Sunday, September 4, 2011

Gaya klasik Eropah serlah citarasa

Lampu meja dengan gaya moden memberikan sentuhan maskulin.

MUZIK klasik Eropah sayup-sayup kedengaran saat tiba ke kediaman pereka tersohor negara, Rizalman Ibrahim yang sibuk melayan keletah anak lelakinya memecah suasana damai petang itu.

Rasa terpegun serta merta wujud melihat kediaman terletak di Bukit Setiawangsa itu selain tiada kata sesuai untuk diluahkan ketika melangkah masuk dan melihat sendiri keindahan dekorasi kediamannya yang cukup mempersonakan.

Ruang tamu pemilik yang mewah dan elegan.

Rizalman memperlihatkan citarasa yang tinggi ke atas gaya klasik Eropah dengan sedikit sentuhan moden sebagai nafas baru pada gaya itu.

Tidak segah namanya di persada fesyen, Rizalman yang ditemani anaknya, Umar Nail, 9 tahun cukup merendah diri apabila pujian diberikan mengenai rumah tiga tingkatnya itu.

Rizalman dan buah hatinya, Umar Umar Nail.

“Apa yang anda lihat adalah cerminan siapa diri saya. Mungkin pada orang lain ia tidak kena dengan citarasa mereka tetapi ini adalah apa yang saya inginkan untuk diri dan anak lelaki saya,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Mempelawa melihat-lihat kediamannya, Rizalman memberitahu dia gemarkan konsep klasik Eropah kerana nilai keunikan konsep itu dan perabotnya yang tidak telan dek zaman.

Masih mengekalkan konsep klasik Eropah, kamar utama tampak mewah dan elegan.

Melahirkan sendiri idea dan konsep rumah tersebut, kediaman dua bilik itu mempunyai konsep yang seirama dari tingkat satu hingga ke tingkat tiga.

“Memang idea asal saya ialah untuk menggunakan satu konsep sahaja pada keseluruhan rumah kerana ia tidak akan kelihatan serabut dan lebih tersusun,” ujarnya.

Sudut bacaan dengan sebuah kerusi otoman melengkapkan gaya ruang itu.

Memilih untuk melatari segenap penjuru dinding rumahnya dengan rona kelabu yang jarang dilakukan, pemilik berjaya menaikkan struktur dan seri rumah supaya tampak mewah dan elegan.

Menyusuri lanjut kediaman yang mempunyai dua bilik tidur dan beberapa ruang kamar kecil lain itu, tingkat dua kediaman adalah khusus untuk aktiviti sehariannya.

Penggunaan rona kelabu memberikan ciri maskulin pada kamar anak lelakinya.

Dapur yang bercirikan moden dengan kemasan putih memberikan kelainan dan cahaya terang pada ruang lain yang masih mengekalkan konsep klasik Eropah terutamanya pada ruang makan yang menggunakan perabot dari rona hitam.

Di satu sudut pula menempatkan ruang berehat dua beranak itu untuk menonton program kegemaran di kaca televisyen dengan gaya yang ringkas dan selesa tetapi masih mengekalkan elemen elegan.

Kusyen dengan potret 'The Beatles' mencerminkan gaya Eropah.

Meneruskan ke tingkat paling atas yang menempatkan dua kamar bilik tidur dia dan Umar, Rizalman memberitahu dia cuba lari dari kebiasaan dalam menghias bilik tidur anaknya yang masih kecil dengan memberikan gaya bilik tidur lelaki biasa supaya konsep itu dapat digunakan lama.

Tidak hanya mengabadikan diri dalam dunia fesyen, Rizalman kini melebarkan sayapnya dalam satu lagi cabang seni sebagai perunding hiasan dalaman dan bakal menghasilkan rangkaian koleksi perabot dibawah jenamanya.

Anggun...Sebuah meja gaya Eropah menghiasi ruang tamu.

Giat melakukan kerja-kerja perundingan dan pengubahsuaian premis dan rumah persendirian, Rizalman memberitahu rekaan hiasan dalaman adalah minat sebenarnya dan sudah tiba masa untuknya melebarkan sayap dalam bidang itu.

“Alhamdulilah rumah ini adalah salah satu contoh hasil kreativiti yang ada malah saya turut melakukan kerja-kerja pengubahsuaian untuk suite bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi, beberapa buah hotel dan milik perseorangan,” ujarnya penuh optimis dengan apa yang dilakukan kini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: