Sunday, September 25, 2011

Rotorua daerah dua tasik

pix_middle

MENGAITKAN New Zealand, yang terbayang di minda kita All Blacks, Kiwi dan Maori. Dunia kini memberi perhatian di negara yang digelar orang Maori Tanah Berawan Putih Yang Panjang (The Land Of The Long White Cloud) sejak berlangsungnya Kejohanan Ragbi Dunia dari 9 September hingga 23 Oktober.

Bukan ragbi yang mahu diceritakan penulis, tetapi satu destinasi di Rotorua dan Taupo untuk kita lebih menghargai keindahan alam ciptaan Illahi.

  • Foto

    ADRENALIN...jet bot yang menjadi aktiviti pelancong di Huka Falls.

  • Foto

    RIANG...penulis (kanan) diberikan peluang untuk menyusukan anak kambing biri-biri.

  • Foto

    RIANG...kegembiraan jelas terpancar di wajah rakan penulis ketika menaiki Swoop walaupun sebelum itu kelihatan gentar.

Terletak di Pulau Utara New Zealand, daerah Rotorua dan Taupo terkenal dengan struktur muka bumi yang terhasil daripada aktiviti geoterma. Gunung Ruapehu terletak 40 kilometer (km) barat daya Taupo adalah salah sebuah gunung berapi yang paling aktif di dunia. Walaupun risau akan bahaya letusan gunung berapi, saya bersama enam rakan lagi membuat perjalanan ke daerah itu kerana inginkan pengalaman berada di kawasan geothermal.

Rotorua berasal dari perkataan Maori iaitu Roto (tasik) dan rua (dua) yang bermakna Rotorua sebagai 'dua tasik.' Lawatan penulis bersama rakan universiti di Christchurch, New Zealand diadakan ketika cuti musim sejuk. Dari Christchurch kami menaiki kapal terbang dan mendarat di Wellington. Perjalanan kami dengan menaiki van dari Wellington mengambil masa kira-kira 6 jam dan kami tiba di Taupo jam 9 malam.


Menikmati makanan yang dimasak ketika singgah di rumah rakan di Napier, aktiviti lawatan kami hanya bermula pada keesokan harinya.


Kami menginap di sebuah ‘backpackers’ yang kami tempah melalui Internet. Cukup sekadar bersarapan pagi dengan roti dan telur goreng, yang memang sudah menjadi menu kebiasaan bagi kami pelajar di perantauan. Membuat masakan sendiri tidak menjadi masalah sekiranya melawat New Zealand. Kebanyakan ‘backpackers’ menyediakan dapur untuk kegunaan umum dengan harga yang berpatutan.

Huka Falls adalah sebuah air terjun yang airnya mengalir dari Tasik Taupo ke Sungai Waikato. Kami diberitahu bahawa air yang turun adalah mencukupi untuk mengisi lima kolam renang bersaiz Olimpik setiap saat. Deruan air yang deras dengan warna biru memberikan pemandangan yang cukup menakjubkan. Satu aktiviti menarik yang terdapat di sini adalah menaiki jet bot di Huka Falls Jet.

Penumpang dibawa menaiki bot berkuasa tinggi menuju ke arah Huka Falls. Kelajuan dan tinggi dan diselang seli dengan putaran 360o yang dilakukan oleh pemandu bot pastinya membuatkan jantung penumpang berdegup kencang dengan keseronokan.

Selesai menaiki bot, kami ke Huka Prawn Park yang terletak bersebelahan dengan Huka Falls Jet. Di sini, pengunjung diberi peluang untuk memancing udang yang diternak di dalam kolam yang disediakan. Huka Prawn Park satu-satunya pusat ternakan udang di New Zealand, dan kolam ternakannya perlu dipanaskan bagi mendapatkan suhu yang sesuai bagi penternakan udang. Disebabkan faktor inilah, Taupo dipilih sebagai lokasi pusat ternakan ini kerana ia membolehkan tenaga geoterma digunakan untuk memanaskan kolam.

Terbit rasa bangga sebagai rakyat Malaysia apabila diberi�tahu baka udang-udang dalam kolam ini adalah dari ‘Giant Malaysian River Prawn’. Setelah diajar cara-cara memancing udang yang betul, kami memulakan misi memancing udang untuk dibuat makan tengah hari.

Penulis adalah orang pertama yang berjaya mendapatkan udang setelah 15 minit mencuba. Selepas itu, satu persatu rakan kami mula mendapatkan hasil pancingan. Udang yang kami tangkap direbus di pondok yang disediakan dan dibawa ke restoran dalam pusat ternakan itu untuk dimakan.

Kami memulakan perjalanan ke Rotorua pula setelah kekenyangan memakan udang. Perjalanan ke Rotorua dari Taupo mengambil masa kira-kira sejam. Memandu ketika musim sejuk menjadi pengalaman yang menarik dan juga mencabar pada masa yang sama. Pemandu harus berhati-hati dengan keadaan jalan yang licin akibat ais. Walaupun Rotorua dan Taupo berada dalam kawasan geoterma, suhu pada musim sejuk cukup untuk membuat anda menggigil terutama�nya ketika angin bertiup.

Setibanya di Rotorua, kami mendaftar masuk dulu di ‘backpackers’ dan berehat sementara menanti malam. Kami pada mulanya hairan akan bau telur tembelang yang boleh dihidu di mana saja anda berada di Rotorua. Salah seorang dari kami pelajar jurusan Geologi menerangkan kepada kami bahawa bau tembelang itu adalah disebabkan oleh kandungan sulfur yang tinggi dalam tanah di kawasan berkenaan.

Kami bersiar-siar pada petang itu, menikmati keindahan Bandar Rotorua yang satu ketika dulu pernah ditimpa bencana letusan gunung berapi yang cukup dahsyat. Ke mana saja kami pergi, di tepian jalan pasti terdapat ciri-ciri geografi yang hanya terdapat di kawasan geoterma seperti kolam lumpur yang menggelegak kepanasan, kolam-kolam kecil yang berwap panas, serta wap-wap panas yang keluar dari tanah.

Keesokan harinya kami ke Agrodome, sebuah tarikan pelancong yang cukup popular dengan ‘Sheep Show’. Apa yang ditampilkan oleh rancangan ini adalah semua jenis kam�bing biri-biri yang terdapat di New Zealand. Di samping itu, pelbagai demonstrasi seperti mencukur bulu kambing dan memerah susu kambing juga diadakan.

Sebagai golongan muda yang sukakan cabaran, kami meneruskan perjalanan ke destinasi selanjutnya iaitu Swoop. Salah satu daripada aktiviti ekstrim di New Zealand, pengunjung akan dimasukkan ke dalam karung yang seakan-akan ‘sleeping bag’ dan dilepaskan dari ketinggian 40 meter untuk dibiarkan berayun. Walaupun timbul rasa gusar di hati seandainya tali tersebut putus, penulis berjaya meyakinkan rakan yang lain bahawa sistem itu direka untuk tahan menampung penulis adalah pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

Rasa gementar bertukar menjadi teruja setelah selesai aktiviti tersebut. Majoriti daripada kami sememangnya rasa tidak puas dan mahu mengulangi pengalaman tersebut. Namun atas faktor kewangan yang terhad, ini tidaklah dapat kami lakukan.

Untuk menikmati sepenuhnya ciri-ciri geografi yang dipengaruhi aktiviti geoterma, kami melawat Wai-o-Tapu Thermal Wonderland.

Salah satu tarikan utama dalam taman ini adalah pertunjukan geiser yang diadakan beberapa kali dalam sehari.

Kebiasaannya, geiser hanya memancut pada masa rawak yang tidak dapat ditentukan. Namun untuk tujuan persembahan, pancutan geiser boleh dicetuskan secara kimia.

Pelbagai lagi keindahan alam geoterma yang boleh dinikmati di Wai-O-Tapu. Kebanyakannya diberi nama yang menarik perhatian seperti Devil’s Home, Oyster Pool dan Infernal Crater. Semuanya diberi bersesuaian dengan keadaan kawasan tersebut yang panas serta tanah yang berwarna-warni kesan bahan galian yang hanya boleh didapati di kawasan gunung berapi.

Mengikut sejarah, Rotorua suatu masa dahulu sebuah bandar yang cukup sibuk dengan aktiviti pelancongan menerusi tarikan yang dinamakan ‘The Pink and White Terraces’. Kejadian semula jadi ini dikatakan cukup mengagumkan sehingga ada yang menggelarnya salah satu keajaiban dalam dunia pada waktu itu.

Namun satu letusan gunung berapi yang cukup dahsyat mengakibatkan semuanya ditimbus oleh lahar.

Sebuah perkampungan Maori dan penempatan orang Inggeris ketika itu turut hilang dalam tragedi berkenaan. Kesan tinggalan kejadian itu boleh dilihat melalui lawatan kami ke ‘Buried Village’. Sesudah tiga hari berada di Rotorua dan Taupo, kami bertolak ke Auckland menaiki kapal terbang pulang ke Christchurch.

Ibarat tidak kenal maka tidak cinta, hingga kini tidak lekang di ingatan kami akan bandar gunung berapi ini serta panorama indah persekitarannya membuatkan kami memasang azam tidak mustahil bertandang kembali andai ada rezeki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: