Monday, September 19, 2011

Jiwa Ahmad Idham

Siapa sangka, figura berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, dari UiTM Shah Alam, kini merupakan salah seorang pengarah yang beberapa kali menghasilkan filem mendapat kutipan ‘box-office’.

Nyata percaturan pemilik Excellent Picture Sdn. Bhd. Ahmad Idham Ahmad Nadzri untuk ‘berniaga’ dalam bidang seni berhasil.

Mengimbas detik penglibatannya dalam bidang seni, Idham berkata ia bermula sekadar suka-suka selepas mengikut Azhar Sulaiman ke tempat penggambaran.

“Ketika saya masih menuntut di UiTM, saya berkenalan dengan Azhar Sulaiman dan ketika itu, dia sudah terlibat dengan bidang lakonan sebagai pelakon tambahan. Dek kerana selalu sangat mengikut Azhar, saya pula dipelawa menjadi pelakon tambahan dengan bayaran RM50 sehari.

“Kemudian, sementara menunggu peluang kerja, saya menerima tawaran sebagai pelakon pembantu melalui filem Kuala Lumpur Universiti pada tahun 1995 dan selepas itu, saya mula mendapat banyak tawaran menyebabkan saya rasa seronok.

“Bila saya mengenali Mohd Noor Kadir yang juga bukan berkelulusan dalam bidang seni, membuatkan saya terfikir, industri perfileman ini tidak hanya untuk mereka yang belajar filem. Saya melihat peluang perniagaan dan potensi dalam industri ini,” katanya kepada Zass.



Tuah Cinderella

Tambah anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini lagi, drama Cinderella banyak memperkenalkan dan menaikkan popularitinya di dalam bidang seni.

“Selepas membintangi drama Cinderella, saya mula mendapat perhatian dan juga memenangi anugerah Anugerah Bintang Popular 1997/98 menerusi Artis Baru Popular dan Anugerah Bintang Popular 1999 menerusi Pelakon TV Lelaki Popular.

“Selepas itu Noor Kadir banyak mengajar saya tentang selok-belok bidang seni dan memberi peluang untuk saya bekerja di belakang tabir melalui syarikatnya, Kuasatek Pictures.

“Telefilem pertama arahan saya, Berakhir Sebuah Ramadan terhasil atas kepercayaan beliau kepada saya. Selepas itu, saya mula menang beberapa anugerah dan di sini saya merasa yakin untuk terlibat secara serius dalam industri ini,” katanya yang bersama Kuasatek Pictures dari tahun 1999 sehingga tahun 2000.



Kemudi syarikat sendiri

Hasil pengalaman itu, Idham memberanikan diri menubuhkan

Excellent Pictures (EP) pada tahun 2000 dan terpaksa menanti hampir empat tahun untuk mendapat projek pertamanya.

“Bayangkan saya tubuhkan EP pada tahun 2000, namun hanya pada 2004 baru saya mendapat projek dari RTM untuk drama Mengejar Pelangi. Kemudian TV3 memberi kepercayaan kepada saya untuk mengarahkan Oh Khadijah yang dijayakan Azhar Sulaiman dan Sharifah Haslinda.

“Setahun kemudian baru saya berani untuk menerbitkan filem pertama saya iaitu Tipah Tertipu. Sehingga kini, sudah enam filem diterbitkan melalui syarikat EP,” katanya yang berhasrat menerbitkan empat buah filem lagi pada tahun hadapan.

Kini, Idham sedang sibuk dengan dua buah tangan terbarunya iaitu Jangan Pandang-Pandang dan Gerimis Mengundang.

“Jangan Pandang-Pandang adalah sebuah filem aksi/pengembaraan dan telah selesai menjalani penggambaran dan suntingan. Hanya menanti tarikh tayangannya sahaja, manakala Gerimis Mengundang telah siap menjalani penggambaran dan sedang melalui proses post produksi.

“Selepas ini saya berhasrat untuk membuat filem Mail Lambung yang akan diterajui oleh Zizan. Buat masa ini skrip dan pelakon utamanya telah diketahui, hanya menunggu untuk memulakan penggambaran pada bulan November nanti,” katanya.

Idham berkata dia berhasrat untuk memberi tumpuan terhadap projek filem pada tahun ini dan akan kembali mengarah drama pada tahun hadapan.

“Tahun ini sasaran saya untuk menyiapkan filem sahaja, tahun depan baru saya kembali mengarah drama dan sudah ada beberapa projek yang menanti,” katanya.



Kembali ke rentak sebenar

Kejayaan buah tangan terbarunya, Hantu Bonceng memberikan kejayaan yang tersendiri kepada Idham kerana merasakan sudah kembali ke landasan yang sebenarnya.

“Sebelum ini ada yang kata saya sudah hilang tujuan, idea tidak setaraf pengarah muda. Namun bila Hantu Bonceng berjaya mengutip lebih kurang RM8.35 juta dalam masa dua minggu, saya rasa sudah kembali kepada rentak saya yang sebenar.

“Selepas ini saya akan bertukang dan menyiapkan karya untuk apa yang penonton mahu. Selain dari itu, saya mahu membangkitkan semangat pengarah-pengarah yang seangkatan dengan saya bahawa, kita juga mampu menghasilkan karya setaraf pengarah muda,” katanya sambil ketawa.

Idham berkata, dia merancang untuk menerbitkan drama Hantu Bonceng The Siries yang dijangka memulakan penggambaran pada awal tahun hadapan.

“Saya percaya Hantu Bonceng ada pengikutnya yang tersendiri. Justeru saya sudah merancang untuk menerbitkan drama bersirinya pula,” katanya.



Niyang Rapik cabar Idham

Meskipun berpengalaman mengarahkan lebih 20 buah filem, Niyang Rapik dikenang Idham sebagai filem yang paling mencabar ketika melalui proses pembikinannya.

“Lokasi penggambaran yang jauh dari orang dan perlu menaiki bot ke lokasi bukan sahaja mencabar buat pelakon dan krew, malah saya sendiri.

“Memandangkan kami membuat filem seram, banyak jugalah permainan dan rintangan yang perlu kami lalui,” katanya.

Bagaimanapun ia bukan noktah buat Idham untuk mengarahkan filem seram selepas ini.

“Saya tidak letak spesifik filem macam mana yang mahu saya lakukan. Cuma saya mahu peka dengan apa yang penonton mahukan.

“Lagipun kita buat filem hari ini, dan tempoh tayangannya mungkin dalam masa setahun akan datang. Jadi saya kena bersedia menghadapi apa-apa risiko bila menghasilkan filem,” katanya.



Kesal dicemuh

Pengalaman selama 16 tahun di dalam industri meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis buat Idham. Hanya peristiwa yang berlaku sejak akhir-akhir ini meninggalkan kesan yang mendalam buat Idham.

“Bagi saya setiap tahun mendatangkan cabaran yang tersendiri buat saya. Tapi yang paling sukar adalah untuk mengkaji watak dan perwatakan orang di dalam industri ini.

“Meskipun dalamannya nampak seperti ada bom yang akan meletup, luarannya tiada apa-apa yang berlaku. Tapi apa yang penting kita harus kuat menghadapi persepsi orang lain terhadap kita.

“Saya paling kesal bila dijatuhkan hukuman sebelum dibicarakan, saya rasa tidak adil. Saya adalah manusia biasa yang tak mampu untuk menerang dan memuaskan hati semua orang,” katanya penuh makna mengenai kontroversi mengenai pelantikannya di dalam Finas.



Kejar ilmu

Idham berkata kini dia mahu memberi tumpuan terhadap kehidupannya dan mahu menyelesaikan pengajian dalam bidang Doktor Falsafah (PhD) bidang industri, di Universiti Utara Malaysia yang dijangka selesai dua tahun lagi.

“Ada yang berkata saya sudah terlambat untuk menyambung pengajian. Tapi saya jadikan Tan Sri Dr Jins Shamsuddin sebagai contoh untuk saya berjaya. Pada usia 73 tahun, baru dia menyandang gelaran doktor.

“Jadi saya rasa masih belum terlambat untuk saya menyambung pengajian. Bagi saya ilmu itu sangat penting untuk memperluas dan memperkasakan minda kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: