Monday, September 19, 2011

Angkasa hantar benih cili ke ISS


Dua angkasawan menunjukkan cili di ISS.


SEPERTI yang dilaporkan sebelum ini, penyelidikan berkaitan angkasa dan sebarang program atau aktiviti yang ada hubung kait dengan bidang tersebut tidak pernah berhenti selepas kejayaan Program Angkasawan Negara (PAN) 2007.

Malah, susulan daripada kerjasama yang sedia terjalin sejak PAN 2007 dengan Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun (Japan Aerospace Exploration Agency-JAXA) melalui pelbagai program sains angkasa khususnya sains mikrograviti, semakin diperhebatkan.

Mungkin masih ramai tidak menyedari bahawa PAN dan program pelancaran satelit sebelum ini bukanlah penghujung kepada pembangunan sains dan industri angkasa, sebaliknya penyelidikan mikrograviti sebagai contoh, tetap diteruskan .

Program mikrograviti melibatkan penghantaran protein untuk penghabluran ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) oleh Prof Dr. Raja Zaliha Abdul Rahman masih diteruskan malah ditambah dengan penglibatan penyelidik Malaysia pada program MARS 500 melibat bidang bio perubatan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Penglibatan Malaysia dalam penyelidikan itu berdasarkan kepada satu sebab yang kukuh iaitu kejayaan PAN.

Menurut Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa (UPSA) Agensi Angkasa Negara (Angkasa) , Mhd. Fairos Asillam , penyertaan Malaysia yang aktif dalam kumpulan Space Environment Utilization di Forum Agensi Angkasa Asia Pasifik Forum (APRSAF) juga memberikan pelbagai manfaat negara.

Terbaru, Malaysia bersama beberapa negara lain di rantau ASEAN berpeluang menghantar biji benih cili mereka untuk di bawa ke ISS bagi memantau perkembangan cili berkenaan dalam persekitaran mikrograviti di ISS.

Mhd. Fairos memberitahu, persekitaran ISS sering dijadikan medium eksperimen memandangkan kekuatan gravitinya terlalu rendah iaitu 0.000001 berbanding 10 di bumi dan ini menyediakan persekitaran sesuai bagi menjalankan penyelidikan bagi mengkaji perubahan molekul atau sel.

''Melihat perubahan tersebut sesuai kerana ia dapat menentukan sifat sebenar molekul atau sel," ujarnya pada taklimatnya kepada wartawan Mega Utusan Malaysia di pejabatnya di Angkasa, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, peluang itu datang selepas Malaysia diberi peluang menyertai program penyelidikan di Modul Eksperimen Jepun dan penyelidikan sains mikrograviti melalui penerbangan parabola yang terbuka kepada pelajar siswazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pelajar IPTS.

Kibo merupakan modul eksperimen milik Jepun di ISS.

Di samping itu, katanya melalui keanggotaan Malaysia dalam Jawatankuasa Asia-Parabolic Flight, pakar dari JAXA turut membentangkan kertas kerja di Bengkel Sains Mikrograviti 1 (2008) dan 2 (2009).

Angkasa juga menurutnya telah menganggotai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Perancangan Misi Kibo Asia (MJKPMKA).

Fungsi jawatankuasa tersebut adalah untuk merangka dan merancang program berkaitan sains mikrograviti peringkat serantau untuk dijalankan di Kibo.

Hasil daripada mesyuarat MJKPMKA yang diadakan 17 Jun tahun lepas, ia telah dipersetujui bahawa program Biji Benih Angkasa Untuk Masa depan Asia (The Space Seeds for Asian Future) akan dilaksanakan sebagai projek Kibo.

Turutan daripada itu, mesyuarat memutuskan supaya setiap ahli mesyuarat yang terdiri daripada negara-negara serantau termasuk Malaysia perlu mengemukakan cadangan spesimen biji benih untuk dipertimbangkan untuk di bawa ke ISS berserta perancangan pelaksanaan program di peringkat tempatan.

Objektif program berkenaan ialah mempromosi program penyelidikan dan pendidikan sains mikrograviti di kalangan negara serantau di Asia Pasifik.

Sehubungan dengan itu, Angkasa untuk memilih calon biji benih terbaik dan seterusnya membentuk satu jawatankuasa kerja bagi program ini.

Ahli jawatankuasa kerja tersebut terdiri daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian, Malaysia (MARDI), Lembaga Getah Malaysia, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Persetujuan utama dalam mesyuarat itu ialah bersetuju untuk negara menyertai program itu kerana ia merupakan peluang pertama kali untuk sektor penyelidikan pertanian untuk mengembangkan penyelidikan ke angkasa lepas dan mempunyai keunikan dalam program pendidikan yang mampu memberi impak kepada pelajar-pelajar sekolah.

Mesyuarat juga bersetuju menyenarai pendek cadangan biji benih yang hendak dibawa iaitu cili (Capsicum annuum (cv. MC11)) atau betik (Carica papaya (cv. Eksotika))

Program tersebut yang diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Angkasa dan disokong oleh rakan kerjasama MARDI, Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pertanian Malaysia. MARDI terlibat dalam program penyelidikan manakala Kementerian Pelajaran dalam program pendidikan.

Menurut Mhd. Fairos, cili dipilih untuk diterbangkan ke ISS kerana saiznya yang kecil dan bilangannya yang banyak (10,000 biji > 100g).

Ia kata beliau, sejajar dengan objektif program di peringkat serantau yang mana ia merupakan platform untuk menerapkan kesedaran dan pendidikan berkaitan dengan mikrograviti di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: