PENDORONG...keluarga menjadi pendorong.
MENERIMA pendapatan bulanan bertaraf eksekutif di syarikat gergasi yang berpusat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan memiliki syarikat sendiri, bukanlah platform untuknya memanjakan anaknya dengan kemewahan.
Sebaliknya, Syed Abdul Rahman mengamalkan sikap tegas dengan menonjolkan semangat dan kesungguhan mengerah tenaga demi mencari sesuap nasi dalam situasi ekonomi negara yang semakin mencabar.
Bergelar anak kepada penyelam dan pemilik Kids Scuba bukanlah tiket untuk bersenang-lenang di kolam renang Pusat Latihan Maybank ketika sesi menyelam namun perlu memainkan peranan penting sebagai ‘kakitangan’ syarikat dalam menyediakan kelengkapan bagi pelajar.
Menurut Syed Abdul Rahman, setiap Sabtu, isteri dan dua lagi anaknya akan turut ke pusat renang membantunya menyediakan peralatan selain menjadi tenaga pengajar bagi wanita yang enggan dilatih jurulatih lelaki.
“Anak saya diberi pendedahan awal mengenai skuba dan pengalaman itu kian bertambah apabila mereka sendiri turun padang menyertai saya di kolam renang.
“Sebelum kelas bermula, mereka akan menyediakan peralatan seperti topeng dan fins untuk pelajar. Kemudian sejurus kelas berakhir, mereka menjadi orang terakhir bertanggungjawab membersihkan semua peralatan yang digunakan.
“Sebagai pulangan, saya akan memberi sedikit insentif berbentuk wang untuk menghargai bantuan mereka dan dalam masa sama, mereka mempelajari kemahiran mencari rezeki,” katanya.
Menafikan tindakan itu sebagai mengajar anak mengejar kemewahan, beliau berpandangan sikap berkenaan dapat membentuk jati diri anaknya untuk bekerja keras untuk mencapai sesuatu matlamat dalam kehidupan.
Malah, Syed Abdul Rahman meluahkan rasa syukur apabila anaknya semakin matang dalam menilai tindakan dan pengajaran yang ditekankannya.
Memegang jawatan penting dalam Malaysia Scuba Diving Association (MSDA), beliau kerap ke luar negara mewakili Malaysia mempromosikan sukan skuba dan destinasi skuba menarik tempatan, sementara itu, tugasnya di Kids Scuba diambil alih oleh isteri dan anak.
Wajar digelar keluarga penyelam, isterinya yang berperanan sebagai pengurus operasi turut memiliki Lesen ‘Advance Open Water Diver’ termasuk anak sulung, manakala anak kedua pula mempunyai Lesen ‘Advance Open Water Diver Junior’ dan Padi Seal Team bagi yang bongsu.
Tiba cuti persekolahan, beliau pasti mencuri masa untuk membawa keluarganya ke pulau di Malaysia dan serata dunia semata-mata melakukan aktiviti skuba.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: