PETALING JAYA – Hasrat seorang ahli perniagaan untuk mendapatkan bekalan bahan-bahan kimia membuat jalan raya dari tiga buah syarikat di China berkecai apabila dia mendakwa ditipu pembekal tersebut hingga kerugian RM500,000 tiga bulan lalu.
Tan Chong Chew, 48, mendakwa, bahan yang dihantar merupakan tiruan dan berbeza sama sekali ketika dia membuat urusan pembelian pada pertengahan Mac lalu. Bahan tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada Jun lalu.
Dia yang mendapat tender dengan Jabatan Kerja Raya berkata, bahan kimia yang dipesan itu merupakan pepejal Petroleum Resin jenis C5 dan Titanium Dioxide. Ia akan dicampurkan dengan sejenis bahan kimia lain untuk membuat garisan putih jalan raya.
“Saya baru pertama kali berurusan dengan syarikat itu kerana syarikat sedia ada yang saya berurusan sejak 10 tahun lalu kehabisan bekalan,” dakwanya.
Chong Chew menambah, dia mengetahui mengenai syarikat itu ketika melayari Internet sebelum menghubungi syarikat itu. Mereka kemudian menghantar sampel bahan kimia menerusi kurier bagi meyakinkannya.
Menurutnya, selepas membuat pembayaran, syarikat itu menghantar empat kontena mengandungi bahan kimia tersebut tetapi ia tiruan selepas diuji.
“Saya cuba menghubungi syarikat itu tetapi mereka mengarahkan saya membuat bayaran tambahan untuk penghantaran seterusnya,” dakwanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: