Thursday, September 8, 2011

Perjalanan Craig Antweiler


Bersama ibu angkat yang amat disayangi dan dipanggil mummy, Aliza Taher.


SIFAT ramah Craig Antweiler membuatkan anak muda ini senang didekati. Walaupun baru kali pertama menjejakkan kaki ke pejabat Utusan Malaysia, dalam sekejap masa dia mudah mendapat kawan dan tidak kekok berbual dengan sesiapa yang menyapa.

Bagi yang baru mengenali pemuda mat salih ini pasti akan menyapanya dalam bahasa Inggeris, namun jangan terkejut apabila dengan selamba sapaan itu dibalas dalam bahasa Melayu.

Craig, 21, yang berasal dari Cologne, Jerman, sememangnya fasih dan lebih selesa berbahasa Melayu.

Anak muda yang murah senyuman ini tiba di Malaysia pada 20 Ogos lalu, yang merupakan destinasi terakhirnya dalam pengembaraan melalui jalan darat secara hitch-hiking.

Dia pulang semula ke negara kelahirannya itu pada 25 Ogos.

Dalam pengembaraan yang bermula 26 Julai lalu yang turut disertai oleh adik lelakinya, Dario Antweiler, 17, mereka menaiki pesawat dari Cologne ke Turki.

Projek persendirian yang dinamakan sebagai Projek Barat ke Timur itu merupakan cetusan idea Craig sendiri yang sememangnya mempunyai hobi mengembara.

Dari Turki mereka meneruskan perjalanan dengan menumpang kenderaan atau hitch-hike seperti kereta, bas, lori, traktor, bot dan apa juga kenderaan hingga tiba di beberapa buah negara termasuk Kurdistan, Iraq, Iran, India, Thailand dan akhirnya Malaysia.

Lebih 80 buah kenderaan telah ditumpangi untuk sampai ke Malaysia dalam tempoh 25 hari.

Bagaimanapun, Dario tidak menyertai Craig ke Malaysia sebaliknya berlepas pulang dari India kerana penggal persekolahannya hampir bermula.

Berbekalkan wang sebanyak 100 euro (RM500), menurut Craig, mereka amat berjimat cermat dengan menggunakannya hanya bagi membeli makanan dan tiket melawat muzium.

Pun begitu katanya, mereka beruntung kerana makan mereka banyak dibelanja orang.

Beg galas seberat enam kilogram hanya diisi dengan sebuah periuk kecil, sehelai seluar yang boleh dipanjang dan dipendekkan, tiga helai kemeja-T, kadbod untuk menulis arah dan ubat-ubatan.

Craig adalah penghidap kencing manis sejak berumur 11 tahun dan perlu mengambil suntikan insulin lima kali sehari.

Mereka menumpang tidur di rumah kawan-kawan yang dikenali melalui Internet atau mengikat hammock (buaian) pada pokok di taman atau tiang.

Pelajar kursus matematik dan media sains di Universiti Leipzig, Jerman ini sebenarnya kali pertama menjejakkan ke Malaysia pada tahun 2007 semasa berumur 16 tahun.

Ketika itu dia mengikuti program pertukaran pelajar American Field Services (AFS) yang merupakan organisasi pertukaran pelajar bagi pertukaran budaya terbesar selepas Perang Dunia Kedua.

Di Malaysia, Craig tinggal bersama keluarga ibu angkatnya, Aliza Taher di Bukit Jelutong, Shah Alam, selama setahun dan bersekolah dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Bukit Jelutong.

Dari situ Craig belajar bertutur dalam bahasa Melayu malah mata pelajaran yang diikuti di sekolah juga dalam bahasa Melayu.

Apa yang membanggakan, Craig lulus semua peperiksaan termasuk Bahasa Melayu dan dipilih sebagai pengawas.

Selepas tahun 2007, setiap tahun dia datang ke Malaysia kerana rindukan ibu, bapa dan adik beradik angkatnya.

''Tidak susah hendak menyesuaikan diri kerana saya sudah biasa melawat Asia Tenggara bersama-sama keluarga,'' kata anak sulung daripada dua beradik kepada pasangan profesor antropologi dan guru komputer yang suka melancong itu.

Menurut Craig, kecintaannya pada negara ini boleh dikatakan seperti separuh hatinya untuk Malaysia dan separuh lagi untuk Jerman.

Bercerita mengenai pengalamannya merantau ke negara orang melalui jalan darat, penggemar nasi lemak, sate dan durian itu berkata, pengalaman paling menakutkan ialah kejadian di Turki apabila pemandu lori yang ditumpangi menurunkan dia dan adiknya di tengah-tengah padang pasir.

''Kawasan sekeliling gelap, tiada lampu dan tiada orang yang kelihatan. Walaupun rasa takut kami teruskan juga perjalanan. Setengah jam kemudian sebuah lori lalu dan menumpangkan kami.

''Satu lagi pengalaman yang boleh dikatakan menakutkan ialah apabila tiba di sempadan antara Turki dan Iran.

"Di sana kerana pengembaraan secara hitch-hiking bukan perkara biasa dan mereka sukar hendak menumpangkan orang,'' kata Craig yang berbangga kerana berjaya menamatkan perjalanan sejauh 7,000 kilometer.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: