ALLEYCATS merupakan antara kumpulan pemuzik yang paling lama ditubuhkan di negara ini. Dengan usianya 43 tahun, kumpulan berasal dari Pulau Pinang itu masih aktif bermain muzik sama ada di kelab-kelab malam termasuklah juga merakamkan album-album baru.
Penyanyi utama Alleycats, Datuk David Arumugam berkata, sebagai satu-satunya anggota asal kumpulan itu, dia akan memastikan agar kumpulannya itu terus bertahan biarpun ia di terajui oleh anggota-anggota yang baru.
"Saya akan pastikan Alleycats terus hidup dalam bidang muzik di negara ini. Buat masa ini, saya sedang menggilap bakat penyanyi-penyanyi baru Alleycats seperti Dasha Loga dan Glen Salay. Mereka inilah antara yang akan meneruskan perjuangan Alleycats.
"Malah, lagu-lagu Alleycats juga masih diminati ramai dan saya yakin ia boleh bertahan sehingga 20 tahun lagi. Perjuangan kami sudah lama di mana kalau boleh saya mahu menubuhkan Muzium Alleycats. Cuma bila dan di mana tempatnya saya belum pasti," katanya.
David menyatakan keyakinannya itu sewaktu sidang akhbar selepas pratonton Konsert Sampaikan Salam Alleycats di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, Khamis lalu yang menyaksikan kali kedua mereka beraksi di panggung itu sejak empat tahun lalu.
Sewaktu beraksi di hadapan hampir 1,200 penonton itu, penyanyi berambut afro itu menegaskan, dia tidak patah semangat biarpun hampir kesemua anggota asal Alleycats menarik diri dan membawa haluan masing-masing.
"Mana perginya anggota-anggota asal Alleycats? Itu dia orang punya fasal. Saya pun kurang pasti. Cuma yang saya tahu, bekas bassis kami, Frank Ong sudah lama pergi Amerika Syarikat kerana belajar muzik dan Khoo Fook Sin (keybordis) berhijrah ke Taiwan jadi penerbit album.
"Begitu juga dengan adik saya (Shanmugan) yang bermain gitar keluar daripada Alleycats kerana dia tidak mahu keluar jauh dari Pulau Pinang. Alasan Shanmugan, anak-anaknya sudah besar dan dia tidak mahu tinggal jauh daripada mereka," jelasnya.
Di awal penubuhannya, Alleycats dianggotai oleh tujuh anggota asalnya iaitu mendiang Loganathan (penyanyi - seruling), Chester Anthony Passerella (saksofon), Shanmugam (gitaris), Tan Kim Hock (dram), Khoo Fook Sin (keyboard), Frank Ong (bassis) dan David Arumugam (penyanyi - percussion).
Kini selepas 43 tahun, David meneruskan perjuangan Alleycats bersama anggota-anggota baru iaitu David John, 42, (dram), Nazaruddin Abdullah, 49, (gitar), Glen Salay, 42, (penyanyi), Loh Kum Swee, 57, (bass), Dasha Loga (penyanyi) dan Prawing Aroonratana, 59, (keyboards).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: