“LIMA minit sahaja untuk saudara-saudari bersiar-siar di sekitar sini,” kata pemandu bas ekspres kami, John merujuk kepada Tasik Wanaka, New Zealand yang terbentang luas di depan mata.
Saya dan rakan ketika itu sedang dalam perjalanan bas dari Makaroa ke Queenstown dan salah satu tempat persinggahan untuk berehat ialah Tasik Wanaka, sebuah tasik yang terletak di Pulau Selatan.
Tasik Wanaka ialah tasik keempat terbesar di New Zealand. Tasik yang airnya tenang itu dikelilingi gunung-ganang. Pada awalnya ingatkan lautan kerana ia terdampar luas. Panjangnya 45 kilometer dan meliputi 193 kilometer persegi.
Tanpa berlengah-lengah lagi, saya segera bergegas turun dari bas untuk merakamkan permandangan indah yang mempesonakan di situ.
Pada pendapat saya, airnya yang jernih itu membiru amat sesuai untuk aktiviti sukan air. Tepat ramalan saya. Papan tanda yang terpacak di tepi sebuah platform menunjukkan para pengunjung boleh bermain bot jenis jet (jetboating), belayar makan angin di tasik, menangkap ikan dan meluncur air dengan teksi air.
Merenung jauh ke tengah tasik, saya ternampak sebuah bot layar sedang berlabuh. Tiba-tiba saya jadi Mat Jenin pula. Angan-angan belayar makan angin.
Sambil asyik melayan khayalan kosong, mata saya terpana melihat sekumpulan itik Mandarin berenang di tepi tasik. Sangat menyeronokkan melihat itik-itik tenggelam timbul serta terumbang-ambing dipukul alunan ombak.
Kalau ada masa, saya memang teringin nak terjun ke dalam tasik untuk mengejar itik-itik tersebut. Terkenangkan pertandingan menangkap itik suatu ketika dulu.
Saya berharap putaran masa berhenti ketika itu agar dapat berada di situ lebih lama. Hon bas berbunyi beberapa kali. Alamak, saya kembali ke dunia realiti. Rupa-rupanya lima minit sudah berlalu.
Sekelip mata ia berlalu. Lima minit itu bagaimanapun akan saya abadikan kerana dapat menghayati keindahan alam sama seperti landskap terakam pada poskad. Selain itu, terasa persinggahan sebentar di situ memberi kesan terapeutik.
Hembusan angin dari tasik sangat menyegarkan dan menyamankan. Tercegat seketika di tepi pantai dapat menghilangkan lesu badan! Manakan tidak, saya sudah duduk berjam-jam dalam bas.
Mahu tidak mahu, saya terpaksa menaiki bas kembali. Meninggalkan suatu tempat menarik tanpa berkesempatan untuk menerokai keistimewaan adalah suatu perkara yang mendukacitakan.
Alangkah baiknya saya boleh singgah di situ untuk lima jam. Lima hari pun tak apa. Bukan sekadar lima minit. Ini kerana terdapat bot, kenu dan peralatan sukan air yang boleh disewa di sebuah pusat sehenti aktiviti air.
Malah carian google mendapati terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan di Lake Wanaka lagi. Bukan sahaja di air, bahkan di udara serta darat! Sekadar menyebut beberapa aktiviti udara, pelancong boleh belajar paraglide, terjun udara secara serentak bersama jurulatih (tandem sky dive) selain menaiki kapal terbang mahupun helikopter untuk bersiar-siar.
Di darat pula, orang ramai antara lain boleh mengayuh basikal, menunggang basikal atau kuda, bermain golf dan ski.
Pengembaraan ke Tasik Wanaka dikira tidak lengkap sekiranya tidak menjelajah pulau-pulau berdekatan serta menyusuri sungai-sungainya.
Saya akui bibit-bibit cinta pada Tasik Wanaka sudah tersemai melalui persinggahan selama lima minit itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: