TABUNG Haji (TH) adalah satu-satunya badan yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan keberangkatan jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi menunaikan fardu haji.
Setiap tahun pengurusan haji sentiasa diatur bagi membolehkan hasrat para bakal haji melaksanakan rukun Islam yang kelima berjalan dengan sempurna serta kos yang efektif.
Bagi setiap musim haji, perancangan yang rapi bermula daripada sesi percambahan fikiran dan sesi penilaian operasi haji tahun sebelumnya.
Perancangan operasi haji adalah meliputi aspek bimbingan jemaah haji, penyediaan petugas haji, penyediaan prasarana dan logistik tanah air dan Tanah Suci serta mesyuarat penyelarasan dengan pihak-pihak berkuasa berkaitan.
Haji dikatakan ibadat kemuncak kerana ia melibatkan persediaan di sudut rohani dan juga fizikal. Oleh itu semenjak awal tahun lagi TH giat melaksanakan 20 aktiviti haji termasuklah lapan aktiviti urusan haji di tanah air.
Aktiviti haji di tanah air umumnya ada lapan perkara. Pusingan aktiviti haji dimulai dengan proses pendaftaran.
Bagi jemaah yang telah mendaftar dan telah sampai tahun pemilihan mereka ke Tanah Suci maka mereka akan diberi tawaran menunaikan haji.
Proses yang kedua adalah pemilihan bakal haji. Bagi bakal haji yang terpilih mereka akan dipanggil menyertai kursus haji.
Kursus haji yang dianjurkan TH terdiri daripada Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji.
Modul-modul yang disediakan dalam kursus-kursus ini mengandungi pelbagai maklumat ibadat haji sama ada secara teori atau praktikal.
Proses seterusnya setelah mengikuti kursus, bakal haji akan menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik kesihatan.
Bagi mereka yang baru terpilih bolehlah melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik panel terpilih bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan suntikan Meningitis Meningococcal ACYW-135. Mereka juga boleh mendapatkan suntikan tambahan influenza dan phenomecocal.
Proses yang kelima adalah proses pengurusan pasport. Bakal haji akan membuat pasport di pejabat imigresen yang berhampiran. Kos penyediaan pasport ditanggung oleh bakal haji.
Setelah pasport diperolehi, bakal haji hendaklah terus menghantarnya ke pejabat cawangan TH (tempat pendaftaran masing-masing).
Sebelum menghantar pasport ke pejabat cawangan TH hendaklah memastikan perkara berikut:
* Tempoh sah laku hendaklah tidak kurang dari enam bulan dari tarikh perjalanan
* Terdapat empat muka surat kosong secara berturutan sebelah-menyebelah
* Tiada larangan meninggalkan Malaysia
Setelah bakal haji mempunyai pasport, ia dikumpulkan dan untuk memohon visa di kedutaan Arab Saudi.
Bagi bakal haji yang terpilih mereka akan diberikan Surat Jadual Penerbangan (SJP).
Setelah itu bakal haji akan melapor diri ke stesen berlepas sebagaimana tertulis dalam SJP. Inilah pusingan aktiviti haji di tanah air yang perlu dilakukan oleh bakal haji.
Sebagai persediaan dari rumah, TH menyarankan supaya bakal haji:
* Menulis maklumat diri pada semua beg yang mereka bawa seperti nama dan alamat lengkap, nombor telefon, penerbangan dan pasport.
* Menyediakan wang perbelanjaan secukupnya dengan menukar sedikit wang Riyal Arab Saudi di mana-mana bank atau pengurup wang (dalam anggaran SR300).
Wang simpanan di Tabung Haji boleh dikeluarkan semasa di Tanah Suci dalam bentuk Riyal.
* Bakal haji yang menghidap penyakit tertentu dan perlu ubat atau peralatan khas hendaklah membawanya sendiri dalam beg sandang berserta surat doktor dan baki ubat diletak dalam bagasi besar.
Sementara itu, SJP akan dikeluarkan secara berperingkat-peringkat.
Bakal haji yang hendak mengetahui status mereka bolehlah berhubung dengan pejabat TH yang berhampiran atau TH Contact Centre di talian 03-62071919.
Kemudian, sebelum berangkat bakal haji harus:
* Memastikan tarikh dan waktu mereka melaporkan diri di Lapangan Terbang atau di Kompleks TH apabila mendapat SJP.
* Membawa bersama SJP (tinggalkan keratan sebelah bawah SJP tersebut kepada waris di Malaysia)
* Membawa Buku Rekod Rawatan.
* Sentiasa memakai lencana nama jemaah haji dan Gelang Pengenalan Haji (GPH) ketika melaporkan diri dan sepanjang masa berada di Tanah Suci.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: