Monday, September 26, 2011

BOB bantu banteras jualan barangan tiruan


MOHD. ROSLAN (dua dari kanan) beramah mesra dengan peserta program rakan gerak gempur cetak rompak di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kini melaksanakan kaedah basket of brands (BOB) bagi memudahkannya membantu syarikat-syarikat pembuat melindungi barang-barang keluaran mereka yang sering berdepan dengan barang tiruan.

Ini meliputi pakaian, minuman keras, alat ganti kereta dan ubatan yang dikenal pasti popular di kalangan pengguna, kata Ketua Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin.

Beliau berkata, dalam usaha memerangi barang tiruan, kementerian akan memberi tumpuan terhadap barang-barang yang tergolong dalam BOB.

Sehingga kini, kira-kira 20 syarikat yang mempunyai 40 cap dagangan telah bersetuju untuk menyertai program itu, katanya dalam sidang akhbar selepas menutup Program Rakan Gerak Gempur Cetak Rompak (Rakan GGCR) di sini semalam.

Seramai 34 penuntut dari 13 institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini menyertai program selama tiga hari anjuran KPDNKK dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Mohd. Roslan berkata, kaedah BOB diperkenalkan berikutan KPDNKK tidak mampu membanteras kesemua barangan tiruan yang terlalu banyak di pasaran tempatan.

"Sebab itu, kita masukkan dalam satu basket dan kalau kita boleh banteras (barangan tiruan) dalam BOB, dah cukup baik dah," katanya.

Beliau berkata, program BOB akan dilancarkan pada konvensyen penguatkuasaan hak ke atas harta intelek (IPR) di seluruh negara yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Oktober depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: