PERNAH mengungguli pentas Raja Lawak dan kini mula mengorak langkah dalam industri seni, tanpa disangka Johan sebenarnya mempunyai masalah lupa yang kronik.
Tidak dapat dinafikan, atas desakan kerjaya yang sentiasa mengerah tenaga anak kelahiran Ampang ini melakukan yang terbaik, dia kadang-kala tidak dapat lari daripada masalah ini.
Perkara ini turut diakui sendiri oleh abangnya, Shuib, yang terpaksa mengingatkan Johan tentang dirinya, setiap kali bangun dari tidur.
Begitulah kehidupan yang terpaksa dilalui oleh Johan Raja Lawak sebagai Bob dan juga Shuib (Saiful Apek) dalam filem Raya Tak Jadi yang mula ditayangkan pada 15 September lalu.
Ternyata gandingan Saiful Apek dan Johan mampu menggeletek penonton dengan lawak mereka yang bersahaja.
Menurut Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd. Saifulazam Mohd. Yusuf, dia tertarik untuk berlakon dalam filem berkenaan kerana kekuatan jalan ceritanya yang berkisar mengenai kasih sayang seorang abang terhadap adiknya.
"Saya membawakan watak Shuib yang mempunyai seorang adik yang mempunyai masalah lupa yang dilakunkan oleh Johan.
"Apa yang boleh saya katakan , walaupun filem ini bercorak komedi, ia juga tetap menerapkan nilai-nilai kasih sayang yang penuh emosi dalam beberapa babak.
"Di samping itu, kami juga sentiasa berbincang bagi mendapatkan hasil yang terbaik, jadi kami memang tiada masalah apabila digandingkan bersama," katanya.
Bagi Johan atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Lian Mohd. Aziz, dia sangat teruja kerana diberi peluang bersama idolanya, Saiful Apek dalam filem pertama lakonannya.
"Saya sangat teruja kerana dapat berlakon bersama dengan idola saya. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan tidak timbul sebarang masalah ketika di lokasi.
"Malah, dia juga banyak memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai selok-belok lakonan sepanjang pembikinan filem Raya Tak Jadi ini.
"Jujurnya, saya sangat berterima kasih dan apabila Apek memberitahu saya adalah pelawak kegemarannya," katanya yang begitu meminati pelawak hebat tanah air itu.
Filem dengan kos penerbitan sejumlah RM 1.5 juta ini juga turut dibintangi oleh Wan Sharmila, Noreen Nor, Fieka, Ben Tan, Iedil Putra dan Khairi Azlee.
Pilihan tepat
Gandingan tepat pelakon utama pilihan Prof. Madya A. Razak Mohaideen itu ternyata mempunyai kekuatan tersendiri bagi menarik penonton ke pawagam.
Walaupun ditayangkan sedikit lewat, namun Razak optimis, hasil arahannya yang ke 34 itu mampu mencatat kutipan yang memberangsangkan.
"Saya memang terkilan kerana filem yang saya sudah siapkan pada tahun lepas ini tidak dapat ditayangkan pada hari raya pertama.
"Tapi mungkin disebabkan filem ini lambat dihantar ke Lembaga Penapisan Filem menyebabkan kami harus memberi laluan kepada filem yang dihantar lebih awal," katanya ketika ditemui pada pratonton Raya Tak Jadi baru-baru ini.
Selain itu, Razak juga berharap filem-filem bertemakan perayaan diberi keutamaan untuk ditayangkan pada waktu sambutan perayaan tersebut.
"Jika boleh, filem-filem yang bertemakan perayaan haruslah diberi keutamaan untuk ditayangkan. Ini sekali gus dapat memeriahkan lagi sambutan sesuatu perayaan tersebut," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: