SESIAPA sahaja di dunia ini berhak untuk mengenali dan merasai keseronokan serta keajaiban dunia sains.
Ini kerana, menerusi cabang ilmu itu, manusia akan dapat menjalani aktiviti kehidupan dengan lebih mudah, lancar dan selesa.
Melihat keperluan itu, Pusat Sains Negara PSN mengambil inisiatif menganjurkan Hari Sains Istimewa khusus untuk golongan kelainan upaya (OKU) dan kurang bernasib baik.
Penganjuran program khidmat sosial tahunan kali ke-13 sejak 1999 itu menggariskan objektif memberi pendedahan serta peluang kepada golongan tersebut mendekati sains secara tidak formal.
Bermula 25 Julai hingga 28 Julai 2011 lalu, program tersebut telah disertai seramai 4,558 peserta dan guru pengiring daripada beberapa badan kebajikan dan sekolah pendidikan khas terpilih di seluruh negara.
Para peserta yang terlibat dalam program berkenaan dibahagikan kepada enam kumpulan kurang upaya iaitu OKU penglihatan, OKU pendengaran, kanak-kanak sindrom down, autisme, disleksia, kanak-kanak motor disabilities, kanak-kanak hiperaktif, anak yatim serta kanak-kanak miskin.
Menurut Ketua Penolong Pengarah (Unit Program) PSN, Mismah Jimbun, selama empat hari, program tersebut menyediakan aktiviti-aktiviti yang direka dan dibangunkan khas sesuai mengikut keperluan golongan berkenaan.
''Untuk penganjuran program ini, kita ada bekerjasama dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memilih para pelajar dan kanak-kanak daripada pertubuhan yang bersesuaian.
''Kebanyakan peserta pada tahun ini datang dari pertubuhan dan sekolah-sekolah sekitar Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan,'' katanya pada sesi sidang media di PSN Bukit Kiara baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, pengendalian Hari Sains Istimewa itu lebih memberi tumpuan kepada aktiviti bercorak interaktif mengikut tahap keupayaan golongan pelajar terlibat.
Aktivitinya merangkumi pameran secara berterusan, aktiviti berjadual, persembahan pentas dan aktiviti khas seperti petting zoo, origami serta robodance.
Kesemua aktiviti telah dikendalikan oleh para pegawai dan fasilitator PSN.
Perjalanan program diserikan lagi dengan aktiviti ceramah motivasi oleh selebriti daripada golongan OKU iaitu Ras Adiba Radzi dan Baki Zainal bermatlamat memberi inspirasi dan menyuntik semangat para pelajar.
Pada sidang media itu juga, Mismah turut mengumumkan program Pesta Sains PSN bakal diadakan pada penghujung tahun ini bersempena pengisytiharan 2011 sebagai Tahun Sains Malaysia serentak sambutan 25 tahun penubuhan PSN.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: