SAYA masih ingat lagi, sewaktu Myvi generasi kedua dilancarkan pada Jun lalu, pihak pengurusan Perodua dengan tegas menyatakan bahawa mereka tidak ada perancangan untuk mengeluarkan Myvi yang menggunakan enjin bersesaran 1.5 liter.
Hasilnya, ramai juga yang percaya. Walaupun khabar angin, malah gambar curi mengenainya sudah berlegar di laman web sejak sekian lama. Namun, selepas kurang tiga bulan berlalu, Perodua membuat kejutan dengan memperkenalkan varian Myvi yang menepati jangkaan ramai itu.
Pengeluar kereta tempatan itu memperkenalkan varian terbaharu yang dikenali sebagai Myvi SE dan Myvi Extreme pada Khamis lalu. Menggunakan tagline Lagi Power, Lagi Best, ia menjadi model Myvi pertama dipasang dengan enjin melebihi sesaran 1.3 liter. Ini sekali gus menjadi bukti keprihatinan Perodua dalam mengambil kira maklum balas yang diterima daripada para pelanggannya.
Kali ini, Perodua memilih kuning sebagai warna signatur. Harus diakui bahawa warna yang pernah digunakan untuk model Kelisa Edisi Khas itu kena dan memberikan rasa segar kepada Myvi.
Secara visualnya, kedua-duanya telah menerima banyak penambahbaikan. Bahagian hadapannya tampil dengan rekaan hud, bampar dan gril radiator yang baru. Sementara bahagian belakangnya lebih menyerlah, terutama dengan spoiler yang seolah-olah boleh membuatkannya terbang ke bulan itu.
Agak mudah untuk membezakan antara kedua-duanya. Lihat sahaja kepada bampar hadapan dan belakang. Myvi Extreme mengenakan bampar dengan calitan warna hitam, di samping hendal pintunya yang berwarna krom.
Kelainannya kian ketara apabila dilihat pada ruang kabin. Myvi Extreme didatangkan dengan kerusi dibalut kulit berwarna hitam, sistem multimedia berskrin sentuh bersama navigasi, butang kawalan audio pada stereng dan banyak lagi.
Myvi itu dikuasakan oleh unit enjin sama yang boleh didapati pada model Perodua Alza. Namun, ia telah menerima talaan baru bagi disesuaikan dengan karekter pemanduan Myvi.
Enjin berkod 3SZ-VE itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 76kW @ 6,000rpm dan tork puncak 136Nm @ 4,400rpm. Bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, Myvi 1.5 SE dan Extreme didatangkan dengan transmisi manual atau automatik.
Pada majlis pengenalannya di Cyberjaya, saya berpeluang memandu uji model SE bertransmisi manual. Biarpun jaraknya cuma 10.4 kilometer, Myvi mampu memberi persepsi pertama yang positif mengenai dirinya.
Pertama seumpamanya
Saya sukakan anjakan kuasa yang diberikan. Suspensinya sedikit keras yang membuatkan tugas mengambil selekoh menjadi lebih yakin. Perincian mengenai pemanduannya akan saya tulis jika mendapat unit pandu uji tidak lama lagi.
Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rasyid Salleh menyatakan Myvi Myvi 1.5 SE dan Extreme ialah model yang pertama seumpamanya di dunia. Ia tidak meniru mana-mana model Daihatsu Boon atau Toyota Passo.
Pembinaan model Myvi 1.5 dan 1.3 liter menelan belanja sehingga RM250 juta dan memakan masa selama 27 bulan. Apa yang pasti pelaburan tersebut bakal memberi pulangan lumayan kepada Perodua tidak lama lagi.
Perodua meletakkan harapan tinggi terhadap produk baharu tersebut. Ia menjangkakan jualan Myvi 1.5 SE dan Extreme menyumbang sebanyak 45 peratus daripada 8,000 unit jumlah keseluruhan jualan Myvi setiap bulan.
Sehingga kini, Perodua telah menerima sebanyak 34,000 unit Myvi generasi terbaharu, dengan 18,000 unit sudah dihantar kepada pemiliknya. Jumlah itu menjadikan jumlah Myvi mencecah lebih 500,000 unit di atas jalan raya sejak diperkenalkan kepada umum pada Mei 2005.
Jadi, penguasaan pasaran Perodua juga boleh dianggap mengagumkan. Dengan hanya tiga model ditawarkan iaitu Viva, Myvi dan Alza jenama itu menguasai sebanyak 28 peratus pasaran kenderaan di Malaysia.
Aminar Rasyid juga tidak menolak kemungkinan bahawa akan ada pengguna yang sudah menempah Myvi 1.3L beralih kepada Myvi 1.5L. “Kami sudah menjangkakan situasi ini. Ia tidak dapat dielakkan. Tetapi tidak kisahlah, Myvi juga,” katanya sambil tersenyum.
Perodua juga akan memulakan pengeksportan Myvi ke beberapa buah negara termasuk Mauritius dan Sri Lanka. Namun, jumlahnya tidaklah besar. Hanya di antara 10 hingga 20 unit sebagai strategi untuk menembusi pasaran dan mengetahui minat pengguna terhadap Myvi di sana.
Sebelum ini, Perodua sudah mengeksport sebanyak 2,500 hingga 2,700 uniy Myvi ke Indonesia dengan memakai lencana Daihatsu Sirion.
Bagi yang mahu membuat tempahan Myvi 1.5L, anda boleh berbuat demikian di mana-mana 178 bilik pameran Perodua di seluruh negara. Demi memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat Myvi SE dan Extreme secara lebih dekat, semua bilik pameran Perodua akan dibuka hingga lewat malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: