IKTIRAF...Syed Abdul Rahman bersama anugerah diterimanya.
PERTEMBUNGAN kali pertama dengan sekawan empat ikan jerung di Pulau Redang, Terengganu, kira-kira 15 tahun lalu menjadi detik perubahan dalam kehidupan seorang pencinta hidupan lautan.
Memulakan niat untuk menyaksikan hidupan laut terutama spesies bersaiz besar, pemilik pusat latihan skuba kanak-kanak dan remaja, Kids Scuba, Syed Abdul Rahman Syed Hassan, awalnya kecewa apabila tiada tanda-tanda kehadiran haiwan berkenaan.
Namun, dengan kekuasaan Maha Pencipta, lelaki berusia 46 tahun itu diberi berkesempatan menyaksikan keajaiban apabila berpeluang melihat haiwan pemangsa berkenaan dalam jarak kurang daripada satu meter.
Lebih menakjubkan, seekor daripada kawanan pemangsa digeruni di lautan itu seakan-akan menyedari kehadiran Syed Abdul Rahman lantas mendekati penyelam yang memiliki pengalaman hampir 25 tahun untuk tempoh satu minit sebelum beredar kembali kepada kumpulannya.
Sejak daripada itu, Syed Abdul Rahman mula menghargai dan menghormati hidupan yang bernafas di lautan masin, selain aktif menambah satu demi satu koleksi pengalaman ketika mula berjinak-jinak dengan hobi di dasar laut.
Pengasas dan pemilik pusat latihan skuba kanak-kanak Malaysia yang mempunyai nama besar di peringkat antarabangsa ini mengakui aktiviti menyelam di dasar laut di Asia Tenggara, khususnya Malaysia jarang mendapat perhatian.
Apatah lagi sukan ini kerap kali dimomokkan sebagai ‘hobi orang kaya’ berikutan memerlukan kedudukan kewangan yang besar dan stabil sebelum menyertai kursus serta menyediakan alat kelengkapan termasuk topeng (mask), kaki sirip (fins) dan baju penyelam (wetsuit) mencecah ribuan ringgit.
Beliau menafikan dan menepis tanggapan berkenaan, baginya aktiviti yang disifatkan memberi manfaat kepada anak kecil wajar diberi perhatian khusus oleh golongan ibu bapa yang menjadi teraju utama dalam menyusun atur program sihat anak.
“Melihat fenomena sekarang, anak kecil di Malaysia masih disogok dengan ilmu ‘mainan’ seperti permainan Internet berbanding aktiviti manfaat dalam usaha membentuk disiplin generasi muda di usia kecil.
“Berbanding negara Barat terutama Amerika Syarikat, aktiviti skuba sebenarnya mempunyai tempat di kalangan komuniti mereka malah beberapa universiti bertaraf dunia turut menawarkan kursus berkaitan hidupan marin,” katanya.
Mengenang semula saat terbinanya syarikat diurus bersama keluarga, Syed Abdul Rahman berkata beliau meminati aktiviti snorkling di awal usia 20-an sebelum lahirnya keinginan terhadap skuba.
Menanamkan tekad dan semangat, bapa kepada tiga anak perempuan ini mengikuti kursus pengenalan skuba selama empat hari bersama B&J Dive Centre, sebelum ditauliahkan menerima Lesen ‘Open Water Diver’ (selam di sungai, tasik, laut) oleh Professional Association of Diving Intructors (Padi).
Selepas itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang malah mengikuti semua kursus skuba merangkumi advance, resque, dive master, pengajar (instructor) dan tertinggi, jurulatih pengajar daripada beberapa agensi bertaraf antarabangsa iaitu Padi, National Association of Underwater Instructors (NAUI) dan Scuba School International (SSI).
Biarpun memiliki lesen skuba yang diiktiraf antarabangsa, Syed Abdul Rahman tidak sesekali membelakangkan cara hidup dan ilmu penyelam tradisional terutama golongan nelayan yang memiliki pengalaman luas dalam teknik interaksi bersama lautan.
Jikalau segelintir golongan Adam sanggup menghabiskan masa di tengah-tengah padang golf, namun berbeza bagi lelaki yang memegang jawatan sebagai pegawai kewangan di syarikat swasta ini apabila mengunjungi setiap pelosok perkampungan nelayan untuk menimba ilmu dan pengalaman.
Katanya, dia sanggup menadahkan telinga selama berjam-jam semata-mata ingin mengutip pengalaman daripada kaum nelayan terutama di negeri pantai timur termasuk Sabah malah dia lebih selesa ke destinasi berkenaan tanpa ditemani sesiapa.
Enggan tergesa-gesa menubuhkan Kids Scuba, beliau mengambil masa kira-kira dua tahun untuk membuat penyelidikan selain mengumpul pengalaman menyelam di beberapa negara seluruh dunia termasuk Australia, Maldives, Thailand, Indonesia serta Copenhagen, Denmark.
Katanya, kesan daripada pengalaman sedia ada maka timbulnya idea untuk menawarkan latihan khusus kanak-kanak sejurus menyaksikan gelagat dan aksi anak kecil masyarakat Barat yang mampu mempamerkan potensi cemerlang dalam aktiviti menyelam.
Optimis dengan kekuatan mental dan fizikal anak Malaysia, Syed Abdul Rahman menjadikan anak sulungnya, Sharifah Nadhirah yang ketika itu berusia 8 tahun sebagai ‘bahan uji kaji’ sekali gus berjaya diiktiraf sebagai Penyelam Skuba Termuda Padi Seal Team dan pertama di Malaysia oleh Padi yang berpusat di Australia.
Melihatkan kejayaan berkenaan, Syed Abdul Rahman bertindak lebih agresif dengan penubuhan Kids Scuba pada 2004 yang berpusat di kediamannya di Putra Height, Selangor, selama dua tahun dengan kerjasama isteri.
Apabila permintaan daripada ibu bapa kian meningkat, beliau yang juga bergelar Timbalan Presiden, Malaysia Scuba Diving Association (MSDA) membuat keputusan untuk berpindah ke lokasi lebih sesuai iaitu di Jalan Putra Mahkota 7/6C, Putra Height pada 2008 hingga kini.
Lebih membanggakan, Kids Scuba turut menerima pengiktirafan termasuk Anugerah Program Terbesar Scuba Rangers Terbesar Dunia oleh Agensi Scuba Ranger di Bangkok, Thailand, pada 2008 dan Anugerah Program Skuba Kanak-kanak dan Scuba Rangers Paling Cemerlang di Dunia yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, tahun lalu.
Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, beliau menyediakan pusat latihan yang bertemakan kanak-kanak malah suasana di dasar laut turut diterapkan di bilik kelas, galeri jualan dan pejabat operasi sekali gus membangkitkan keinginan dalam diri setiap pengunjung.
Kelas yang dianjurkan setiap Sabtu yang berpusat di Putra Height bagi pengajaran teori manakala latihan menyelam pula dilakukan di Pusat Latihan Maybank, Bangi kerap dikunjungi pelajar berusia antara lapan tahun hingga 18 tahun.
Memiliki 15 tenaga pengajar termasuk tiga wanita, Kids Scuba berjaya melatih lebih 600 kanak-kanak termasuk anak orang kenamaan Malaysia sejak ditubuhkan.
Menjadikan kanak-kanak sebagai kumpulan sasaran, Syed Abdul Rahman tidak menganggap mengajar golongan muda adalah rumit sebaliknya disifatkan lebih mudah untuk membentuk disiplin dan minat mereka berikutan memiliki tenaga banyak serta keberanian tinggi.
Biarpun memiliki kerjaya tetap, beliau menganggap Kids Scuba sebagai satu perniagaan bermanfaat untuk membantu generasi muda memupuk minat selain menjadi saluran riadah antara ibu bapa dengan anak masing-masing, bukan sekadar mementingkan keuntungan.
Aktiviti riadah bersama keluarga itu ditekankan kepada setiap pelajar apabila ibu bapa turut diwajibkan mengikuti kem skuba yang diadakan tiga kali setahun, terutama pada cuti persekolahan.
Antara lokasi terpilih bagi mengadakan Kids Scuba Camp adalah Pulau Tioman, Pahang, pulau di Terengganu serta di Sabah termasuk Pulau Sipadan dan Pulau Layang-Layang.
Kids Scuba juga melebarkan sayapnya dengan pembukaan cawangan kedua di Denmark yang diurus tadbir oleh bekas anak muridnya merangkap rakan kongsi, Nick J Visser pada 22 Ogos 2010.
Merungkai perkembangan sukan skuba di Malaysia, beliau menganggap sukan air itu memberi kesan besar kepada ekonomi negara dan ia terbukti apabila Tourism Malaysia mendedahkan
aktiviti skuba memberi pulangan bernilai RM20 juta dalam sektor pelancongan tahun lalu.
PROFIL
NAMA: Syed Abdul Rahman Syed Hassan
JAWATAN: Pengarah Kids Scuba
LAHIR: 13 Oktober 1965
ASAL: Johor Bahru, Johor
ISTERI: Bahiyah @ Nadia Ahmad
ANAK: Sharifah Nadhirah (17 tahun), Sharifah Hanani (13) dan Sharifah Najwa Amni, lapan tahun.
ADIK-BERADIK: Pertama daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Sains Malaysia (1998)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: