
Baginya, duduk bersama dengan teman-teman dan melakukan pelbagai aktiviti bersama membuatkannya riang dan gembira.
Sama seperti kebanyakan remaja lain, Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira Mohd. Zamzam, 22, lebih selesa sekiranya detik berkenaan diluangkan dengan bersantai bersama teman-temannya.
"Begitulah rutin saya sekiranya tidak terikat dengan aktiviti seni, saya akan mengajak rakan-rakan untuk keluar dan menghabiskan masa terluang kami bersama-sama.
"Bagi saya dengan cara itu, ia dapat membuatkan saya lupa sebentar terhadap bebanan kerja yang ditanggung selain merehatkan diri.
"Lagipun apabila keluar bersama ia dapat mengeratkan lagi hubunan persahabatan yang telah terjalin di antara kami," ujarnya kepada S3 baru-baru ini.
Menyambung bicara, gadis yang dibesarkan di Ipoh, Perak itu menambah, apabila keluar bersama rakan-rakannya banyak aktiviti yang dilakukan seperti menonton wayang, berkaraoke, duduk minum-minum di kedai mamak ataupun mengunjungi spa.
"Selalunya kalau keluar, pasti saya dan kawan-kawan akan melakukan beberapa aktiviti dalam memenuhkan ruang kosong yang kami ada.
"Namun antara yang wajib kami lakukan adalah mengunjungi kafe ataupun restoran-restoran mamak di mana sambil makan atau minum, kami akan bertukar-tukar cerita.
"Dari situ sedikit sebanyak kami dapat mengetahui perkembangan terkini yang berlaku dalam kehidupan masing-masing," jelas anak sulung daripada dua beradik itu.
Ujarnya lagi, setelah letih berbual perihal cerita terbaru tentang diri masing-masing, barulah dia dan rakan-rakannya beransur meninggalkan restoran yang dikunjungi untuk melakukan aktiviti lain.
"Dari restoran atau kafe itu, kami akan beralih ke tempat-tempat lain. Tengoklah kalau ada yang ingin menonton wayang, kami akan terus ke panggung dan kalau ada yang ingin berkaroke, kami akan ke pusat karaoke.
"Semua itu bergantung kepada keputusan majoriti jika ramai yang ingin ke karaoke, kami semua akan ke sana," kongsi Ramona lagi.
Namun jelas Ramona, secara jujurnya dia lebih gemar keluar menonton wayang bersama dengan teman-temannya itu.
"Saya ini kaki wayang dan hampir setiap minggu saya akan menjengah ke panggung untuk menonton filem-filem terbaru.
"Tetapi sekiranya kawan-kawan mengajak ke tempat lain, saya tetap akan bersama dengan mereka.
"Bagi saya apa yang penting kami dapat bersama dalam meluangkan masa tanpa mengira kepentingan diri sendiri," jelas aktres yang meminati bintang Hollywood, Megan Fox dan Gerard Butler.
Selain itu, ujar pelakon yang mula dikenali menerusi drama Begitukah Cinta, dia juga akan memperuntukkan masa untuk keluar bersama keluarganya.
"Keluarga adalah keutamaan saya dan sekiranya ada kelapangan, saya akan mengajak keluarga untuk keluar bersama.
"Selalunya jika keluar dengan keluarga, pusat membeli-belah adalah destinasi yang akan kami tujui sama ada untuk membeli-belah ataupun sekadar mencuci mata," kata Ramona yang baru tampil dalam telefilem Tart Untuk Kakak yang disiarkan sempena Aidilfitri lalu.
Jelasnya, keluarga juga adalah peneman setia yang akan menemaninya untuk berkunjung ke restoran mamak sekiranya dia teringin untuk menikmati hidangan lewat malam.
"Teh tarik merupakan minuman kegemaran saya. Jika waktu malam, saya teringin minum teh tarik di restoran mamak, saya pasti mengajak ibu, ayah dan adik saya ke restoran berhampiran rumah kami.
"Malah makanan mamak juga dekat dengan keluarga saya terutamanya ayah yang begitu menggemari masakan kari. Maklumlah ayah saya ada darah Pakistan," ujar Ramona sebelum menamatkan perbualan pada petang itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: