Friday, September 16, 2011

Komando ATM sekat serangan


KAPAL MT Eagle Stealth yang cuba dirampas lanun ketika melalui perairan Bab Al-Mandeb, 30 batu nautika dari Al-Mukha, Yaman.


IPOH 15 Sept. - Sebuah Pasukan Perlindungan Khas (PPK) Bunga Mas 5 terdiri daripada enam anggota komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mematahkan cubaan lanun merampas kapal dagang MT Eagle Stealth milik syarikat perkapalan negara, MISC.

Dalam kejadian pukul 6 petang, 11 September lalu itu, lima bot laju dinaiki antara 10 hingga 15 lanun dipercayai dari Somalia cuba merapati kapal tersebut ketika belayar merentasi Bab Al-Mandeb, 30 batu nautika dari Al-Mukha, Yaman.

Menurut kenyataan akhbar Bahagian Perhubungan Awam, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), semua bot tersebut berpatah balik selepas menyedari kehadiran anggota pasukan keselamatan negara di atas kapal berkenaan.

"Pasukan PKK yang diketuai Leftenan Aswad Zakareya melepaskan satu das tembakan amaran dan memperagakan kehadiran mereka bagi menakutkan kumpulan bot-bot tersebut.

"Tembakan tersebut dan kelibat anggota PPK di geladak atas telah berjaya mengusir bot-bot itu daripada terus mengekori dan merapati kapal," kata kenyataan itu.

Pada 22 Januari lalu, pasukan PKK Bunga Mas 5 telah berjaya menyelamatkan kapal dagang MT Bunga Laurel selepas dua jam ditawan lanun, kira-kira 300 batu nautika di timur Oman.

Selain kapal Bunga Mas 5, keselamatan kapal-kapal negara ketika melalui perairan Somalia turut dilindungi kapal auxiliary TLDM, Bunga Mas 6.

Menurut kenyataan itu lagi, ketika kejadian, MT Eagle Stealth yang merupakan kapal tangki pengangkut minyak jenis Low Sulphur Fuel Oil, sedang membawa 56,000 metrik tan minyak bernilai kira-kira RM200 juta.

Sebanyak 26 krew berada di atas kapal ketika kejadian termasuk seorang kapten warganegara Filipina. Krew kapal terdiri daripada warganegara Singapura, India, China, Bangladesh, Ukraine, Ghana dan dua dari Malaysia.

"Nyata kehadiran pasukan PPK di atas Kapal Auxiliary TLDM Bunga Mas 5 dan Bunga Mas 6 serta penempatan pasukan itu di atas kapal dagang bagi melakukan perlindungan secara terus telah mencapai objektifnya dan secara langsung menyelamatkan hasil dagangan negara yang amat tinggi nilainya," kata kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: