Thursday, September 15, 2011

Asnaf sukar dapat bantuan?


Antara bantuan institusi zakat adalah membiayai kos rawatan hemodialisis pesakit buah pinggang.


MUTAKHIR ini, rata-rata amil yang berkerja di institusi zakat tidak nyaman tidur dan lenanya. Masakan tidak, lantaran isu-isu berkaitan agihan zakat boleh dikatakan menjadi bualan orang di mana-mana.

Bahkan, ia dicetuskan secara berleluasa di media massa. Biasalah, isu yang 'panas' dan bersifat 'menyalahkan' sesuatu pihak, memang mudah mendapat tempat di hati pembaca.

Secara sinikal, institusi zakat dipersalahkan dalam pelbagai hal. Kononnya, ada pemohon yang diherdik, dinafikan haknya, diarah pulang begitu sahaja dan tidak diberi peluang menerima bantuan zakat. Saya percaya, kes-kes di atas mungkin pernah berlaku, namun ia adalah kes-kes terpencil.

Bahkan saya yakin, institusi zakat yang berkaitan sudah mengambil inisiatif tertentu bagi mengatasinya. Pegawai yang bersalah sudah diambil tindakan tata tertib.

Namun, adilkah jika kerana kesalahan yang terpencil seperti itu ada pihak menganggap semua institusi zakat sering bersifat lepas tangan dan sambil lewa menjaga kebajikan para asnaf yang tujuh, khususnya fakir, miskin dan mualaf?

Amanah zakat

Zakat adalah alat penting menjaga kepentingan ummah. Itulah yang dipasakkan dalam pemikiran para amil. Kami sedar, bekerja sebagai amil, dibayar gaji dengan wang zakat. Maka kami berusaha pastikan setiap sen wang zakat sampai kepada asnaf yang berhak. Adalah haram bagi amil yang mensesiakan walau sesen wang zakat, menyeleweng dan menafikan hak asnaf.

Anas bin Malik pernah melaporkan, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: "Apabila aku menyerahkan zakat kepada utusanmu, apakah aku sudah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya? Rasulullah SAW menjawab: "Benar, apabila engkau telah tunaikan zakat itu kepada utusanku maka engkau telah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan engkau sudah mendapatkan pahala-Nya, sedang dosanya ditanggung orang yang menyelewengkannya (yakni para amil yang bertanggung jawab menguruskannya)." (Riwayat Ahmad).

Hadis di atas jelas meletakkan tanggungjawab menjaga amanah dan mengelola harta zakat di bahu para amil zakat. Amil yang menyeleweng, mereka dikira berdosa.

Sebab itulah, para amil zakat berusaha menjaga amanah wang zakat dengan sebaiknya. Bahkan amalan cara kerja di institusi zakat juga, amat menekankan aspek amanah ini.

Amil yang terbukti menyeleweng, tindakan akan diambil, sama ada dibuang kerja atau dirujuk kepada pihak berkuasa, seperti pihak polis dan pencegahan rasuah.

Susah dapatkan bantuan?

Benarkah amat susah mendapatkan bantuan zakat? Jika susah, masakan jumlah penerima zakat ada puluhan ribu bahkan mungkin ratusan ribu orang.

Sebagai contoh, di Selangor sahaja bagi tahun 2011, hampir 20,000 keluarga diberi bantuan zakat sebagai asnaf fakir dan miskin. Itu belum dicampur semua negeri di Malaysia. Jika benar susah memohon, kenapa ada begitu ramai yang mendapat bantuan zakat?

Jika ditinjau lebih teliti, bukan sedikit penerima bantuan zakat sudah mengecapi hidup yang lebih selesa berbanding sebelum mereka disantuni dengan wang zakat.

Untuk menyambut ketibaan Ramadan dan Syawal tahun 2011 misalnya, sesebuah keluarga menerima minimum RM550 dan maksimumnya RM1,000. Ia umpama bonus kepada fakir dan miskin. Malah jauh lebih tinggi berbanding bonus pesara kerajaan atau penjawat posisi tertentu sebanyak RM500.

Rumah atau perlindungan misalnya, ribuan asnaf fakir dan miskin serta mualaf yang tidak mempunyai rumah telah diberikan tempat tinggal oleh pihak zakat. Mereka boleh duduk secara percuma, di rumah yang selesa.

Tujuannya hanya satu, dengan rumah yang sempurna itu dapat memudahkan mereka merencanakan perubahan diri. Mereka tidak perlu memikirkan tempat tinggal lagi.

Rumah atau tempat berlindung ini turut melibatkan rumah perlindungan bagi golongan yang khusus, seperti warga emas, wanita bermasalah, pesakit AIDS dan sebagainya. Pendek kata, wang zakat dilaburkan secara berhemah dan sistematik agar ia dapat menampung keperluan umat Islam secara lebih berkesan.

Jika ada yang ragu, silalah merujuk kepada institusi zakat di negeri masing-masing bagi melihat bentuk agihan yang dilakukan.

Jadi, benarkah asnaf fakir dan miskin sukar mendapatkan bantuan? Ini kerana, ramai di kalangan mereka yang diberi bantuan modal perniagaan. Bukan sedikit yang menceburinya, membuka kedai runcit, membuka perusahaan membuat kuih tradisional, membuka bengkel membaiki kenderaan, mengecat kereta, membuka pusat kecantikan, urutan dan spa, membuka taska, menjalankan projek ternakan ikan, menternak ayam, lembu, kambing dan sebagainya.

Jadi, benarkah asnaf fakir dan miskin diabaikan? Ini kerana, keperluan mereka dijaga penuh perhatian. Anak-anak mereka dibiayai dari sekolah rendah hingga ke universiti termasuk di luar negara.

Anak-anak asnaf yang cemerlang diberi insentif tambahan seperti biasiswa, wang saku, komputer riba dan ganjaran akademik yang relevan dengan pencapaian. Maka, ramai yang berjaya dan ini membuktikan keberkesanan agihan zakat.

Akhirnya, benarkah susah mendapatkan bantuan zakat? Ini kerana, ribuan pesakit menerima habuan. Misalnya pesakit buah pinggang yang mesti melalui proses dialisis tiga kali seminggu, institusi zakat tampil membantu.

Anak yang perlu dirawat, isteri yang terlantar di hospital, suami yang uzur dan sebagainya diberi bantuan zakat untuk kos rawatan. Jumlahnya mencecah puluhan ribu seorang dan jutaan ringgit setahun.

Hakikatnya, terlalu banyak jika mahu disenaraikan. Namun, jika kita mahu menelitinya dengan hati yang tenang dan kepala yang tenteram, bukan mahu mencari kesalahan orang, maka kita pasti mengakui bahawa institusi zakat telah banyak meringankan bebanan ummah.

Pengalaman sebenar

Oleh itu, mengapa ada perkhabaran kononnya masih ada segelintir umat Islam yang dinafikan hak mereka oleh pihak institusi zakat? Lalu, mereka akhirnya terjebak dalam kemelut akidah apabila tampil pihak-pihak lain, misalnya gereja, yang peduli dan ambil kisah keperluan mereka.

Suka dijelaskan, pemohon zakat ini ada 1,001 ragam. Ada yang jujur memohon bantuan atas keperluan diri dan keluarga, ada juga yang mahu mengambil kesempatan dengan alasan yang direka-reka.

Sudah pasti, pihak institusi zakat perlu mengawalnya. Sesuai dengan kehendak agama bahawa wang zakat adalah amanah yang kelak akan dipersoalkan di hadapan Allah. Dalam proses kawalan ini, pelbagai pengalaman menarik boleh dikongsi.

Ada kes, pemohon zakat yang datang dengan sekeping laporan polis. Dompet dan segala dokumennya hilang. Maka, dia datang mahu mendapatkan bantuan.

Lebih menarik, adakalanya dengan jelas mereka mahu memohon atas asnaf ibn sabil, yakni pemusafir yang terlantar dek kehabisan belanja. Maknanya, mereka sudah menetapkan apakah bentuk zakat yang boleh mereka minta.

Demi mematuhi prosedur permohonan, mereka akan disiasat. Ada berlaku, orang yang sama berkali-kali memohon di kaunter-kaunter zakat berhampiran. Ada juga yang nampak sangat temberangnya apabila jawapannya jelas direka-reka.

Misalnya, dia dari Johor mahu pulang ke Kedah, namun singgah di Selayang lalu di situlah dompetnya hilang. Apabila ditanya, kenapa singgah di Selayang, jawapannya mencurigakan.

Apabila ditanya berapa wang yang perlu untuk sampai ke destinasi, dia meminta jumlah yang tinggi. Adakalanya, diberi RM100 minta tambah lagi.

Ada juga yang datang ke pejabat zakat marah-marah melenting. Tanpa peduli maruah kakitangan atau amil di hadapan orang. Mereka merungut kononnya wang bantuan bulanan lambat dimasukkan ke dalam akaun.

Tidakkah pelik apabila mereka ini meletakkan punca rezeki hanya kepada wang zakat, sedangkan zakat hanyalah bantuan yang memenuhi kecukupan. Mereka mesti bekerja, kemudian zakat akan menampung bahagian yang tidak cukup. Zakat bukanlah pendapatan.

Ada juga yang lebih berani, wang zakat diguna ke tempat yang salah. Membeli rokok perkara biasa. Malah ada yang sanggup berjudi. Bila tertangkap, terus-terang mereka mengaku mereka berjudi dengan wang zakat.

Betapa remuk hati para amil apatah lagi pembayar zakat mendengar kes ini. Pihak amil terpaksa bertegas, maka adakalanya bantuan akan ditapis, diberikan sesuai dengan keperluan semasa demi memastikan ia tidak disalah guna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: