Saturday, September 10, 2011

CBR250R tampak hebat


CBR250R sesuai untuk semua jenis pengalaman penunggang.


ENAM bulan lalu, senario segmen motosikal berkuasa tinggi kategori 250cc diramal berubah dengan kehadiran model terbaharu Honda. Apa lagi kalau bukan Honda CBR250R yang diimport dari Thailand oleh pihak Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew).

Tidak keterlaluan dikatakan CBR250R ialah satu-satunya sportbike yang masih jarang kelihatan menderum di jalan raya. Jujur dikatakan, saya sendiri pun tercari-cari kelibat motosikal itu. Hanya sekali sahaja terserempak iaitu di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) menghala ke Damansara Utama, Selangor.

Untuk mengetahui apa sebabnya, saya menghubungi hampir kesemua pengedar pusat 4S Boon Siew Honda di sekitar kawasan ibu negara dan Selangor.

Apa yang dapat dirumuskan ialah senarai menunggu untuk mendapatkan model itu agak panjang, sekitar satu hingga tiga bulan. Purata pengedar cuma diberikan satu unit atau dua unit sahaja. Mungkin berdasarkan tempahan pelanggan.

Pelancaran CBR250R mengambil tempat di Litar Antarabangsa Sepang pada 17 Februari lalu. Dua varian diperkenalkan iaitu standard dan Combined ABS.

Turut dikenali sebagai Honda MC41, ia dilengkapi enjin silinder tunggal empat lejang DOHC dengan sistem penyejukan cecair. Enjin bersesaran 249cc itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan dan menggunakan khidmat suntikan terus bahan api.

Ia didakwa berupaya menjana 26 kuasa kuda pada 8,500rpm. Tork maksimum pula 23Nm pada 7,000rpm. Kelajuannya? Mampu mencapai lebih 150 kilometer/sejam (km/j).


SISTEM brek ABS diaplikasikan pada roda hadapan dan belakang.


Brek ABS

Baru-baru ini, saya berpeluang menguji varian Combined ABS. Maksud Combined ABS ialah kombinasi sistem brek antikunci (ABS) yang diaplikasi pada roda hadapan dan belakang. Fungsinya mengelakkan tayar daripada tergelincir atau brek terkunci apabila brek mengejut dibuat.

CBR250R dilengkapi dua set brek cakera. Bahagian depan berukuran 296 milimeter (mm) dengan angkup dua omboh. Cakera belakang pula bersaiz 220mm dengan angkup satu omboh.

Apabila brek belakang dipijak, sistem ABS akan berfungsi. Ia menggerakkan satu omboh pada brek depan dan brek belakang secara serentak. Kelancaran brek ABS memang dapat dirasa dengan ketara.

Untuk menghidupkan CBR250R, masukkan kunci dan tekan butang Engine Start. Dua lampu kecil berwarna oren akan menyala (untuk varian Combined ABS). Lampu itu ialah ABS dan Engine Check yang ditempatkan di bahagian kiri meter laju. Anda perlu menunggu sehingga lampu Engine Check terpadam sendiri.

Tempoh menunggu kira-kira tiga atau empat saat. Kemudian barulah tekan butang penghidup enjin. Untuk lampu ABS, jangan bimbang ia akan padam secara automatik sejurus sahaja klac ditarik dan gear dimasukkan sebelum motosikal bergerak. Enjin mudah dihidupkan dan tidak pula terasa semput.

Langkah sahaja kaki dan duduk atas pelana, posisi badan akan berada dalam keadaan menegak. Kedua-dua tangan mudah mencapai hendal tanpa perlu menganjak ke hadapan.

Sewaktu menunggang, lengan tidak berasa lenguh. Tempat duduknya cukup selesa dan membuatkan saya seperti melekat pada jentera ini. Ternyata CBR250R mengambil kira semua jenis pengalaman penunggang.

Paparan panel instrumen harus diberi pujian. Ia mengabungkan konsep analog dan digital. Takometernya terdiri daripada meter analog berlatar belakang warna biru hitam. Jarum petunjuk berwarna oren memudahkan lagi penglihatan. Sementara paparan meter laju dalam bentuk digital berwarna biru yang menunjukkan suhu enjin, jam, jarak perjalanan dan status semasa minyak petrol.


KONSEP digital dan analog digabungkan pada meter.


Teknologi Pro-Link

Menempuh kesesakan jalan raya tidaklah terlalu sukar. Jentera seberat 165 kilogram itu lincah apabila bermain di barisan kereta. Keseronokan tunggangan dirasai sewaktu mengambil selekoh pada kelajuan munasabah. Ia seimbang dan menawarkan keyakinan ketika menunggang.

Keseimbangan bukan hanya disokong padanan tayar depan dan belakang yang masing-masing bersaiz 110/70 dan 140/70 pada sport rim 17 inci. Ia berkait rapat dengan sistem suspensi jenis pro-link pada roda belakangnya. Pro-Link ialah komponen yang menghubungkan spring pada swing arm. Komponen standard bagi semua jentera superbike Honda.

Perkara yang kurang menarik ialah sistem ekzosnya. Mufler sememangnya besar dan bersegi tiga, tetapi bunyinya lembut dan kurang padat. Ramai yang berpandangan sama. Mungkin ada pengguna yang mahukan sportbike dengan bunyi lembut. Citarasa manusia sememangnya berbeza.

Model itu didatangkan dalam tiga warna pilihan iaitu merah, perak dan hitam metalik. Harga varian standard, RM18,799 seunit, manakala Combined ABS RM21,799 sebuah. Sasaran pelanggannya ialah pengguna bandar dan mereka yang mahu mula menunggang jentera berkuasa tinggi.

CBR250R bukan sahaja membuka lembaran baru dalam segmen 250cc. Ia sebenarnya menggantikan tempat model CBR150R versi kaburator dan ketiadaan CBR150R versi suntikan.

Boon Siew perlu memastikan penawaran, promosi dan pemasaran CBR250R lebih giat diadakan dan berjalan lancar. Mengapa? Mudah sahaja. CBR ialah model ikonik Honda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: