Tuesday, September 6, 2011

Harapan tinggi Shuhaimi Baba


SERIUS... Shuhaimi Baba (dua dari kir) memberikan arahan untuk mendapatkan shot menarik sewaktu penggambaran filem Tanda Putera.


KEGAGALAN filem 1957 Hati Malaya yang mencatatkan kutipan kurang memberangsangkan di pawagam tidak pernah mematahkan semangat pengarah wanita tersohor ini.

Sebaliknya, Datin Paduka Shuhaimi Baba atau lebih mesra disapa Shumi ini tetap meneruskan perjuangannya dalam melahirkan karya-karya yang dapat dibanggakan seluruh rakyat Malaysia.

Pastinya ketika ini, umum sudah mengetahui tentang filem terbaru arahan Shumi berjudul Tanda Putera yang mengangkat kisah hidup dua negarawan ulung iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

"Sesungguhnya saya meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat filem Tanda Putera diterima dengan baik oleh rakyat Malaysia.

"Bagi saya, kisah hidup dan pentadbiran Tun Abdul Razak dan timbalannya memang jarang diceritakan sebelum ini.

"Sehinggakan, pelakon filem ini juga begitu sukar untuk membuat rujukan kerana kekurangan bahan yang membolehkan mereka berbuat demikian.

"Atas alasan itu, saya memang mahu melihat Tanda Putera ini berjaya dari segenap aspek agar rakyat negara ini dapat memperolehi sesuatu yang bermanfaat daripadanya," jelas Shumi bersungguh.

Pengarah yang mula dikenali menerusi filem Selubung pada tahun 1992 itu berkata demikian pada majlis doa selamat sempena tamat penggambaran Tanda Putera yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

Menyambung bicara, Shumi memberitahu fokus penceritaan adalah berkisar tentang era 70-an di mana konflik politik cukup hebat ketika itu.

Dalam masa yang sama juga, kata Shumi, era tersebut lebih dekat dengan jiwa rakyat lalu memudahkan mereka untuk memahami jalan cerita Tanda Putera.

"Sebagaimana yang kita ketahui, Tun Abdul Razak memang dikenali sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan sanggup meredah denai serta laluan tanah merah semata-mata mahu bertemu dengan mereka.

"Jadi, secara tidak langsung penonton boleh meletakkan diri mereka ke dalam situasi tersebut dan sekali gus menghayati mesej di dalam filem ini," katanya tentang rasional pemilihan subjek Tun Abdul Razak dalam filem yang menelan belanja sebanyak RM4 juta itu.

Apabila Shumi mengambil keputusan untuk mengarahkan sebuah lagi filem bercorak kenegaraan, ada pihak yang mula berfikiran sedikit skeptikal.

Bukannya mereka tidak yakin dengan mutu kerja Shumi tetapi ada yang berpendapat menghasilkan filem seperti ini seolah-olah mahu membodek kerajaan.

Sebelum ini pun, 1957 Hati Malaya terkena tempias yang sama namun, ia dinafikan sekeras-kerasnya oleh Shumi yang memberitahu ia dibikin berlandaskan fakta sebenar.

Lalu, apakah Shumi tidak takut seandainya Tanda Putera juga dilabelkan dengan gelaran yang serupa?

Sambil tersenyum, pengarah kelahiran Negeri Sembilan ini memberikan justifikasi berhubung perihal tersebut.

"Saya lebih takut memikirkan tentang nasib filem Tanda Putera seandainya babak rusuhan sewaktu 13 Mei 1969 dipotong oleh pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

"Adegan itu diletakkan dengan tujuan untuk menceritakan tentang perkara sebenar yang berlaku pada ketika itu.

"Selama ini, kita sering diberitahu insiden 13 Mei berlaku kerana perselisihan faham antara kaum Melayu dan Cina.

"Sedangkan perkara sebenarnya adalah sebaliknya dan semua itu saya ceritakan dalam filem ini. Jika babak itu dipotong, jadi sukar untuk penonton memahami keadaan yang berlaku," kata Shumi yang sudah diiktiraf sebagai Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak tiga kali ini lagi.

Tambahnya lagi, dia cukup sedar dengan keadaan politik di negara ini dan Shumi tidak mahu babak itu kelak dianggap sebagai mencurah minyak ke dalam api.

Bercerita mengenai kepuasannya mengarahkan filem Tanda Putera, Shumi memberitahu dia belum benar-benar puas dengan hasil filem tersebut.

Selepas menonton draf filem tersebut, Shumi hanya berpuas hati sebanyak 60 peratus sahaja.

"Banyak lagi yang kami perlu lakukan untuk filem ini terutama aspek imej janaan komputer (CGI) yang memerlukan pemerhatian yang lebih apabila melibatkan lima hingga enam lapisan efek khasnya.

"Semua itu melibatkan adegan yang dirakamkan di dalam studio dan kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk melihatkan semua itu seperti asli," jelas pengarah filem Mimpi Moon dan Ringgit Kasorrga ini lagi.

Dalam pada itu, Shumi turut memberitahu Tanda Putera akan menyambung penggambaran di London pada pertengahan bulan ini selama empat hari untuk babak penting yang menjadi nadi kepada filem ini.

Babak yang dimaksudkan itu ialah hari-hari terakhir Tun Abdul Razak sebelum dia meninggal dunia akibat leukemia.

"Bukannya kami tidak mencuba menggunakan teknik CGI untuk babak berkenaan tetapi ia kelihatan terlalu dibuat-buat.

"Kami mahu mendapatkan senario sebenar ketika musim sejuk di London pada waktu itu dan juga lokasinya," kata Shumi sambil berterima kasih kepada Malaysian Airlines yang sudi menaja penerbangan krew produksi dan pelakon ke sana.

Tanda Putera yang diterbitkan oleh Pesona Pictures itu merupakan projek usahasama dengan Finas dan Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC) di bawah Dana Penerbitan Filem Kenegaraan dan Warisan.

Bagi menghidupkan watak bekas Perdana Menteri Kedua itu, tanggungjawab itu digalas oleh aktor terkenal, Rusdi Ramli manakala watak timbalannya pula menjadi milik Zizan Nin.

Selain mereka, Tanda Putera juga dibintangi oleh Kamarulzaman Taib atau Che' Kem sebagai Tunku Abdul Rahman, Faezah Elai (Tun Rahah), Linda Hashim (Ton Puan Norashikin Mohd. Seth) dan Norman Hakim (Tun Hanif Omar).

Tidak ketinggalan, Fizz Fairuz yang membawakan watak Tan Sri Arshad Ayub, Nazril Idrus (Tun Dr. Mahathir Mohamad), Hasnul Rahmat (Tun Hussein Onn), Mohd. Khir Mohd. Noor (Abdul Rahman Hashim), Ngasrizal Ngasri (Datuk Harun Idris) dan Razali Hussain (Ahmad Razali Mohd. Ali).

Tanda Putera turut menyaksikan bekas suami pelakon jelita, Maya Karin iaitu Steven David Shorthose sebagai doktor peribadi Tun Abdul Razak bernama Dr. Macpherson selain dua pelakon baru, Razif Hashim dan Sahee Shamsuddin sebagai Johari dan Najib Tun Razak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: