SEJAK kebelakangan ini, motosikal Suzuki khususnya kategori kapcai semakin mudah dilihat menyusuri jalan raya. Paling ketara ialah model daripada barisan keluarga Shogun.
Jika semakin jelas kelihatan sesuatu jenama di atas jalan, pastinya model berkenaan mendapat sambutan daripada pasaran. Namun, kelibat Suzuki tidaklah sebanyak dua nama besar dalam pasaran, Honda dan Yamaha.
Pada awal tahun 2011, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers) telah menamatkan pengeluaran bagi dua model Shogun, 125SP dan 125RR. Bagi meneruskan persaingan dalam segmen 125cc, satu model baharu telah diperkenalkan iaitu Shogun Axelo.
Jentera underbone itu didatangkan dalam dua varian, Axelo R dan Axelo S. Perbezaannya terletak pada jenis transmisi klac. Axelo R didatangkan dengan klac tangan manakala Axelo S dilengkapi klac automatik.
Shogun Axelo merupakan motosikal empat lejang dengan enjin bersesaran 124cc. Karburator yang digunakan ialah jenis Mikuni VM18. Enjin itu dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan untuk kedua-dua varian tersebut. Untuk makluman, Shogun Axelo dipasang di Prai, Pulau Pinang.
Pengoperasian
Baru-baru ini, saya berpeluang menunggang uji varian Axelo R. Hari pertama mengunjungi cawangan Suzuki Assemblers di Shah Alam, Selangor, saya sebenarnya agak skeptikal dengan prestasi motosikal itu. Namun, persepsi itu ternyata salah selepas seminggu menunggangnya.
Ada dua cara untuk menghidupkan enjin iaitu melalui penendang kaki atau butang penghidup. Untuk Axelo R, anda perlu menarik klac tangan (jangan lepaskannya) sebelum menekan butang penghidup. Jika menggunakan penendang kaki, klac tidak perlu ditarik.
Untuk menempatkan punggung atas pelana, ia sama seperti kapcai lain. Bagi penunggang wanita yang berbaju kurung atau skirt panjang, anda tidak perlu mengangkat kaki tinggi sambil memegang kain dengan erat. Anda boleh melangkah di hadapan tempat duduk kerana motosikal ini tidak mempunyai raga.
Axelo mempunyai ruang simpanan barang di bawah tempat duduknya. Ruang kargo sebesar tujuh liter itu membolehkan barangan kecil seperti tas tangan disimpan.
Lagi satu aspek yang mesra wanita ialah motosikal ini mudah untuk ditongkatkan (double stand). Tidak perlu menggunakan tenaga yang lebih.
Pengendalian
Sewaktu menempuh kesesakan jalan raya di sekitar USJ, Kelana Jaya dan Shah Alam, pengendalian motosikal itu cukup mudah. Ia agak lincah walaupun di celah barisan kereta yang rapat. Tubuh dan lengan juga tidak terasa lenguh.
Kapcai Suzuki itu dilengkapi dengan balancer aci tunggal di dalam enjin. Komponen tersebut berfungsi mengurangkan getaran enjin sewaktu tunggangan. Malah pada kelajuan 80 kilometer sejam (km/j), kesan getaran yang dirasai amat minimum. Kaki pun tidak kebas. Turut dikesan ialah kurangnya bunyi angin sewaktu menunggang.
Ruang di antara pemijak kaki dan penukar gear tidak begitu besar. Untuk seseorang yang kakinya saiz lapan, ia membantu kaki anda untuk berada pada suatu lokasi tanpa perlu bergerak banyak ketika menukar gear.
Axelo yang seberat 108 kilogram itu menawarkan tunggangan yang bagus meskipun suspensi belakangnya sedikit keras. Sewaktu mengambil selekoh di antara kelajuan 70km/j hingga 90km/j, ia tidak membuai atau membuang. Cuma apabila menunggang di atas jalan raya yang tidak rata dan berlubang, ia sedikit tidak selesa.
Kelajuan maksimum yang dicapai ialah hampir 110km/j. Harus diketahui, meter kelajuan Axelo sebenarnya meter berat. Ia dikatakan menyamai meter sebuah kereta. Pikapnya tidak kurang hebat. Enjin terasa ringan dan pantas memecut jika takat rpm dikekal dalam julat yang tinggi.
Untuk menghentikan jentera ini, khidmat dua set brek cakera dengan satu omboh masing-masing di hadapan dan belakang memainkan peranan. Susun atur sistem pam minyak brek cakera bahagian belakang ternyata kemas. Ia tidak nampak serabut seperti beberapa model kapcai lain dalam pasaran.
Penjimatan petrol
Motosikal itu mempunyai tangki berkapasiti 4.1 liter. Apabila jarum meter minyak Axelo mendekati ruangan E (Empty), saya mengisi minyak RON95 sebanyak RM5 dan tangki kembali penuh. Pengisian minyak sebanyak RM10 (dua kali diisi), membolehkan jentera itu mencatat perjalanan sejauh 230km dan jarum minyak belum menunjukkan huruf E. Kelajuan tunggangan ialah di antara 60km/j hingga 80km/j.
Pada waktu malam, pencahayaan motosikal Axelo harus diberi pujian. Lampu hadapannya yang menggunakan dua mentol cukup cerah. Lampu belakang membabitkan kombinasi lampu isyarat pula nampak moden.
Axelo didatangkan dalam tiga warna pilihan iaitu merah, biru dan hitam. Harga asas Axelo R ialah RM5,388 seunit. Sementara Axelo S ditawarkan pada harga RM5,208 sebuah. Harga tersebut tidak meliputi cukai jalan, pendaftaran, insurans dan caj-caj lain. Jaminan diberikan ialah perbatuan 10,000km atau satu tahun (mana-mana tiba dahulu).
Secara umumnya, rangkaian Shogun menjadi barisan produk yang memainkan peranan besar dalam meningkatkan semula jenama motosikal Suzuki. Tanggungjawab itu kini dipikul Axelo. Tidak mustahil Shogun dapat mengembalikan populariti nama Suzuki seperti mana yang pernah dicapainya menerusi model RG Sports dan RGV.
Salam tuan rumah..
ReplyDeleteNak tanya Axelo ni lampu brek belakang masih jenis LED macam Shogun SP/RR ke camne? ke dah ubah?
Sebab cadang mau angkat satu, insha Allah..hee