
BARISAN artis antarabangsa, pukauan penonton melimpah ruah, pentas tersergam gah dan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di luar jangkaan antara penangan hebat melengkapkan portfolio stesen penyiaran swasta, Astro menganjurkan satu acara yang penuh gemilang.
Pancaran gemerlapan cahaya sepanjang tentatif acara Suara Kami yang berlangsung seharian di lokasi penuh bersejarah, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, disimpulkan kemas menerusi konsert meganya pada sebelah malam membuka tanda aras baharu biarpun penganjuran pertama acara tersebut.
Umpama kata-kata Najib yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengejutkan 6,000 pengunjung yang membanjiri Stadium Merdeka, bara semangatnya turut mengesankan jiwa belia.
“Apa yang penting saya dapat bersama-sama dengan generasi baharu Malaysia dan saya ingin rasa semangat dan tenaga daripada generasi muda kita,” bertebar ucapan ringkas bak kata-kata semangat yang diikuti gema sorakan keterujaan penonton.
Membuka panggung, Hujan tampil menghadiahkan buah tangan terbaharu menerusi lagu Rumah Kita. Penuh patriotik! Sesuai dengan objektif Suara Kami yang juga meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.
Walaupun pekarangan utama stadium penuh nostalgik itu diiringi renyai hujan, sesekali tidak mematahkan getar hati belia negara untuk terus berdiri membuktikan sokongan padu.
Kemudian, gabungan tarian K-Pop dan Hip Hop oleh Battle Ruffneck dan Soul Krazy mengisi slot menerusi lagu Who Runs The World, Sexy Chick dan Inspector Gadjet.
Penyanyi dari India, Naresh Iyer dan Chenmayi seterusnya tampil bersama rangkaian lagu Tamil Yethi Yethi dan Kilimanjaro.
Kumpulan yang bakal melebarkan sayap ke Amerika Syarikat, Pop Shuvit tampil pula dengan lagu yang melonjakkan nama mereka, Mara Bahaya, penuh energetik dan momentum mereka selayaknya
diletakkan ke taraf antarabangsa.
Tambah menghangatkan bara di pentas, penampilan eksklusif bintang muda berbakat besar yang sedang menimba segedung ilmu dari Amerika Syarikat, Yuna bersama dendangan lagu Gadis Semasa.
Menghargai perjuangan artis-artis rock yang pernah melakar nama di persada antarabangsa antaranya Wings, Lefthanded dan Search, Azlan and the Typewritter muncul bersama buah tangan medley lagu
Pawana, Seruan dan Sejati yang diikuti jurus petikan gitar daripada gitaris malar segar Joe Wings,
Man Kidal, Kid Search dan Hillary Ang.
Hins Cheung, artis yang diterbangkan khas dari Hong Kong bersama lagu My Way dan Deadline melengkapkan variasi artis berkonsepkan 1Malaysia.
Kilauan artis Korea, Rania turut menghiburkan penonton dengan kelincahan beraksi menerusi lagu-lagu Dr Feelgood, Masquerade dan Stand Up For Love.
Klimaks pada persembahan yang berdurasi dua jam itu akhirnya disempurnakan oleh persembahan penuh memukau daripada rapper Amerika Syarikat, Nelly bersama sajian lagu yang melonjakkan nama mereka di pentas dunia, Dilemma, Party People, One & Only dan Just Dream.
Penutup tirai persembahan, Altimet, DJ Fuzz, Point Blanc, Ila Damia dan Rabbit Mac muncul mengalirkan momentum luar biasa melalui lagu Malaysian Boy.
Walau ada desas-desus yang menyangkal pembabitan beberapa artis luar negara sekali gus mengetepikan peluang artis tempatan beraksi, Astro selayaknya diberikan kredit atas usaha mempromosikan keunikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan punyai diversiti dalam semua aspek budaya mahupun kehidupan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: