Monday, September 19, 2011

Kajian lanjut potensi cili


Dr. Mohammed Selamat Madom menunjukkan contoh mc 11 yang dibawa ke iss.


PENGHANTARAN cili Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) memberi tanggungjawab baru kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian.

Ini kerana, selepas biji benih tersebut dihantar ke Malaysia dari Jepun menerusi pos ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pegawai dan kakitangan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan MARDI berurusan dengan pihak berkuasa di lapangan terbang untuk proses penerimaan.

Biji benih cili berkenaan di bawa ke Stesen Kuarantin Selepas Masuk (PEQ) Kebangsaan, Jabatan Pertanian, Serdang untuk ditanam dan dikuarantinkan sehingga berbuah.

Pegawai yang banyak terlibat ialah Penolong Pengarah Unit PEQ Seksyen Penguatkuasaan Kuarantin Tumbuhan, Stesen PEQ, Normawati Lanisa.

MARDI pula menjalankan beberapa penyelidikan termasuk kawalan kualiti meliputi aspek, ketulenan biji benih, kelembapan, peratus percambahan dan kecerdasannya.

Menurut Ketua Unit Pengeluaran Bahan Tanaman, Biji Benih dan Baka Ternakan MARDI, Dr. Mohammed Selamat Madom, pada cadangan awal program yang dibincangkan Ogos tahun lepas, dua spesies tanaman dicadangkan iaitu betik dan cili.

Varieti cili yang menjadi pilihan ialah Semerah, Kulai dan MC 11.

Oleh kerana ketika itu tempoh yang singkat diperlukan untuk membuat keputusan dan cili memang sedia ada pada jumlah yang diperlukan, maka pihaknya memilih sayur berkenaan.

''Kami di MARDI memilih varieti cili MC11 kerana ia berada dalam simpanan kami dalam jumlah yang diperlukan. Benih berkenaan dihasilkan oleh penyelidik tempatan dan kod 11 sama dengan tahun 2011," ujarnya ketika ditemui di Serdang baru-baru ini.

Biji benih Cili MC 11 dihantar ke Jepun pada November 2010 dan dihantar ke ISS pada Januari 2011 sebelum kembali semula ke bumi pada Jun tahun ini. Ia dihantar ke negara ini pada Julai tahun yang sama.

Beliau berkata , analisis peratusan percambahan yang dijalankan ketika ini, ia mencapai 90 peratus, sama dengan biji benih yang tidak dihantar ke ISS.

Analisis seterusnya ialah menentukan peratus kelembapan dan juga ketulenan benih berkenaan.

Kajian lanjut akan dijalankan membabitkan aspek tumbesaran dan ketahanan terhadap penyakit terutama serangan virus.

''Kami juga akan membuat kajian lanjut terhadap struktur sel sama ada berlaku perubahan atau sebaliknya selepas di bawa ke ISS,"' kata Dr. Mohammaed Selamat.

Kajian-kajian lanjut tersebut akan dimulakan pada Disember ini selepas tempoh kuarantin tamat.

Beliau memberitahu, pihaknya memperoleh dana sumbangan Angkasa RM30,000 untuk tujuan tersebut.

Malah kajian genetik termasuk DNA fingerprinting juga akan dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku perubahan terhadap profail DNA biji benih cili berkenaan.

Mengenai sama ada, perlunya menghantar biji benih lain ke ISS jika ditawarkan peluang yang sama pada masa akan datang, beliau berkata, betik atau Carica papaya boleh dipilih untuk tujuan tersebut.

Selain Malaysia, negara lain yang turut ditawarkan oleh JAXA dalam program penghantaran biji benih ke ISS baru-baru ini ialah Thailand, Vietnam, Indonesia di samping Jepun.

Antara empat Negara ASEAN berkenaan, Malaysia, Thailand dan Indonesia ada menghantar biji benih cili. Namun masing-masing mempunyai varieti mereka yang tersendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: