kecantikan kaum hawa.
Tetapi oleh kerana warna kulit yang sering kita utamakan mungkin kerana ia sesuatu yang senang dilihat, maka kita sering terpengaruh dengan sesuatu yang bersifat luaran.
Sebenarnya kita telah terbiasa atau mungkin dibiasakan dengan pandangan dan pendapat bahawa mereka yang berkulit cerah adalah lebih cantik dan menawan. Sama ada kita sedar atau tidak, sejak wujudnya penjajahan kita telah ditanam dengan kenyataan orang kulit putih itu lebih bijak, cantik dan hebat.
Terbiasa
Maka dengan itu kebanyakan negara yang dijajah dan penduduknya hanya berserah kepada penjajah mereka yang majoritinya dari negara Barat untuk diperintah dan ditentukan hala tuju bukan sahaja dalam soal pemerintahan malah termasuk juga dalam erti cara hidup, soal beragama dan lain-lain.
Ini seterusnya mengakibatkan golongan yang terjajah ditanam dengan kenyataan bahawa golongan kulit putih adalah kaum yang hebat, terbaik dan cantik luar dan dalam.
Selama ratusan tahun ditanam dengan kenyataan ini telah mengakibatkan kebanyakan mereka ini 'terbiasa' bahawa golongan kulit putih ini adalah yang terbaik dalam segala hal.
Malah setelah tamatnya era penjajahan, penakrifan ini diteruskan lagi melalui pelbagai medium terutamanya media. Kita boleh saksikan sendiri bagaimana Hollywood yang memainkan peranan sebagai penyebar propaganda kulit putih.
Sejak wujudnya Hollywood, yang memegang watak utama hanyalah golongan kulit putih. Kita boleh saksikan sendiri bagaimana watak hero dan heroin mereka yang berkulit halus mulus dan putih melepak di uar-uarkan sebagai paling cantik dan kacak berbanding yang lain.
Kaum lain seperti kulit hitam, Asia dan hispanik hanya layak ditempelkan sebagai golongan bawahan sama ada sebagai orang gaji atau orang suruhan.
Walaupun dunia Hollywood sekarang sudah semakin terbuka dengan menampilkan pelakon kaum kulit selain putih sebagai watak utama, namun yang pasti mereka yang berkulit putih masih tetap dominan.
Ini boleh disaksikan sama ada dalam watak pembantu, sampingan mahupun mereka yang menjadi pengarah, penerbit dan pelbagai lagi.
Sifat dominan dan menguasai masih lagi jelas bukan sahaja di Hollywood malah dalam segenap bidang utama baik ekonomi, politik, pendidikan dan pelbagai lagi. Malah dalam menyatakan siapa wanita paling cantik di dunia pun tetap dikuasai oleh mereka yang berkulit putih.
Mujurlah baru-baru ini seorang wanita dari negara Angola ditabalkan sebagai wanita tercantik dunia apabila memenangi pertandingan Miss Universe 2011.
Taboo
Walaupun ia bukan sesuatu yang baru namun kisah kemenangan dalam pertandingan ratu cantik di kalangan wanita kulit hitam masih agak taboo dan dipandang sepi. Setakat ini sejarah kemenangan wanita berkulit hitam dalam pertandingan Miss Universe hanya tercatat sebanyak empat kali sejak kali pertama diadakan pada 1951.
Kemenangan kali pertama wanita kulit hitam dalam pertandingan ratu cantik terukir pada tahun 1977 apabila peserta dari Trinidad & Tobago, Janelle Commissiong mencatat sejarah wanita pertama memenangi pertandingan Miss Universe.
Pertandingan tersebut yang berlangsung di Santo Domingo, Dominican Republic turut memilih Commissiong sebagai Miss Photogenic yang disaksikan lebih 200 juta penonton di seluruh dunia. Walaupun menang, namun negara ini bukanlah terletak di Afrika kerana ia dikira sebagai Amerika Latin.
Kemenangan beliau ini agak mengejutkan kerana dunia terlebih dahulu menghargai wanita berkulit hitam berbanding negara yang memperjuangkan demokrasi dan hak sama rata iaitu Amerika Syarikat (AS).
Miss USA
Ini kerana AS hanya memilih wakil untuk pertandingan ratu cantik dari golongan kuli hitam bermula pada tahun 1990 apabila Carole Gist dinobatkan sebagai Miss USA dan kemudian mewakili negara itu dalam Miss Universe.
Walaupun sebelum itu Vanessa William pernah dinobatkan sebagai Miss USA pada 1983 namun kemenangan itu ditarik balik berikutan kontroversi gambar bogelnya yang tersebar luas selepas itu.
Kembali kepada kisah kemenangan Commissiong sebagai Miss Universe 1977, itulah kemenangan pertama dan terakhir wanita berkulit hitam pada pertandingan tersebut dalam era pengurusan lama yang diketuai oleh Miss Universe Organization dan pengasas bersama, syarikat pengeluar pakaian, Pacific Mills.
Bagaimanapun dengan pengambilalihan oleh bilionair terkenal AS, Donald Trump pada 1996, kecantikan golongan kulit hitam mula diterima dengan kemenangan kedua dicatatkan oleh Wendy Fitzwilliam juga dari Trinidad & Tobago yang dipilih sebagai Miss Universe pada tahun 1998.
Afrika
Seterusnya buat pertama kali wakil daripada sebuah negara Afrika, berjaya menambat hati para juri apabila Mpule Kwelagobe dari Botswana dipilih Miss Universe pada tahun berikutnya.
Dan kini selepas 12 tahun Ratu Cantik Angola, Leila Lopes dipilih sebagai Miss Universe tahun ini yang dianjurkan di Credicard Hall di Sao Paulo, Brazil.
Bagaimanapun berbeza keadaannya dalam satu lagi kategori ratu cantik yang mendapat perhatian di seluruh dunia iaitu Miss World apabila sehingga kini hanya seorang sahaja wanita berkulit hitam yang pernah memenangi pertandingan tersebut.
Wanita bertuah berkenaan adalah Agbani Darego dari Nigeria. Kemenangan tersebut turut menimbulkan kontroversi kerana ada cakap-cakap yang menyatakan Darego dipilih kerana pertandingan tersebut di adakan di Sun City, Afrika Selatan maka pemenangnya perlu terdiri dari wanita berkulit hitam.
Eksploitasi
Walaupun ada kebenarannya bahawa pandangan pertandingan ratu cantik sebegini lebih kepada mengeksploitasi daripada menghargai kecantikan dan keupayaan wanita, namun hakikatnya wanita daripada golongan kulit hitam senantiasa diketepikan sejak sekian lama.
Wanita golongan kulit hitam sering sahaja tertindas malah dinafikan hak dan peluang mereka bukan sahaja oleh kaum lain tetapi juga dari golongan lelaki berkulit sama.
Hakikatnya walaupun berkulit gelap dan dan kelihatan kurang menarik ketika kecil namun wanita sebegini tidak perlu merasa kurang yakin kerana dengan ketekunan dan usaha keras, mereka berkemampuan pergi lebih jauh tidak kira dalam apa juga bidang yang diceburi.
Namun waima apa pun dalam pertandingan ratu cantik sebegini kaum lelaki juga yang bertuah akhirnya, bak meminjam kata-kata Donald Trump, "Akhirnya buat pertama kali saya berjaya membuat keuntungan daripada wanita-wanita cantik kerana sebelumnya terlalu banyak wang saya hilang kerana mereka,".
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: