Saturday, September 10, 2011

Padang Kota meriah umpama pesta


Salah seorang penarik beca mengayuh becanya mengelilingi Padang Kota bersama pengunjung.


SEBUT sahaja Padang Kota, pasti ramai yang tahu tempatnya meskipun mereka bukan berasal dari Pulau Pinang.

Ia merupakan antara lokasi wajib kepada pengunjung Pulau Mutiara tanpa mengira bangsa dan had umur.

Bagi yang muda, di situlah mereka berkumpul bersama rakan sebaya untuk berkongsi cerita tentang apa sahaja yang mereka minati.

Bagi yang sudah berkeluarga pula, Padang Kota menjadi pilihan untuk membawa anak-anak bersiar.

Malah kaki pancing turut kelihatan mencuba nasib agar kail mereka disambar ikan di Padang Kota.

Terletak di tepi pantai, kawasan ini diapit dengan beberapa bangunan bersejarah berusia ratusan tahun seperti Kota Cornwallis dan bangunan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Ini membuatkan persekitarannya menyajikan pemandangan yang cukup menarik.

Hembusan bayu dari laut pula menjadikan suasana terasa segar dan nyaman. Di situ juga terdapat medan selera yang menjual pelbagai hidangan terkenal di Pulau Pinang seperti nasi kandar dan pasembur.

Semua itu menjadikan Padang Kota terus ‘hidup’ umpama sebuah pesta meskipun jarum jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengah malam.

Lantas, peluang itu digunakan sebaik mungkin oleh golongan peniaga yang sanggup bersengkang mata mencari rezeki yang boleh dikatakan lumayan buat mereka.

Ia termasuk pengayuh beca yang sentiasa menggamit orang ramai terutama pelancong untuk menaiki kenderaan roda tiga mereka.

S2 berkesempatan mendengar dari mulut pengunjung sendiri tentang keunikan Padang Kota yang membuatkan mereka tidak jemu berkunjung ke situ.

Seorang pengunjung, Ida Royani Romelan, 24, memberitahu, setiap kali mempunyai masa terluang pada waktu malam, dia akan datang ke Padang Kota kerana tempat tersebut menjadi tumpuan ramai anak-anak muda.

“Seronok bila lihat ramai muda-mudi berkumpul di sini pada waktu petang, sebab itulah saya juga teruja bila datang ke sini. Lagipun tempat ini terbuka. Jadi, tidak perlu takut jika ke sini walaupun seorang diri.

“Saya selalunya datang dengan keluarga atau rakan-rakan dan kami biasanya akan duduk bersantai di sini untuk menghirup udara segar di malam hari,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga barangan permainan, Che Yam Nordin, 45, turut menyuarakan pandangan yang sama.

Katanya, Padang Kota merupakan antara tempat yang menjadi tumpuan penduduk negeri ini bukan sahaja kerana kedudukannya yang strategik tetapi juga faktor sejarah kawasan sekitarnya.

“Kawasan ini dipenuhi orang ramai setiap hari sehingga awal pagi. Ada yang datang bawa anak-anak bermain memandangkan mereka sibuk bekerja di siang hari.

“Malah setiap kali malam, boleh dikatakan macam ada perayaan yang ingin disambut di sini,” ujarnya.

Seorang pengayuh beca, Wong Yeap Hui, 60, pula berkata, setiap malam dia pasti akan datang ke situ untuk berehat sambil berusaha menarik pengunjung agar menaiki becanya.

"Saya sudah lama kayuh beca dan setiap malam saya pasti datang ke sini untuk melepaskan penat dan mencari rezeki,” jelasnya.

Bagi yang pertama kali mahu menjejakkan kaki ke Pulau Pinang, jangan lupa singgah di Padang Kota untuk menikmati kemeriahan di situ.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: