Sunday, September 4, 2011

‘Badang Sulfur’ di Kawah Ijen

Perhatikan bongkah-bongkah sulfur yang begitu besar selepas ia mengeras daripada aliran lahar kuning.

GUNUNG berapi memuntahkan lahar biasa kedengaran. Gunung berapi mengeluarkan sulfur atau belerang adalah perkara baru sekurang-kurangnya bagi penulis ini.

Pengalaman baru itu dikutip sewaktu berkunjung ke Kawah Ijen di Jawa Timur, Indonesia, baru-baru ini. Kembara ke Kawah Ijen bermula di pos kawalan renjer Paltuding.

Selain mengangkut sulfur, 'Badang Sulfur' juga menjual cenderamata kepada para pelancong. Sulfur dilebur dan dibentuk menjadi replika haiwan.

Selepas membayar Rupiah (Rp)30,000 (RM10.50) untuk yuran kamera, penulis bersama kawan-kawan berjalan melalui denai. Butiran kekuning-kuningan bertaburan di sana-sini.

Terdetik di hati, “Mungkin sulfur untuk usir ular.” Namun, telahan itu beransur-ansur berubah apabila melihat bongkah-bongkah sulfur berselerakan dan para pekerja mengandar bakul-bakul berisikan sulfur menuruni bukit.

Antara sulfur yang dilombong dari Kawah Ijen, Jawa Timur, Indonesia.

Penulis akui tidak sempat membuat kajian mengenai Kawah Ijen sebelum berkunjung ke situ ekoran kesibukan kerja. Kenalan cuma memberitahu ia secantik Danau Toba.

Perjalanan mendaki kawah amat menyeksakan. Kami perlu mendaki 3.2 kilometer (km) dengan sesetengah lereng bersudut 45-55 darjah kecuraman. Tiada jip mahupun kuda. Ia memakan masa kira-kira sejam.

Bongkah-bongkah sulfur terdapat di sepanjang denai menuju ke Kawah Ijen, Jawa Timur, Indonesia.

Sudahlah tercungap-cungap, udara berasid menusuk hidung sehingga menyukarkan pernafasan ketika sampai ke kemuncak Kawah Ijen.

Sepanjang pendakian tersebut, penulis “diiringi” oleh seorang pekerja. Banyak perkara dipelajari daripada Wariyanto, 27, seorang pekerja pengangkut sulfur yang sudah bekerja selama tiga tahun.

'Badang Sulfur' meraih pendapatan Rupiah 150,000 untuk sekali penghantaran sulfur.

Misalnya sulfur digunakan untuk membuat kosmetik, perubatan dan memproses gula.

Menurutnya, setiap pekerja mengangkut sekurang-kurangnya 80 kilogram (kg) sulfur dari tempat perlombongan sulfur ke tempat pungutan hasil. Jaraknya kira-kira lima kilometer sehala.

Bakul-bakul tersebut adalah seberat 80-100 kilogram.

Setiap perjalanan dibayar Rp150,000 (RM52.50) dan setiap pekerja biasanya melakukan dua perjalanan dalam sehari. Mulai detik itu, penulis menggelar mereka ‘Badang Sulfur’!

Sampai di puncak gunung Ijen, keadaan amat berkabus. Baunya masam. Gunung-ganang kelihatan berbalam-balam. Tiupan angin kencang menyejukkan badan sementara menunggu kawan-kawan yang ketinggalan jauh di belakang.

Pusat persinggahan untuk 'Badang Sulfur' berehat sebelum mengandar bakul-bakul berisi sulfur menuruni Kawah Ijen, Jawa Timur, Indonesia.

Memacakkan diri di atas Kawah Ijen, penulis tergamam melihat satu panorama alam yang menakjubkan di bawahnya.

Kepulan asap kuning tidak henti-henti keluar dari satu sudut. Satu tasik laguna biru seluas satu kilometer persegi pula terdampar berdekatan.

Suasana sibuk di Kawah Ijen, Jawa Timur, Indonesia dengan pekerja dan pelancong khusyuk dengan aktiviti masing-masing.

Wariyanto memberitahu, orang ramai tidak boleh berenang di situ. Pada 2008, pengembara, George Kourounis mendayung sebuah bot getah ke tengah tasik berasid itu untuk menguji tahap keasidannya.

Bacaannya ialah 0.5 dan ini bermakna nilai pH menyamai tahap keasidan bateri kereta.

Kolam air untuk menyejukkan sulfur di Kawah Ijen, Jawa Timur, Indonesia.

Dari jauh, ‘badang-badang’ tersebut yang naik-turun kawah untuk mengaut sulfur umpama semut yang sedang mengemuruni madu dan membawanya ke sarang.

Penulis menuruni kawah untuk mendekati tapak perlombongan sulfur selain merasai air panas tasik tersebut. Kata Wariyanto lagi, air asid sulfurik tersebut dapat mengubati penyakit kulit.

Kawah Ijen, Jawa Timur, Indonesia sentiasa aktif mengeluarkan sulfur.

Puas meninjau permandangan, penulis menawarkan diri mengandar sulfur tetapi tidak larat membawa bebanan walaupun seberat 50 kg. Mungkin banyak tenaga dihabiskan dalam pendakian sebelum itu.

Dalam satu insiden yang amat mencemaskan, kami hampir kelemasan apabila tiba-tiba diselubungi dalam segumpalan gas sulfur dioksida yang ditiupkan angin.

'Badang Sulfur' mengangkut sulfur ke kilang berhampiran.

Mata terasa pedih. Sesak nafas. Kami terus tunduk sambil menahan nafas.

Apabila mendaki kawah, penulis memerhatikan ‘Badang Sulfur’ menyusun langkah sambil mengandar ketulan-ketulan sulfur. Satu, dua, tiga sehinggalah sepuluh langkah, ‘badang’ berhenti sebentar sebelum meneruskan langkah.

Nun jauh di sana ialah tapak perlombongan sulfur terbesar di rantau Asia.

Tidak kedengaran bunyi hela nafas panjang. Dia jarang bercakap kerana keperitan tidak terluah. Cuma renungan mata menyimpan segala-gala kepayahan. Yang peliknya, tiada peluh pada susuk badan enam ketulnya itu.

‘Badang’ siap berhenti memberi laluan kepada penulis sambil sebelah tangannya mengandar. Begitulah kuatnya ‘Badang Sulfur’!

Para pelancong menuruni Kawah Ijen, Jawa Timur, Indonesia untuk mendekati tapak perlombongan sulfur.

Selepas kunjungan itu, penulis sedar betapa besarnya nilai Rp150,000 (RM52.50) kepada mereka. Maka penulis membezakan nilai barangan yang ingin dibeli dengan kudrat seorang ‘Badang Sulfur’!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: