Tuesday, September 27, 2011

Mohon jangan dihentam : Namewee



Biarpun mencipta nama menerusi publisiti negatif atau kontroversi melalui lagu Negarakuku pada 2007, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee mengakui terkhilaf dengan perbuatannya itu.

Kini graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Ming Chuan di Taoyuan, Taiwan, memohan agar diberi peluang dan tidak berputus asa untuk membuktikan kecintaannya kepada tanah air melalui jendela perspektifnya.

“Saya akui itu silap saya dan saya tidak mahu bercakap apa-apa tentang perkara lalu. Saya harap semua orang melihat dan menilai terlebih dahulu karya saya sebelum menghentam saya,” mula bicara Namewee kepada Zass.

Bagaimanapun, Namewee sempat meluahkan rasa terharu dan bersyukur apabila karya pertamanya, filem Nasi Lemak 2.0 mendapat sambutan baik dan berjaya mengutip RM4.5 juta.

“Saya rasa bila ada pihak meminta filem saya dihentikan tayangannya, ia sebenarnya membantu memberi publisiti kepada filem tersebut.

“Apa yang pasti filem ini bukanlah sindiran kepada masyarakat Malaysia, ia lebih kepada perpaduan dan menghentikan rasa rasis sesama bangsa,” katanya.



Terus berkarya

Namewee berkata, meskipun dihentam dan mendapat tentangan daripada sesetengah pihak, dia tidak akan berputus asa dan terus berkarya.

“Saya tidak boleh memaksa semua orang sukakan saya dan saya sudah biasa bila ada pihak membenci dan mencemuh apa jua tindakan saya.

“Namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkarya kerana bidang seni memang dekat dengan jiwa saya,” katanya.

Namewee berkata, misinya kini adalah untuk menghasilkan karya dengan wajah 1Malaysia serta tidak menyebelahi mana pihak.

“Ramai yang kata saya gemar menyebelahi pihak-pihak tertentu dalam menghasilkan karya. Tapi, hakikatnya tidak.

“Contohnya apabila saya hasilkan Nasi Lemak 2.0, saya gabungkan artis berbilang bangsa, seperti Afdlin Shauki, mungkin ada bangsa Cina yang tidak kenal dia, tapi sebenarnya dia antara artis yang terkenal,” katanya.

Namewee berkata, jika filem Nasi Lemak terus mendapat sambutan, dia tidak akan teragak-agak untuk tampil dengan karya terbaru selepas ini.

“Buat masa ini, saya belum terlibat dengan sebarang projek seperti pembikinan filem atau drama. Tetapi jika filem Nasi Lemak 2.0 mendapat sambutan, tidak mustahil saya akan hadir dengan karya terbaru selepas ini,” katanya.



Jelmaan Yasmin Ahmad?

Semenjak pemergian Allahyarham Yasmin Ahmad, peminat industri tempatan jarang dapat melihat karya yang benar-benar berwajahkan 1Malaysia.

Namun tidak keterlaluan dikatakan, Namewee kini mula tampil dengan karya-karya mirip Allahyarham.

Bagaimanapun, Namewee tidak mahu disamakan karyanya kerana menganggap wanita itu terlalu hebat sebagai anak seni.

“Bagi saya, karya Yasmin terlalu patriotik dan berkualiti. Malah, karyanya juga sudah diiktiraf di luar negara.

“Saya rasa masih terlalu jauh untuk menyamakan saya dengan dia kerana idea Yasmin penuh dengan seni. Saya pula lebih ke arah komedi untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat. Bagaimanapun saya teringin mengecap kejayaan yang sama seperti beliau,” katanya.



Seruan mengundi

Sementara itu, Namewee sempat mempromosikan projek terbarunya, Undilah yang sudah dilancarkan sejak 16 September lalu, yang membawa mesej mengajak rakyat Malaysia untuk mendaftar dan mengundi.

“Saya tahu, bila saya terlibat dengan projek Undilah, orang akan kaitkan saya dengan politik. Sebenarnya ia tiada kaitan langsung dengan parti politik.

“Sebaliknya, saya, Pete Teo dan Afdlin Shauki mahu membawa mesej kepada rakyat Malaysia, betapa pentingnya hak kita sebagai pengundi.

“Ia adalah pesanan khidmat sosial kepada empat juta rakyat Malaysia, yang boleh mengundi, tetapi tidak mendaftar,” katanya.

Namewee berkata, idea ini dicetuskan Pete Teo yang mahu mengajak semua rakyat Malaysia supaya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Lebih istimewa apabila projek tersebut mendapat sokongan dari ke semua parti politik, selebriti, ahli sukan dan juga sukarelawan di Malaysia.

“Dianggarkan hampir 100 orang terlibat dalam projek klip video Undilah yang diarahkan oleh Benjy Lim,” katanya.

Namewee yang terlibat sebagai penulis lirik dan juga sebagai penyanyi untuk lagu Undilah berharap rakyat Malaysia menyokong dan menonton karya mereka di laman YouTube atau layari ke www.undilah.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: