Tuesday, September 27, 2011

Little Taiwan dijamin halal



Kepelbagaian budaya masyarakat di Malaysia sering kali dilihat sebagai keistimewaan dan kelebihan, terutamanya kepada masyarakat luar. Kepelbagaian ini juga antara lainnya menawarkan pelbagai pilihan makanan kepada cita rasa Malaysia.

Hari ini, makanan masyarakat India seperti tosai, Melayu (nasi lemak) dan Cina (mi wantan) boleh dikatakan menjadi kegemaran setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Atas faktor ini, Little Taiwan mengambil inisiatif memperkenalkan keistimewaan makanan Taiwan di pasaran Malaysia bagi memberi kesempatan penggemar makanan Cina mencuba sesuatu yang baru secara amnya.



Penuhi cita rasa

Namun, apabila berbicara mengenai makanan Taiwan, pasti ada dalam: kalangan kita yang tidak pernah mencuba dan meragui makanan ini dengan alasan ia tidak halal.

Bagaimanapun, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Little Taiwan (Franchise) Sdn Bhd, Richard PS Woo berkata, makanan yang disediakan di Little Taiwan sepenuhnya adalah halal kerana ia bagi memenuhi cita rasa pelanggan Melayu di Malaysia.

“Selepas membuat kajian mengenai pasaran di Malaysia, kami dapati makanan Taiwan yang ada di pasaran adalah tidak halal. Maka, kami di Little Taiwan mengambil peluang dengan menawarkan makanan Taiwan yang halal untuk pelanggan Melayu khususnya.

“Pada 2009, kami mendapat lesen untuk menjalankan perniagaan ini secara francais, dan sehingga kini kami mempunyai lebih 25 cawangan di mana 90 peratus daripadanya di buka di dalam pusat membeli belah,” katanya sambil memberitahu cawangan Little Taiwan terdapat di Melaka, Johor dan sekitar Lembah Klang.


Little Taiwan jenama Malaysia

Richard berkata, nama Little Taiwan dilihat sukar untuk menarik dan mendapatkan keyakinan pelanggan Melayu untuk mencuba makanan di restoran berkenaan.

“Kebanyakan pelanggan Melayu takut untuk mencuba makanan di Little Taiwan kerana ragu dan was-was akan status halalnya. Tetapi saya ingin katakan di sini bahawa Little Taiwan adalah jenama asal Malaysia, dan segala resipi serta bahan yang digunakan adalah halal dan diolah mengikut kesesuaian dan budaya masyarakat Malaysia.

“Malah, kami pernah melantik personaliti Maria Tunku Sabri sebagai duta Little Taiwan dalam usaha menarik lebih ramai pelanggan Melayu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: