VISI Mamat untuk Rentaz direalisasikan menerusi dua tenaga utama lakonannya, Awie dan Khir. |
BUKAN mudah untuk membikin sesebuah filem supaya mesej yang ingin disampaikan benar-benar berkesan serta dapat difahami penonton yang mengunjungi pawagam untuk menontonnya.
Namun, bagi seorang penggarap filem yang namanya telah sinonim dengan filem bergenre komedi seperti Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat Khalid, kali ini dia ingin menayangkan sebuah filem yang mungkin menyimpang dari dua filem pecah panggung yang digarapnya sebelum ini.
Rentaz merupakan taruhan terkini Mamat Khalid di bawah terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. Watak utamanya merupakan Awie yang memegang karakter Bob serta Khir Rahman sebagai Tyson.
Filem bergenre seram ini menampilkan kisah mengenai seorang lelaki bernama Bob yang sedang koma didatangi Tyson, iaitu jelmaan syaitan berwajah manusia yang cuba untuk menyesatkan Bob selaku orang Islam walaupun ketika dirinya sedang berada di ambang maut.
Awie enggan dipertikaikan
Bagi Awie dan Khir, selain bermain dengan emosi dalaman, mereka juga perlu bijak bermain dengan watak yang diberi supaya kelihatan pro dan kontranya apabila dilakon dan dipertontonkan kelak.
Akui Awie atau Ahmad Azhar Othman ini, pada mulanya dia diberi watak Tyson. Namun disebabkan pelantikannya sebagai duta Persekutuan Seruan Islam Perak (PSIP) baru-baru ini, Awie beranggapan adalah tidak manis jika watak jelmaan syaitan itu dilakonkannya.
"Sebenarnya dalam konteks cerita ini Tyson boleh dilihat sebagai penyedar kepada sesiapa yang menonton. Tapi, saya tidak mahu nanti ada pihak yang mempertikaikan watak tersebut berkait dengan status saya sebagai duta PSIP.
"Saya tidak takut orang mengganggu saya namun saya tidak mahu orang mengganggu PSIP kelak mengenai isu watak ini kerana walaupun ia suatu karakter yang terbaik, namun setelah difikirkan semula, akhirnya saya menolak dan mengambil watak Bob," jelas Awie yang mengakui dia sememangnya tertarik dengan jalan cerita Rentaz ini sendiri.
Bicara Awie lagi, ini merupakan kali pertama dia melakonkan watak lelaki yang sedang koma dan tambahnya, setiap babak dalam Rentaz akan membuatkan penonton berasa tegang dan seram.
Ini kerana ia adalah filem yang dirasakan berlainan dari apa yang pernah dilakonkannya serta digarap oleh pengarah lain.
Tambahnya, karakternya sebagai Bob juga perlu agak sedikit low profile dan begitu mencabar diiringi dengan syot-syot yang dibuat. Jelasnya, penumpuan terhadap syot, genre dan arah filem ini juga begitu mencabar dan perlu berhati-hati semasa melakonkannya.
"Dalam erti kata lain, selain menyedarkan serta memberi keinsafan, ini juga merupakan dakwah secara halus dan punya makna tersirat kepada penonton yang memahaminya.
"Dan jika kita bercakap sekali, seribu orang membaca dan jika ada seorang pun yang menerima, sudah besar rahmat yang diperoleh.
"Namun walaupun seperti berdakwah, di dalam filem ini, kita tidak berkhutbah kerana kita mahu umumkan perkara ini dan tidak mahu terlalu berbentuk keIslaman," bicara Awie rancak ketika ditemui di lokasi penggambaran di Perangin Mall, Pulau Pinang baru-baru ini.
Akui vokalis kumpulan Wings ini juga, Bob juga merupakan watak yang memberi tekanan kepadanya kerana setelah meneliti skrip yang diberi dia menjadi agak tegang.
Ini kerana, dalam masa yang sama, walaupun watak yang dipegangnya itu tidak berkhutbah, namun emosi dalamannnya dan pandangan matanya yang harus menyampaikan khutbah kepada penonton tanpa berbicara mengenai isu agama.
"Sejujurnya, bidang nyanyian lebih mudah dari bidang lakonan memandangkan lakonan memerlukan penghayatan skrip dan emosi yang mendalam supaya watak yang dibawa itu berjaya dilaksanakan," akhiri Awie.
Khir minta izin
Saat menerima tawaran menjadi jelmaan syaitan dalam filem Rentaz, bagi seorang pelakon yang bukan sahaja berpengalaman di pentas teater, namun juga berpengalaman sebagai pengarah yang pernah mengarah filem kontroversi, …Dalam Botol, Khir Rahman sudah mengetahui bagaimana dirinya akan membawa watak ini dari persepsi yang difahami dirinya.
"Dari awal-awal lagi, ketika saya ditawarkan watak ini, pengarah mengatakan ini merupakan watak syaitan dan ketika itu juga saya beritahu Mamat yang kebiasaannya untuk watak begini saya akan gunakan pendekatan yang berlainan.
"Untuk watak Tyson, saya akan gunakan kaedah pendekatan naturalisme dan logikal yang mana banyak bermain dengan emosi dalaman dan luaran," jelas pemilik nama sebenar Khairulizam Abdul Rahman ini.
Tambahnya: "Justeru, saya meminta izin pihak Mamat untuk saya lakonkan watak ini secara mekanikal dan teknikal dan lebih kepada kebebasan gaya lakonan saya sebagai jelmaan syaitan. Ini Kerana, jika saya mahu letakkan diri saya secara dalaman sebagai syaitan, ia memerlukan pendekatan yang berbeza kerana ia bercanggah dengan iman kita sebagai manusia."
Menurutnya lagi, mungkin ini yang dikatakan manisnya berkarya apabila seseorang pelakon cuba untuk memegang intipati watak masing-masing.
Kata Khir, sebenarnya, watak seperti Tyson yang membolehkan pembawanya bebas untuk mengekspresikan apa yang diimaginasikan kadangkala membolehkan pelakon lain cemburu akan kebebasan lakonannya.
Sementara itu, Khir memberitahu watak Bob lakonan Awie merupakan watak yang berada di dalam zon kekeliruan, di mana dalam fikirannya masih terdetik dan mencari kebenaran namun ia tidak sebebas Tyson.
Jelasnya lagi, ini memberi maksud dalam filem tersebuti, ia merupakan pandangan dan imaginasi watak Bob itu sendiri tentang bagaimana dia melihat syaitan sebenarnya.
Bagi Khir, watak yang dibawanya kelihatan agak jelas supaya penonton yang menontonnya akan faham apa yang ingin disampaikan sekalipun penonton itu adalah dari kalangan kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: