Saturday, September 10, 2011

Putrajaya Shangri-la bertaraf 5 bintang


PEMANDANGAN di lobi hotel Shangri-la


BAGI mereka yang tidak pernah berkunjung ke Putrajaya atau pun jarang berurusan di pusat pentadbiran kerajaan ini, mungkin tidak menyedari kewujudan sebuah hotel bertaraf lima bintang di kawasan ini.

Manakan tidak, kebanyakan orang luar beranggapan Putrajaya hanya menempatkan bangunan-bangunan kerajaan, premis perniagaan dan perumahan untuk kakitangan awam sahaja.

Namun, di tengah-tengah kesibukan pusat pentadbiran kerajaan ini terdapat sebuah hotel milik orang paling kaya di Malaysia, Robert Kuok Hock Nien yang dibina di puncak sebuah bukit di Taman Putra Perdana, Presint 1.

Terletak agak terlindung daripada kesibukan lalu lintas, hotel Putrajaya Shangri-la telah wujud sejak lapan tahun lalu dan merupakan satu-satunya daripada rangkaian hotel itu yang menggunakan konsep hotel butik iaitu hotel yang mempunyai jumlah bilik yang sedikit berbanding dengan hotel mainstream lain.

Hotel butik ini menjadi pilihan utama kepada ahli perniagaan dalam dan luar negara sebagai lokasi untuk bermesyuarat, beristirehat dan berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan mahu pun swasta yang banyak berpusat di sini.

Selain itu, Putrajaya Shangri-la juga bertuah kerana terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang memudahkan tetamu yang mempunyai urusan perniagaan dalam perhentian singkat atau mempunyai urusan di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Cyberjaya, Lembah Silikon Malaysia.

Dengan menggunakan idea konsep pembinaan Putrajaya iaitu bandar dalam taman, hotel ini turut berkongsi idea yang sama apabila tema yang diguna pakai adalah alam semula jadi.

Ia dapat dilihat pada taman yang mengelilingi hotel ini dan tumbuhan tropika yang diletakkan di dalam hotel serta taman teres yang bersambung dengan bilik tetamu.

Dengan menawarkan kemudahan sebanyak 118 bilik yang dikategorikan sebagai penginapan mewah, Putrajaya Shangri-La menyediakan lapan jenis bilik pilihan iaitu Deluxe Park View, Deluxe Hill View, Deluxe Hill View (keluarga), Fountain Court View, Executive Suite, Premier Suite dan Presidential Suite pada harga bermula serendah RM350++ hingga RM820++ semalam.

Namun, sempena menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Merdeka, Putrajaya Shangri-La menawarkan dua pakej istimewa kepada pelanggannya iaitu Pakej Cuti Perayaan yang menawarkan penginapan satu malam bersama sarapan dan Pakej Bilik Getaway yang menawarkan penginapan satu malam beserta sarapan dan hidangan malam pada harga yang istimewa.

Kesemua bilik-bilik itu dilengkapi TV skrin rata dengan siaran Astro, kemudahan internet dan perabot yang mewah serta bermutu tinggi, selain dilatari pemandangan mempesona bandar.

Selain menyediakan penginapan, hotel ini turut menyediakan kemudahan sebuah dewan yang mampu memuatkan tetamu seramai 150 orang dalam satu masa untuk pelbagai acara dan tujuan seperti majlis perkahwinan, sambutan ulang tahun dan rumah terbuka hari raya.

Manakala, bagi syarikat yang mahu mengadakan perbincangan atau kelas 'brainstorming' pula, Putrajaya Shangri-La menyediakan tiga bilik mesyuarat yang mampu memuatkan 20 hingga 30 orang.

Hotel Putrajaya Shangri-la juga menyediakan dua tempat menarik untuk menjamu selera mengikut cita rasa pengunjung iaitu Kafe Azur yang menyediakan hidangan berkonsepkan fine-dining dan Kafe Palm Hill yang mengetengahkan sajian bufet antarabangsa yang masing-masing berharga dalam lingkungan RM93 dan RM116.

Jauh dari kesibukan ibu kota, Hotel Putrajaya Shangri-la juga sesuai sebagai tempat menghilangkan tekanan pada hujung minggu mahu pun ketika hari biasa.

Di sini terdapat sebuah kolam renang yang besar berstatus infiniti dengan latar belakang pemandangan yang sangat indah iaitu bangunan-bangunan hebat

di Putrajaya.

Selain itu, Putrajaya Shangri-la juga menyediakan rawatan spa dengan kaedah yang unik apabila urutan dilakukan berdasarkan konsep zodiak kalendar Barat.

Pengunjung akan dibelai oleh pakar terapi bertauliah mengikut tarikh lahir pelanggan menggunakan minyak, bunga dan herba terpilih pada harga bermula daripada RM180 hingga RM300.

Bagaimanapun, untuk pelanggan yang mahukan pakej rawatan spa yang lebih murah, hotel ini turut menyediakan beberapa jenis rawatan berkonsepkan urutan ala carte yang harganya bermula serendah RM80 sahaja.

Bagi pengunjung yang berminat boleh mengunjungi spa tersebut pada setiap hari bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

Terletak berhampiran spa tersebut, terdapat sebuah gimnasium yang dibuka 24 jam sehari untuk pengunjung beriadah.

Untuk pengunjung yang mahu merasai sendiri percutian di sini boleh terus menghubungi pegawai khidmat pelanggan hotel Putrajaya Shangri-la di talian 03-8887 8888 atau e-mel di alamat, slpt@shangri-la.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: